APABILA Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara pada Mac 2020, ia adalah satu harapan baharu kepada dunia perundangan negara. Datang dari luar lingkungan politik dan kontroversi, Idrus dilihat figura yang ada wibawa tersendiri.... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara pada Mac 2020, ia adalah satu harapan baharu kepada dunia perundangan negara. Datang dari luar lingkungan politik dan kontroversi, Idrus dilihat figura yang ada wibawa tersendiri.

Sepanjang dua tahun lalu, Idrus berdepan pelbagai krisis politik dan perundangan yang mungkin memenatkan, namun menenangkan negara. Kenyataan-kenyataan beliau yang tersusun dan nasihat beliau kepada Yang di-Pertuan Agong membolehkan Malaysia terus stabil di sebalik krisis politik serta pertukaran Perdana Menteri.

Sepanjang 2020 dan 2021, Pejabat Peguam Negara begitu responsif dalam memberi kenyataan media berkaitan dakwaan dan tanggapan masyarakat mengenai sesuatu kes yang menjadi tumpuan umum terutama berkaitan politik.

Antara kes dijawab secara langsung oleh Peguam Negara ialah penyelesaian denda dalam kes Pendakwa Raya lawan Riza Shahriz Abdul Aziz (2020), penarikan semula kes Pendakwa Raya lawan Tan Sri Musa Aman (2020), maklum balas kepada laporan Sarawak Report mengenai kes IPIC di United Kingdom (2020) dan menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor berhubung tiada tindakan Pejabat Peguam Negara (2020).

Selain itu, kes melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (2020) dan beberapa kenyataan media, antaranya mengenai kuasa memanggil Dewan Rakyat (2021), keabsahan Perdana Menteri (2021), kuasa melantik Perdana Menteri (2021), memaklumkan penerimaan kes siasatan kehilangan AS$6.94 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (2021) serta memaklumkan pengembalian kertas siasatan kehilangan AS$6.94 juta kepada SPRM bagi siasatan lanjut (2021).

Setakat ini ada tiga kenyataan media tahun ini iaitu pertuduhan ke atas kanak-kanak berumur 15 tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, keputusan untuk mengkompaun kesalahan Serba Dinamik Holdings Berhad dan dakwaan ada perundingan antara Pejabat Peguam Negara dengan pelarian jenayah Low Taek Jho (Jho Low).

Bagaimanapun, Peguam Negara sehingga kini belum memberi maklum balas rasmi berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan secara meluas dan telah mewujudkan tanggapan ada ‘penyelewengan keadilan’ daripada pihak kerajaan dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

TIMBUL KEKELIRUAN

Kekeliruan antara SPRM dan Pejabat Peguam Negara mengenai tuduhan ke atas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali langsung tergantung begitu sahaja.

Kes itu menjadi kepentingan umum kerana Mohd Nazlan ialah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib. Kemudian tersebar pula apa yang didakwa kertas siasatan SPRM, yang mengesyorkan tindakan pendakwaan ke atas Mohd Nazlan.

Pada Mei lalu, SPRM membuat kenyataan telah menyerah kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara. Namun, pada Ogos, Idrus menjawab soalan pemberita menyatakan,:"Saya tidak tahu. Ia (kertas siasatan Nazlan) tidak berada dengan kami.”

Jawapan Peguam Negara yang kabur itu telah membuka ruang pendapat tidak sihat terhadap keluhuran badan kehakiman dan pejabat Peguam Negara sendiri.

Kini terdapat dakwaan-dakwaan yang semakin membesar bahawa hukuman ke atas Najib telah tercemar berikutan sikap berdolak-dalik. Ia bukan sahaja mencemarkan sistem perundangan dan kehakiman negara, malah beri implikasi politik tidak baik kepada Perdana Menteri.

Sebahagian ahli partinya sendiri kini beranggapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan penyelewengan keadilan itu demi kedudukan beliau.

Jika dilihat sikap proaktif pejabat Peguam Negara terhadap isu kontroversi sebelum ini adalah sangat luar biasa untuk Idrus tidak langsung memberi maklum balas wajar dan secara bertanggungjawab.

Idrus mungkin perlu mengambil contoh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang menulis panjang lebar menjawab kritikan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo ke atas keputusan Mahkamah Rayuan.

Dalam era semua orang boleh menerbitkan pendapat mereka sendiri, Peguam Negara tidak boleh bertindak elegant silence atau eloquent silence dan mengharapkan masyarakat faham.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca