RUNDINGAN bagi memulihkan semula perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015 antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) bersama kuasa-kuasa besar nuklear masih belum berakhir. Perbincangan tersebut belum lagi menemui jalan penyelesaian... Klik di sini untuk terus membaca

RUNDINGAN bagi memulihkan semula perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015 antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) bersama kuasa-kuasa besar nuklear masih belum berakhir.

Perbincangan tersebut belum lagi menemui jalan penyelesaian setelah AS mengambil tindakan bersendirian di bawah pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump apabila mengarahkan Washington keluar daripada menyertai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2018.

Trump mengemukakan alasan penarikan keluar itu kerana mahu mengenakan sekatan ke atas sektor minyak Iran.

Namun, yang peliknya laporan portal berita Vox mendakwa bekas Presiden tersebut gagal mengemukakan bukti kukuh bahawa Teheran melanggar kandungan perjanjian berkenaan.

Perjanjian itu dimeterai pada 2015 dengan tujuan untuk mengehadkan program nuklear Iran bagi membolehkan Washington menarik balik sekatan ke atas negara tersebut termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, Israel bermati-matian menentang perjanjian itu daripada dihidupkan semula.

Rejim Zionis berterusan memujuk AS supaya tidak meneruskan JCPOA sehinggakan Perdana Menteri, Yair Lapid berbincang dengan Presiden AS, Joe Biden melalui panggilan telefon selama 45 minit pada 31 Ogos lalu.

Dalam perbincangan itu, Lapid menyatakan ancaman yang akan diberikan oleh Iran, manakala Biden menyatakan komitmennya untuk tidak membenarkan Iran menghasilkan senjata nuklear.

Sejak memegang jawatan Presiden AS tahun lalu, Biden cuba membuat tawaran kepada Iran untuk menghidupkan semula perjanjian tersebut.

Perjanjian itu sebelum ini diwujudkan di bawah pentadbiran bekas Presiden, Barack Obama ketika Biden memegang jawatan Naib Presiden.

Ketika ini, Israel takut jika perjanjian tersebut dihidupkan semula.

Alasan yang dikemukakan Lapid kenapa Israel tidak mahu ia dilaksanakan semula adalah kerana ia akan menjana sehingga AS$100 bilion (RM447.4 bilion) setahun kepada Iran.

Wang itu dikhuatiri akan digunakan oleh kumpulan yang disokong Iran seperti Hamas, Hizbullah dan Jihad Islam untuk menggugat kestabilan di Asia Barat.

CUBA LOBI BARAT

Baru-baru ini, Lapid berkata kepada wartawan bahawa beliau telah bercakap dengan kepimpinan Britain, Perancis dan Jerman berhubung penentangan negaranya terhadap perjanjian tersebut.

Jika JCPOA itu dihidupkan semula, Perdana Menteri itu berkata, Israel tidak akan terikat dengannya.

Berikutan isu nuklear itu juga, Israel telah melakukan persediaan untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran jika tindakan tersebut dianggap perlu untuk diambil.

Israel bersiap sedia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Iran - AFP

Ketua badan perisikan Mossad, David Barnea memberitahu mereka telah bersiap sedia untuk bertindak balas.

Menurutnya, Israel akan berada dalam keadaan bahaya jika tiada tindakan segera diambil.

Sebelum ini, Tel Aviv dipercayai telah mendalangi siri pembunuhan saintis-saintis nuklear di Iran.

Israel dan Iran juga saling melancarkan perang siber sebagai tanda protes antara satu sama lain.

Bagaimanapun, selepas Mossad mendedahkan Israel telah melakukan persediaan untuk melancarkan ketenteraan ke atas Iran, Teheran pula membuat kenyataan balas yang lebih tegas.

Pada awal minggu lalu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi menyelar ancaman diberikan Israel kerana rejim Tel Aviv dikatakan bimbang dengan keupayaan teknologi nuklear mereka.

Merujuk kepada usaha Israel untuk mempengaruhi Barat daripada menghidupkan semula perjanjian nuklear itu, Ebrahim berkata, pembunuhan saintis-saintis nuklear Iran dan operasi sabotaj bertujuan untuk menghentikan program berkenaan adalah perbuatan yang sia-sia.

"Kami enggan menyerah kalah kepada ugutan mana-mana pihak terutamanya Israel dan Teheran tidak akan sesekali menghentikan program nuklear negara ini,” tegasnya.

Beliau juga secara sinis menyindir kegagalan Israel untuk memerangi perjuangan kumpulan pejuang Palestin sehingga kini.

Namun, Israel masih bersungguh-sungguh untuk memastikan perjanjian itu tidak dihidupkan semula.

Tel Aviv turut menghantar Menteri Pertahanan, Benny Gantz dan Penasihat Keselamatan, Eyal Hulata ke AS untuk melakukan perbincangan bersama secara intensif mengenai isu tersebut.

Persoalannya, adakah Washington akan tunduk dengan gesaan sekutu rapatnya, sedangkan kuasa besar nuklear lain tetap mahu memuktamadkan semula perjanjian JCPOA bersama Iran.

Klik di sini untuk terus membaca