SHAH ALAM - Walaupun murah berbanding harga pasaran, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam membuat keputusan membeli rumah lelong bagi mengelakkan kerugian lebih besar selepas berjaya membida aset tersebut. Peguam hartanah, Nurin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Walaupun murah berbanding harga pasaran, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam membuat keputusan membeli rumah lelong bagi mengelakkan kerugian lebih besar selepas berjaya membida aset tersebut.

Peguam hartanah, Nurin Nabilah Un berkata, harga rumah lelong sememangnya 30 sehingga 50 peratus lebih murah berbanding pasaran, namun sebenarnya mempunyai kos tersembunyi yang terpaksa dikeluarkan sekiranya pembida tidak berhati-hati.

Sehubungan itu, katanya, pembida perlu mengetahui beberapa perkara mengenai keadaan rumah tersebut selain mempunyai kemampuan kewangan sebelum memulakan bidaan.

"Tapi itulah kesilapan yang biasa dilakukan pembida. Sebab itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat kajian atau mendapatkan nasihat guaman terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pemilik firma guaman Nurin Nabilah dan Co itu berkata, pembida perlu terlebih dahulu melihat rumah yang mahu dibida dengan membuat pemeriksaan fizikal untuk memastikan kos baik pulih tidak terlalu tinggi sehingga mengatasi harga pasaran rumah tersebut.

"Jika harga rumah lelong itu 50 peratus kurang daripada harga pasaran, kemungkinan besar ada kerosakan yang akan menelan kos lebih tinggi untuk dibaiki.

"Selain itu, pembida juga perlu melakukan semakan harga pasaran rumah tersebut dengan membuat carian di pelbagai sumber seperti platform jual beli hartanah dalam talian atau merujuk ejen hartanah untuk mengetahui harga pasaran sesebuah rumah di kawasan tersebut,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, sebanyak 90 peratus pembida yang mahu membeli rumah lelong tidak membuat semakan kelayakan pinjaman di bank sebelum melakukan bidaan.

"Apabila gagal mendapatkan pinjaman untuk rumah yang dibida dalam tempoh 90 hingga 120 hari bergantung kepada jenis hartanah, deposit yang dikeluarkan itu akan hangus begitu sahaja.

"Jika rumah tersebut berharga RM300,000 dan deposit 10 peratus yang perlu dibayar terlebih dahulu ialah RM30,000. Daripada niat nak beli rumah harga murah, terus rugi berpuluh ribu ringgit kerana gagal mendapat pinjaman kewangan daripada mana-mana institusi kewangan,” katanya.

Nurin Nabilah berkata, pembida juga perlu menyediakan wang untuk kos guaman iaitu sebanyak satu peratus selain insurans rumah tersebut yang menjadi syarat utama untuk membeli rumah.

"Selain itu, tunggakan yang tinggi perlu ditanggung oleh pembida juga adalah perkara biasa berlaku. Untuk bil elektrik, air dan Indah Water mungkin tidak ada masalah memandangkan pembeli hanya perlu menyediakan deposit untuk membuka akaun baharu.

"Tetapi, biasanya pembida akan terkejut dengan tunggakan kos penyelenggaraan yang boleh mencecah ribuan ringgit. Dalam hal ini, kos tersebut perlu dibayar oleh pembida yang berjaya dan bukannya pemilik lama rumah itu," jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca