TIDAK ada seorang pemimpin UMNO yang boleh dilabel sebagai ‘amat diperlukan’, malah parti itu masih mempunyai taring dan pengaruh biarpun tanpa, Datuk Seri Najib Tun Razak. Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK ada seorang pemimpin UMNO yang boleh dilabel sebagai ‘amat diperlukan’, malah parti itu masih mempunyai taring dan pengaruh biarpun tanpa, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROFESOR DR KARTINI ABOO TALIB berkata, aura UMNO tidak terletak pada Najib sebaliknya masih ada pemimpin lain yang boleh menjadi pengganti.

Katanya, hukuman yang telah dijatuhkan terhadap Najib dan proses perundangan melibatkan kluster-kluster mahkamah berkaitan parti itu perlu dimanfaatkan UMNO untuk membuktikan mereka serius melakukan ‘pembersihan’ dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

"UMNO tidak hanya bergantung kepada aura seorang pemimpin sahaja tetapi melihat kepada tindak-tanduk yang telah dibuktikan boleh memimpin negara,” katanya.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, NURHIDAYAH HAIROM bersama Kartini bagi mengupas mengenai masa depan UMNO.

SINAR AHAD: Selepas keputusan mahkamah melibatkan Najib yang juga pemimpin berpengaruh UMNO, bagaimana Profesor melihat nasib parti itu selepas ini?

KARTINI: Pada saya tidak perlu bimbang kerana UMNO adalah sebuah parti yang sangat lama. Cukup membumi, cukup mengakar. Apa yang berlaku baru-baru ini terhadap UMNO sebenarnya perkara yang baik jika dilihat daripada sudut positif.

Ibarat badan ini kalau bisul dibuang, sakit dibuang, maka sihatlah. Maknanya kluster mahkamah ini kalaulah dibersihkan daripada UMNO, parti itu semakin kukuh dan ramai akan memuji bahawa UMNO telah mengambil pendekatan yang baik untuk mengamalkan sikap beramanah dan berintegriti dengan tidak campur tangan terhadap badan kehakiman.

Sesuailah dengan apa yang mahu dibawa untuk bersihkan imej parti daripada rasuah dan mahu menjuarai sikap integriti dan amanah.

Jadi inilah peluang untuk membuktikannya. Saya kira tiada siapa akan marah atau benci UMNO melalui tindakan diambil dengan membenarkan mahkamah membuat keputusan sesuai dengan apa yang dibicarakan.

- Jika kita lihat selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Najib banyak menjuarai isu-isu di media sosial yang dilihat mengembalikan aura UMNO itu sendiri. Bermaksud, mungkin Najib sendiri mempunyai auranya. Tetapi selepas apa yang berlaku sekarang, adakah UMNO akan hilang aura?

Aura itu tidak hanya terletak pada seorang pemimpin sahaja. UMNO ini ramai pemimpin yang berkaliber.

Kalau kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri dengan pengenalan kepada konsep Keluarga Malaysia dan persetujuan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembangkang telah menunjukkan kesediaan untuk meneruskan usaha penguatkuasaan kepada Akta Lompat Parti.

Jadi UMNO tidak hanya bergantung kepada aura seorang pemimpin sahaja tetapi melihat kepada tindak-tanduk yang telah dibuktikan boleh memimpin negara.

- Selain daripada Najib, adakah UMNO mempunyai figura hebat lain yang akan beri impak pada PRU15 nanti?

Pada saya ramai lagi pemimpin UMNO yang hebat. Saya kira setiap parti politik ada figura tersendiri. Kalau sekarang ini kita lihat dari sudut UMNO, parti itu sendiri ramai pemimpin yang baik dan boleh menarik kepercayaan orang ramai.

Bukan sahaja melihat Ismail Sabri tapi boleh juga melihat pada Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan pemimpin pemuda UMNO sendiri saya kira tidak ada masalah.

Dalam kata lain, tidak ada seorang pun (pemimpin UMNO) untuk kita katakan amat diperlukan. Semuanya boleh bertukar dan berganti. Semua boleh berlaku dalam parti dan setiap parti itu sudah ada satu latihan untuk melahirkan pemimpin seterusnya.

UMNO parti yang saya kira paling kerap membuat pembaharuan untuk kenalkan generasi pelapis pemimpin selepasnya.

- Adakah ketika ini masa paling sesuai untuk UMNO tonjolkan barisan pemimpin muda sahaja?

Kalau kita lihat trend melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) semuanya dimenangi UMNO di bawah BN. Kita nampak strategi UMNO meletakkan calon-calon muda serta baharu dan ia berjaya.

Begitu juga semasa strategi dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Kedua-dua negeri menunjukkan BN berupaya menyapu bersih 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menang.

Di sini kita boleh lihat bahawa kegusaran tentang siapa pengganti Najib tidak wujud sebenarnya. UMNO sentiasa ada calon-calon yang berkaliber untuk ditampilkan. Jika kita lihat bukan semua pemimpin UMNO terpalit dengan imej buruk dan rasuah. Rakyat masih yakin bahawa kalaulah kluster mahkamah dikeluarkan, UMNO masih boleh bergerak maju dan terus diyakini.

Sebab mereka telah buktikan mereka telah menuju ke arah pembersihan imej dan menzahirkan kepada integriti serta amanah.

Sama seperti setandan pisang, kalau dua biji busuk kita tidak buang setandan pisang tersebut. Sama juga takkan kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar.

Kita semua telah lihat bagaimana sepanjang pentadbiran UMNO selama 60 tahun kemudian beralih kepada Pakatan Harapan (PH) selama dua tahun. Dua tahun itu juga tidak boleh menunjukkan kecerdasan pentadbiran seperti mana yang sebelumnya.

- Jadi apa yang UMNO boleh sandarkan selepas ini?

UMNO boleh terus percaya kepada Ismail Sabri dan kepimpinan barisan-barisannya. Ismail Sabri juga terbuka untuk melakukan satu gabungan strategik dengan mana-mana parti melalui sokongan ahli UMNO kepada beliau yang boleh memimpin negara.

Jadi kita kena tahu bahawa UMNO itu bukan dilihat sebagai parti bangsa Melayu yang monolitik. Dalamnya terdapat pecahan kumpulan etnik berbeza pandangan walaupun boleh berkongsi ideologi dan sokongan sama.

Mungkin sebahagian kecil dalam UMNO yang begitu menyokong Najib, kita akan nampak sokongan di situ tetapi sebahagian besar lagi mungkin berpandangan berbeza dan bersedia untuk move on ke satu fasa yang lebih bertujuan mengukuhkan UMNO pada masa depan.

- Apa perkara utama yang UMNO perlu tumpukan sekarang ini?

Saya kira strategi yang paling utama sekali ialah bagaimana UMNO boleh yakinkan dalam permuafakatan BN itu bukan sahaja UMNO tetapi komponen lain masih lagi relevan untuk pengundi memilih mereka.

Pertama mereka telah bersedia untuk bekerjasama dan menghormati pengasingan kuasa, menghormati keputusan mahkamah dan tidak mudah tergugat dengan perkara-perkara yang mungkin kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

Kedua, di bawah kepimpinan Ismail Sabri juga telah menunjukkan kesediaan untuk mengadakan perjanjian kerjasama politik dan bersedia untuk merealisasikan Akta Lompat Parti serta melihat kesungguhan untuk membawa negara keluar daripada inflasi.

Jadi kesemua ini berkait dengan keperluan semasa rakyat yang perlu diambil berat dan diperkukuhkan. Jadi kita nak lihat bagaimana mereka boleh menjuarai perkara-perkara ini.

Klik di sini untuk terus membaca