SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad mempunyai tiga pilihan yang boleh dikemukakan untuk perbicaraan kes bela diri selama 14 hari bermula 23 September ini.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad mempunyai tiga pilihan yang boleh dikemukakan untuk perbicaraan kes bela diri selama 14 hari bermula 23 September ini.

Peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, tiga pilihan tersebut adalah keterangan secara bersumpah, keterangan secara tidak bersumpah atau memilih untuk berdiam diri.

Menurutnya, jika tertuduh memilih untuk memberikan kenyataan secara bersumpah di kandang saksi, ia akan melibatkan soal balas dari pihak pendakwa raya berkaitan kes yang dibicarakan kepada tertuduh.

"Seandainya tertuduh mengambil keputusan untuk berdiam diri dan tidak menjawab apa-apa soalan maka keputusan akan diserahkan kepada pihak mahkamah sama ada disabitkan kesalahan atau tidak,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat mengarahkan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan berkenaan dan menetapkan perbicaraan bermula 23 September ini selama 14 hari.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ujar Ahmad Shamil, perbicaraan bela diri itu akan berakhir dengan hujah penggulungan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan untuk penilaian hakim.

"Sekiranya pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan yang munasabah atau penafian tanpa bukti lain, mahkamah akan kekal dengan pensabitan hukuman terhadap tertuduh,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca