DATUK Seri Najib Tun Razak untuk satu tempoh yang panjang disanjung dan disokong tetapi akhirnya mengecewakan kita, telah masuk penjara.
Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang pernah melantik dirinya sebagai First Lady of Malaysia (FLOM) atau Wanita Pertama Malaysia dan dominan dalam pentadbiran Najib telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta pada 1 September lalu dalam kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak.
Ada orang menimbulkan persoalan mengapa denda Rosmah lebih besar daripada Najib. Jawapannya kerana jumlah rasuah dalam kes Rosmah lebih besar. Bayangkan, projek untuk sekolah terpencil luar bandar pun mereka curi.
Pada 2 September, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad pula diperintahkan membela diri dalam kes rasuah berkaitan RM150 juta pelaburan Felcra.
Pada 30 Ogos lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai membela diri dalam kes pecah amanah Yayasan Akalbudi.
Walaupun proses pengadilan sudah mula membuahkan hasil positif seperti pemenjaraan Najib dan hukuman penjara serta denda ke atas Rosmah dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam kes rasuah Felda Investment Corporation, ia bukanlah sebab untuk kita bergembira.
HUKUMAN DI TABIR BESI
Penjenayah mungkin sedang atau akan membayar hutang perbuatan jahat mereka di belakang tabir besi tetapi kitalah yang terpaksa memikul beban perbuatan jahat mereka. Hatta, makan pakai mereka dalam penjara itu pun kita yang tanggung.
Kesan politik, ekonomi dan psikologi yang mereka tinggalkan akan menghantui serta membebani kita bagi satu tempoh panjang. Dalam proses mencari keadilan, kestabilan dan keutuhan politik kita diuji.
Kita boleh berbangga dengan keazaman Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji pilihan rayanya untuk membawa kes-kes rasuah berprofil tinggi ke muka pengadilan walaupun sempat mentadbir selama 22 bulan sebelum digulingkan.
Kita turut berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak campur tangan urusan kehakiman walaupun ada tekanan ke arah itu.
Ia membuktikan sedikit sebanyak kelakuan politik (political behaviour) kita selepas kekalahan UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berubah menjadi lebih baik.
Muhyiddin dan Ismail Sabri berani mengambil risiko menolak tuntutan fiksyen yang terdesak dalam UMNO. Parti-parti pembangkang pula bersedia bekerjasama dengan kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.
Dari sudut ekonomi pula, beban hutang dan kos projek-projek mega yang mereka tinggalkan akan mengambil masa panjang serta perbelanjaan tinggi untuk diselesaikan.
Ambil contoh, hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM50.75 bilion. Walaupun mula dibayar balik seawal 2015, namun ia akan hanya dilunaskan sepenuhnya pada 2039 iaitu 24 tahun dari sekarang.
Dari segi psikologi, perbuatan rasuah pemimpin dan ahli keluarga mereka telah, secara khusus membuatkan orang Melayu sendiri hilang keyakinan kepada UMNO, manakala orang ramai amnya tawar hati terhadap politik.
Hal itu terbukti dengan kekalahan UMNO/BN pada PRU14 dan bilangan keluar mengundi yang semakin kecil.
Ia aliran yang sangat berbahaya kerana boleh membawa kepada pembentukan kerajaan minoriti yang dipilih oleh sebilangan kecil pengundi sahaja.
Harapan kita, undi 18 akan menyegarkan semula persekitaran politik dan melahirkan barisan pemimpin pewaris berwibawa.
UMNO sendiri masih ada peluang dipulihkan jika proses pembersihan paksa melalui perbicaraan dan pemenjaraan pemimpin korup diperluaskan menjadi gerakan sukarela. Masih ada pemimpin yang boleh diterima dalam parti tua itu.
Kesimpulannya, kalau kita mahu dan tahu caranya, kita boleh mengubah cabaran besar yang sedang kita hadapi sekarang menjadi peluang untuk memperbaiki negara dalam segala hal.
Dan kalau boleh kita berpuisi, maka bolehlah kita katakan di sebalik awan hitam yang mengancam, ada matahari terang benderang. Insya-ALLAH.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca