INSTITUSI mahkamah, sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah mempunyai kehebatannya sendiri. Ia bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat diamalkan dalam sesebuah negara. Mahkamah tersebut diberi bidang kuasa dan kausa melalui undang... Klik di sini untuk terus membaca

INSTITUSI mahkamah, sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah mempunyai kehebatannya sendiri. Ia bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat diamalkan dalam sesebuah negara.

Mahkamah tersebut diberi bidang kuasa dan kausa melalui undang undang, sekali gus perlu dihormati.

Mahkamah adalah institusi berbeza dari institusi lain kerana ia menzahirkan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, khususnya di peringkat negeri serta dalam bidang-bidang kehakiman dan perundangan.

Bagi Mahkamah Syariah yang telah wujud begitu lama, ia adalah kehendak agama iaitu melaksanakan keadilan menurut hukum syarak.

Sehubungan itu, kedudukan Mahkamah Syariah sewajarnya dibebaskan daripada sebarang pengaruh lain yang menjejaskan pentadbiran keadilan syariah.

Penulis mendapati ada Majlis Agama Islam negeri yang berusaha memperkasakan institusi Majlis Agama Islam.

Usaha itu harus dipuji kerana ia adalah badan tertinggi yang menasihati raja-raja di negeri-negeri. Namun, usaha yang tidak berhati-hati mungkin akan mendatangkan ketidakadilan dan menjejaskan pentadbiran keadilan di negeri tersebut.

Contohnya, jika Mahkamah Syariah diletakkan di bawah Majlis Agama Islam secara terus, pelbagai kes melibatkan Majlis Agama Islam sebagai plaintif atau defendan tidak dapat dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana mahkamah itu sendiri berada di bawah Majlis Agama Islam tersebut.

Pelbagai kes melibatkan pengesahan agama seseorang, pengesahan waqf dan lain-lain memang melibatkan Majlis Agama Islam, sama ada sebagai plaintif atau defendan.

Dalam hal demikian, kes-kes tersebut mungkin tidak akan dapat dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah Syariah.

Jika Mahkamah Syariah memutuskan sesuatu kes tidak menyebelahi Majlis Agama Islam itu, sudah pasti hakim yang membicarakannya akan menghadapi dilema semasa buat keputusan melibatkan Majlis Agama Islam tersebut.

Penulis berpendapat, pemerkasaan sesebuah Majlis Agama Islam mestilah tidak menyentuh bidang kuasa, kuasa dan kedudukan Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Dengan cara itu, Mahkamah Syariah akan lebih dihormati dan dapat menjalankan keadilan dengan baik.

Begitu juga peranan hakim-hakim syarie tidak boleh dikesampingkan sama ada dari sudut protokol atau bidang kuasa dan perintah hakim tersebut.

PENJAJAH TIDAK HIRAU MAHKAMAH SYARIAH

Hakim syarie tidak boleh sewenang-wenangnya ditarik balik tauliah kehakimannya tanpa siasatan wajar.

Walaupun hakim syarie itu ketika ini adalah penjawat awam, tertakluk kepada peraturan-peraturan perkhidmatan awam, namun pemecatannya hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah.

Walaupun Mahkamah Syariah wujud lebih dahulu dari Mahkamah Sivil, namun ia agak ketinggalan pada zaman penjajah kerana pihak penjajah tidak menghiraukan kedudukan Mahkamah Syariah.

Selepas merdeka, ia tidak diberikan tempat sewajarnya seolah-olah dilupakan sementara oleh pihak berkuasa atas sebab tidak diketahui.

Hanya kebelakangan ini Mahkamah Syariah mendapat tempat agak baik khususnya setelah wujud Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Mungkin dari sudut prasarana, terdapat banyak perubahan fizikal tetapi diharap ia tidaklah sekadar bersifat kosmetik sahaja.

Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1984 masih belum dipinda bagi memberi lebih banyak kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal kesalahan yang membawa hukuman lebih berat dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Setakat ini, menurut akta tersebut, Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam kali sebatan.

Penstrukturan semula Mahkamah Syariah akan melakar sejarah kerana hierarki mahkamah ditingkatkan daripada tiga tingkat sahaja sudah pasti akan memberikan keadilan diinginkan rakyat.

Diharap penstrukturan semula yang sering diuar-uarkan itu dapat direalisasikan dengan segera. Perak telah memulakan langkah itu dengan mewujudkan empat peringkat Mahkamah Syariah.

Adunan prosedur antara adversarial dan inquisitorial dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah akan lebih efektif, efisien dan lancar kerana perkara teknikal tidak lagi diambil kira sehingga menghalang keadilan dilaksanakan.

Usaha memartabatkan Mahkamah Syariah bukan kerja mudah. Semoga segala usaha itu akan membuahkan hasil dan Mahkamah Syariah lebih dihormati.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca