SHAH ALAM - Trend orang muda mencari rumah lelong di negara ini meningkat hampir dua kali ganda sejak awal tahun ini selepas kerajaan membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Perunding hartanah lelong, Sharifah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Trend orang muda mencari rumah lelong di negara ini meningkat hampir dua kali ganda sejak awal tahun ini selepas kerajaan membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perunding hartanah lelong, Sharifah Sallina Syed Hashim Al-Djufry berkata, secara purata sejak Januari lalu, lebih 25 anak muda menghubunginya untuk mencari rumah dan tanah lelong dalam tempoh sebulan berbanding hanya 10 orang berbuat demikian sebelum itu.

"Peningkatan memang nampak ketara, menunjukkan timbulnya kesedaran anak-anak muda yang sudah bekerja untuk cari rumah sebagai aset pertama mereka berbanding kereta.

"Mereka juga berlumba-lumba nak beli rumah lelong kerana ada duit dalam tangan disebabkan kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran wang KWSP,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sharifah Sallina berkata, wang KWSP itu digunakan untuk membayar deposit sebanyak 10 peratus.

Seorang lagi perunding hartanah lelong, Mohd Haris Sulaiman berkata, peningkatan permintaan rumah dan tanah lelong mula berlaku sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, ia kemudian melonjak pada awal tahun ini melibatkan pembeli muda berusia 20-an hingga 40-an.

Menurutnya, situasi itu berbeza berbanding sebelum ini apabila kebanyakan pembeli dalam kalangan usia 45 tahun ke atas.

"Dahulu orang beranggapan membeli rumah lelong banyak risiko. Sekarang mereka semakin faham dan kebanyakan yang datang menuntut ilmu ini adalah orang muda,” katanya.

Ujar Mohd Haris yang bergiat aktif dalam industri hartanah lelong sejak 2009, biasanya pembeli akan memilih rumah atau tanah di kawasan perumahan yang strategik, matang dan menyediakan banyak peluang pekerjaan.

"Pembukaan kawasan baharu mengambil masa lama untuk berkembang, sebab itu sesetengah orang suka kawasan yang matang atau separa matang.

"Contohnya, 10 tahun dahulu kalau rumah di Rawang atau Bukit Beruntung mungkin orang was-was mahu membelinya tetapi kini dapat permintaan hangat,” jelasnya.

Sementara itu, pelelong berlesen, Ishak Hat berkata, trend peningkatan tersebut adakala menyebabkan per-mintaan melebihi tanah dan rumah sedia ada.

Beliau berkata, senarai hartanah yang ada semakin menjadi rebutan apabila bank mula membuka proses lelongan sedikit demi sedikit selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dahulu bank tidak melelong disebabkan PKP, jadi proses tidak ada. Apabila bank dibuka semula, lelongan dibuat secara sedikit dan bukan mendadak. Jadi, senarai hartanah yang ada menjadi rebutan,” katanya.

Tambah Ishak, biasanya pelelong akan meletakkan bajet bidaan RM500,000 ke bawah bagi rumah bertanah, bergantung pada kawasan.

"Harga tersebut biasanya untuk rumah bertanah di kawasan subbandar seperti Lembah Klang, Rawang, Bangi dan Nilai,” jelasnya.

Dalam pada itu, perunding hartanah, Mohamad Yusuff Mohd Azlan berkata, aset lelong menawarkan harga sekitar 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran semasa.

Ujarnya, pengalaman berjaya membeli rumah dan tanah lelong yang dikongsi di laman sosial juga memberi keyakinan kepada anak-anak muda.

"Selain itu, ramai juga ejen hartanah termasuk ada yang menulis buku berkenaan hartanah lelong.

"Dahulu anak muda sekadar tahu kewujudan rumah tetapi tidak berani masuk lelongan awam. Sekarang selepas ada ilmu, mereka sudah berani membida harga,” katanya.

HARGA RENDAH JADI TARIKAN

Dalam pada itu, golongan muda mempunyai pandangan tersendiri sama ada mahu membeli hartanah lelong atau baharu sebagai aset pertama dan pelaburan jangka panjang.

Taha Rusydi Mohd Nazri, 33, berkata, harga rumah lelong yang ditawarkan lebih rendah berbanding pasaran menjadi faktor utama dia tertarik untuk membeli hartanah tersebut.

Penolong pengurus bank di Kuala Lumpur itu berkata, rumah di kawasan strategik dan mempunyai akses kepada kemudahan lain seperti pengangkutan awam, bangunan kedai serta pasar raya menjadi pilihan ramai.

"Kita tahu rumah lelong ini bukan sahaja melibatkan rumah lama kerana ada juga rumah yang baru siap tetapi terpaksa dilelong kerana pemilik tidak mampu bayar pinjaman bank,” katanya kepada Sinar Ahad.

Bagi Harisa Ameera, 27, yang merupakan penulis iklan dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur berkata, dia tertarik untuk membeli rumah lelong, namun bergantung kepada keadaan dan lokasi kediaman tersebut.

"Sebab kalau dapat rumah lelong yang berkondisi baik dan harga pula lebih murah daripada pasaran, kita tak perlu keluarkan duit lebih untuk ubah suai rumah. Itu sahaja sudah jimat,” ujarnya.

Berbeza pula seorang penolong jualan dari Kuala Lumpur, Muhammad Najmi Nadzrul Rizal, 25, apabila dia memilih membeli rumah baharu sebagai kediaman pertama kerana faktor kekangan kewangan yang diperlukan jika mahu membida rumah lelong.

Klik di sini untuk terus membaca