SEJAK 2013, BN telah mengalami kekalahan yang menyebabkan kehilangan kuasa pada tahun 2018 dan juga kemenangan begitu menakjubkan sehingga menawan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor dengan majoriti dua pertiga. Selain isu-isu... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK 2013, BN telah mengalami kekalahan yang menyebabkan kehilangan kuasa pada tahun 2018 dan juga kemenangan begitu menakjubkan sehingga menawan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor dengan majoriti dua pertiga.

Selain isu-isu mustahak, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan salah satu faktor utama dalam kekalahan dan kemenangan tersebut.

Isu 1MDB dan Najib adalah punca kekalahan BN pada tahun 2018, manakala fenomena Bossku yang dimulakan oleh Najib juga adalah faktor kemenangan BN di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) serta PRN.

Kini, setelah Najib dipenjarakan, apakah hala tuju BN? Penyokong UMNO boleh dibahagikan kepada dua kumpulan. Sekumpulan menyokong perjuangan parti secara keseluruhan dan satu kumpulan lagi menyokong pemimpin-pemimpin tertentu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan lain-lain lagi.

Kita dapat melihat pembahagian antara dua kumpulan tersebut dengan jelas pada PRU 2018. Melainkan pemimpin Pas dan Amanah, pucuk pimpinan parti-parti Melayu adalah berasal daripada UMNO.

Contohnya, Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan), Datuk Seri Anwar Ibrahim (masih di dalam penjara ketika itu) daripada PKR, kesemuanya berasal daripada UMNO.

Pada hemat sebahagian besar pengundi Melayu, PRU 2018 adalah satu perlawanan antara kumpulan penyokong UMNO dan kumpulan penyokong pemimpin-pemimpin asal UMNO. Bagi mereka, PRU14 boleh dilihat sebagai perang dalaman UMNO.

Namun realitinya, setelah pertukaran kerajaan pada tahun 2018, kebanyakan pengundi Melayu mendapati bahawa hanyalah pentadbiran ala-UMNO dapat memenuhi cita rasa diri.

Polisi-polisi yang diutarakan daripada Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP langsung tidak dapat menawan hati seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), memansuhkan hukuman mati, cara pengendalian kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, usaha-usaha untuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sebagainya.

Oleh itu, Najib dengan fenomena Bossku kelihatan dapat menjana momentum anti-PH dalam kalangan orang Melayu dan sebahagian kaum lain. Keputusan BN pada PRK Tanjung Piai, Cameron Highlands, Rantau, Semenyih, PRN Melaka, Sarawak dan Johor menunjukkan arah angin rakyat telah bertukar haluan.

Najib disambut meriah oleh penduduk tempatan. Kini Najib telah dipenjarakan. Walaupun jumlah penyokong-penyokong Bossku bukannya majoriti dan tidak dapat menandingi jumlah penyokong BN, PH serta Perikatan Nasional (PN), ia dapat memecahkan undi BN dan menyebabkan kesusahan kepada parti itu memenangi PRU yang bakal diadakan.

Bagaimanapun, jika PRU15 ditangguhkan sehingga tahun depan, terdapat kemungkinan mereka akan menyalahkan pucuk pimpinan BN sekarang atas pemenjaraan Najib, dengan tidak mengundi atau mengalihkan sokongan kepada PN.

Pecah belah dalaman UMNO juga akan memberi kesusahan kepada penyokong-penyokong UMNO untuk membuat pilihan. Keretakan itu akan terus mendalam, khususnya antara kluster mahkamah dan kluster kabinet.

Jika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disabit hukuman sebelum PRU dan tidak dapat ketepikan sabitan sewaktu menunggu rayuan, maka pemenang terbesar dalam UMNO ialah Datuk Seri Mohamad Hasan – sebagai Timbalan Presiden, beliau dapat memangku jawatan Presiden.

Beliau merupakan pemimpin yang tidak berdepan sebarang pendakwaan di mahkamah dan berkarisma, jadi dengan senangnya boleh meraih sokongan ahli-ahli UMNO yang sangat memerlukan seorang pemimpin ‘ikon’ bakal menggantikan Najib untuk meneruskan fenomena Bossku.

* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina ialah seorang peguam dan pemerhati politik.

Klik di sini untuk terus membaca