UKRAINE telah menyambut ulang tahun ke-31 kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet (USSR) pada 24 Ogos lalu. Pada tarikh sama juga menandakan Perang Rusia-Ukraine telah berlangsung selama enam bulan.
Pada 24 Februari lalu, tentera Rusia telah melancarkan serangan untuk menceroboh bahagian timur laut dan tenggara Ukraine.
Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengumumkan ‘operasi ketenteraan khas’ bagi tujuan demilitarisasi dan menghapuskan pengaruh Nazi di Ukraine.
Operasi ketenteraan dilakukan melalui serangan peluru berpandu, udara dan laut serta pendudukan tentera darat.
Serangan tersebut mendapat kritikan di peringkat antarabangsa sebagai perang pencerobohan. Justeru, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan resolusi menuntut pe-ngunduran sepenuhnya tentera Rusia.
Institusi antarabangsa yang lain seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengarahkan Rusia menangguhkan operasi ketenteraan dan Majlis Eropah pula mengarahkan Rusia mengundurkan tenteranya.
Selain itu, banyak negara telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia. Pada masa sama, masyarakat antarabangsa khas Amerika Syarikat (AS) dan anggota Kesatuan Eropah telah memberi bantuan kemanusiaan serta senjata kepada Ukraine.
Pada peringkat awal, ramai penganalisis telah meramal perang tersebut akan berakhir dengan segera kerana Rusia adalah sebuah kuasa besar dan mempunyai kemampuan ketenteraan serta ekonomi jauh lebih kukuh berbanding Ukraine.
Namun, tentera Rusia hanya mampu menguasai wilayah timur Ukraine seperti Donbas, Donetsk and Luhansk. Setelah enam bulan, perang masih terus berlangsung dan kerajaan Ukraine di bawah pimpinan Presidennya, Volodymyr Zelenskyy masih bertahan sehingga hari ini.
Timbul persoalan, bila perang Rusia-Ukraine akan tamat dan punca menyebabkan Rusia masih belum mampu mencapai kemenangan mutlak.
Pertama, Putin telah membuat ramalan kurang tepat – apabila tentera Rusia menceroboh Ukraine, penduduk akan bangun menjatuhkan kerajaan pimpinan Zelenskyy, sebaliknya semangat nasionalisme mereka telah bertambah kukuh bagi menentang pencerobohan Rusia.
Masalah utama tentera Rusia adalah mereka tiada keupayaan cukup untuk terus mara ke dalam wilayah Ukraine dan kemudian mengekalkan kawalannya.
Untuk berbuat demikian, tentera Rusia memerlukan sokongan logistik besar-besaran dengan kos amat tinggi. Realitinya tidak mudah dan amat sukar kerana kini Rusia berdepan tekanan kewangan serius akibat sekatan ekonomi dikenakan masyarakat antarabangsa.
KOMPROMI
Justeru, Putin terpaksa berpuas hati dengan hanya menguasai 20 peratus wilayah Ukraine.
Bagi AS, perang antara Rusia dan Ukraine telah membawa faedah dari segi perluasan pengaruh. Sejak pencerobohan berlaku, lebih ramai tentera AS telah ditempatkan di Eropah.
Ancaman kemungkinan serangan Rusia telah dijadikan dalih bagi AS untuk meningkatkan hampir 100,000 tenteranya bagi mengimbangi dan melindungi Eropah.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga telah memberi peluang AS memperkukuh hegemoni AS di Eropah melalui Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sebaliknya, bagi negara-negara Eropah, setelah enam bulan peperangan berlaku, ekonomi mereka turut terjejas akibat pergantungan kepada bekalan minyak dan gas asli dari Rusia.
Harga minyak terus meningkat sehingga menjejaskan kos kehidupan harian. Negara-negara Eropah juga terpaksa meningkatkan perbelanjaan dalam bidang pertahanan bagi meningkatkan keupayaan tentera jika perang Rusia-Ukraine beralih ke Eropah.
Jadi, bila perang Rusia-Ukraine akan tamat? Buat masa ini tiada jawapan yang muktamad kerana jelas setelah enam bulan, tentera Rusia dan Ukraine kini berada dalam keadaan buntu.
Jika dibandingkan dengan komoditi, peperangan tidak mempunyai tarikh luput. Ia boleh berlangsung selama beberapa dekad.
Kuasa besar seperti Rusia dan AS harus belajar daripada kesilapan di Afghanistan, Iraq dan Vietnam kerana pada peringkat awal mereka menjangka peperangan yang singkat, sebaliknya berlarutan bertahun-tahun.
Dalam hal ini, yang menjadi mangsa adalah penduduk dan anggota tentera yang terpaksa mengikut arahan.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca