NIKMAT kurnian ALLAH SWT berbentuk anugerah atau manfaat, seorang hamba patut bersyukur terhadap penciptaNya. Menurut Imam al-Ghazali syukur perlu dizahirkan dalam tiga perkara iaitu ilmu, mengakui bahawa segala nikmat datangnya daripada... Klik di sini untuk terus membaca

NIKMAT kurnian ALLAH SWT berbentuk anugerah atau manfaat, seorang hamba patut bersyukur terhadap penciptaNya.

Menurut Imam al-Ghazali syukur perlu dizahirkan dalam tiga perkara iaitu ilmu, mengakui bahawa segala nikmat datangnya daripada ALLAH, hal atau penzahiran rasa gembira dalam bentuk tingkah laku dan amal.

Atau pembuktian rasa syukur melalui amalan dengan hati ikhlas kerana ALLAH, lidah yang sentiasa mengucapkan syukur dan amalan anggota badan menggunakan nikmat tersebut untuk kebaikan bukan kemaksiatan.

Terlepas daripada belenggu kezaliman yang dilakukan oleh pihak lain sehingga membawa mudarat kepada diri sendiri, keluarga, rakyat dan negara juga adalah suatu nikmat anugerah daripada ALLAH.

Pelaku kezaliman yang diuji dengan suatu musibah tidak bermakna hidup atau masa depannya sudah berakhir, bahkan ia merupakan suatu ujian dan pengajaran daripada ALLAH kepada hambaNya agar mereka kembali ke pangkal jalan, muhasabah dengan menginsafi perbuatan lepas, mohon ampun atau bertaubat kecuali dosa syirik tidak diampunkan oleh ALLAH.

Dikatakan orang sufi amat bersyukur menerima ujian ALLAH seperti sakit, sebaliknya orang awam tidak sebegitu. Kejayaan dan kemewahan hidup satu nikmat daripada ALLAH apa pun boleh bertukar menjadi istidraj (membawa berbagai maksud dalam bahasa Arab antaranya bertukar daripada nikmat ke azab, hampir kepada azab ALLAH tanpa disedari, permainan syaitan mengangkat manusia ke suatu tempat kemudian mencampakkannya ke jurang kebinasaan).

Dalam erti kata nikmat diberikan tanpa terputus dan penerimanya tidak sedar bahawa dirinya dimurkai oleh ALLAH disebabkan pecah amanah, penyelewengan dan seumpamanya yang dilakukan olehnya. Hingga pada suatu ketika semua kesenangan itu dicabut oleh ALLAH dalam sekelip mata, penyesalan sudah terlambat.

Menjadi lumrah umat Islam di Malaysia menzahirkan rasa syukur atas suatu nikmat yang dikecapi dalam pelbagai bentuk sama ada memberi sedekah, majlis doa selamat, jamuan makan dan seumpamanya. Persoalannya patutkah umat Islam melahirkan rasa syukur dengan menzahirkan perasaan gembira apabila kezaliman dapat dilumpuhkan dan keadilan dapat ditegakkan?

Dalam kitab Zad al-Maád karangan Ibnu Qayyim ada disebutkan Abu bakar RA melakukan sujud syukur ketika mendengar kematian Musailamah al-Kazzab dan perkara yang sama dilakukan oleh Ali RA apabila menemui mayat Hurqus bin Zuhair al-Bajali atau lebih dikenali dengan panggilan Dzu al-Thudayyah.

Seorang pemimpin Khawarij yang terbunuh ketika beliau memerangi Ali RA dalam satu peperangan seperti mana yang dinukilkan dalam kitab Musannaf Ibnu Abi Syaibah. Disebut juga dalam kitab Syu’ab al-Iman karangan al-Baihaqi sebahagian tokoh besar dari kalangan Tabiín seperti Ibrahim al-Nakhaei, Tawuss bin Kisan, Abi Amr bin Ala’ dan Umar bin Abdul Aziz bahawa mereka melahirkan perasaan gembira sebagai tanda syukur apabila sampai ke telinga mereka kematian Yusuf bin al-Hajjaj sehingga ada di kalangan mereka menangis kegembiraan, sujud syukur dan sentiasa membacakan ayat ALLAH dalam surah al-Anám ayat 45 yang bermaksud: "Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji tertentu bagi ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

Pernah dikatakan kepada al-Imam Ahmad ibnu Hanbal: Jika ada seorang yang bergembira dengan musibah yang menimpa Ibnu Abi Duat (pendokong muktazilah) apakah dia berdosa? Al-Imam Ahmad menjawab: Siapa yang tidak bergembira dengan mendengar khabar tersebut?

Dalam tradisi kaum Yahudi, puasa Asyura yang dilakukan pada hari ke-10 Muharram merupakan satu bentuk kesyukuran atas kemenangan Nabi Musa bersama Bani Israel daripada musuh mereka Fir’aun yang ditenggelamkan laut Merah.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud: "Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, lalu Baginda bertanya: Apakah ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana ALLAH telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa lalu Baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

Seorang tokoh tafsir tersohor Mohamad Tahir bin Ásyur dalam kitab beliau al-Tahrir wa al-Tanwir menyatakan ucapan segala puji bagi ALLAH Tuhan sekalian Alam pada ayat tersebut (al-Anám 45) memberikan tiga pengertian:

Pengajaran agar Rasulullah dan orang beriman sentiasa memuji ALLAH yang memberikan kemenangan kepada mereka dengan menghancurkan orang yang zalim. Hanya dengan nikmat tersebut kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini dapat dihapuskan.

Ucapan pujian tersebut sebagai kiasan atas segala nikmat yang dianugerahkan sebelumnya kerana datangnya suatu nikmat berpunca daripada mensyukuri nikmat sebelumnya.

Ucapan pujian tersebut datangnya daripada ALLAH bertujuan untuk menggambarkan kekaguman dan kebanggaan yang datang daripada ALLAH SWT yang sentiasa memberikan balasan kepada golongan yang zalim walaupun pada zahirnya nampak seperti mereka akan terlepas atau dibiarkan begitu sahaja.

Manakala Wahbah al-Zuhaili dalam At Tafsir Al Munir menyebut hubungan kalimat "walhamdu lillâhi rabbil ’âlamîn” dengan kemusnahan orang-orang zalim, dengan berkata,"Ayat ini memberi isyarat bahawa kehancuran orang-orang yang menjadi perosak (mufsidîn) adalah suatu nikmat dari ALLAH”.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Qatadah RA, satu jenazah dibawa melintas di hadapan Nabi SAW. Maka Nabi SAW bersabda: "Ada jenazah yang beristirahat (mustarîh) dan ada jenazah yang pihak lain beristirahat darinya (mustarâh minhu).” Kata para sahabat bertanyakan hal demikian: "Wahai Rasulullah, apa yang dimaksud dengan mustarih dan mustarah minhu? Nabi SAW menjawab: "Seorang hamba yang mukmin beristirahat dari kepayahan dan gangguan dunia menuju rahmat ALLAH, sedangkan (mustarâh minhu) ialah jenazah hamba yang fajir (jahat), maka banyak manusia, bumi, pepohonan, dan binatang, beristirahat darinya” (Riwayat al-Bukhari).

Justeru kematian orang fajir (zalim) atau musibah yang menimpa mereka adalah suatu nikmat daripada ALLAH SWT, yang patut untuk disyukuri oleh umat Islam misalnya dengan merasa bergembira atau mengucapkan "Alhamdulillah”.

Dalam kitab tafsir Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 148 dari surah al-Nisa, Ibnu Kathir menukilkan pendapat daripada Ibnu Abbas dengan katanya: "ALLAH SWT tidak suka kepada hambanya yang mendoakan keburukan kepada saudaranya kecuali jika dirinya dizalimi.

Pada ketika itu ALLAH SWT membenarkan perbuatan mendoakan agar diberikan balasan kepada pelaku zalim tadi, namun jika orang tersebut memilih untuk bersabar itu adalah yang terbaik.

Atas dasar itu itu para ulama mengatakan harus mendoakan ke atas orang yang zalim, sebagaimana harus juga menzahirkan perasaan gembira dengan tujuan mensyukuri nikmat ALLAH disebabkan balasan ALLAH ke atas orang yang zalim sama ada dengan kematian atau hukuman di dunia, bersandarkan kepada firman ALLAH SWT dalam surah Al An’am ayat 45 dan dalil-dalil yang telah dikemukakan sebelumnya.

*Datuk Mohamad Din Yusoh ialah Penulis buku Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat

Klik di sini untuk terus membaca