SHAH ALAM - Biarpun berdepan keperitan dan kepayahan ketika menyiasat kes penyelewengan dana SRC Internasional Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Pengarah Operasi Siasatan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin kini menarik nafas lega selepas segala kudratnya bersama pasukan tidak sia-sia.
Mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, ketika bekas Perdana Menteri itu berada di tampuk kekuasaan, tiada sesiapa yang berani menasihati apatah lagi 'menyentuh' beliau.
"Sayalah orang pertama dalam SPRM yang ditukarkan oleh organisasi lain, tapi bukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, aneh bukan? Lagi aneh orang yang tanda tangan pertukaran saya itu diberi jawatan pengerusi sebuah bank apabila pencen,” katanya kepada Sinar Premium.
Bahagian siasatan khas SPRM yang diketuai Bahri dibentuk pada tahun 2010 untuk menyiasat kes-kes berprofil tinggi, terutama yang melibatkan rasuah lebih daripada RM1 juta dan ke atas.
SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berada di bawah pemerhatian pasukan Bahri selepas RM42 juta wangnya ditemui dalam akaun bank peribadi Najib.
Najib ketika itu juga menerajui Kementerian Kewangan.
Pada 2015, siasatan SPRM terhadap kes SRC diganggu apabila polis menyerbu pejabat mereka dan menangkap beberapa pegawai dalam pasukan Bahri. Timbalan pendakwa raya SPRM pula ditahan reman.
Bahri dan seorang lagi pegawai kanan SPRM, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.
PILIH UNTUK BERTANI
Beliau kemudian bersara awal pada 2017 ekoran kekecewaan berhubung kes SRC, namun kembali bertugas pada Mei 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Persekutuan.
"Agensi seperti PDRM pada masa itu pula haru-biru, amanah menyiasat kes 1MDB tidak dilaksanakan, sebaliknya menerjah ke arah pegawai-pegawai bahagian operasi khas.
"Kalau tidak percaya tanyalah kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) pada masa itu," kata Bahri.
Biarpun begitu dengan hukuman ke atas Najib, beliau yakin Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang kembali disegani.
Sambil menyifatkan hukuman itu tidak ‘pilih bulu’, Bahri menegaskan bahawa sistem perundangan negara tidak lagi tercemar atau dipengaruhi oleh sesiapa.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai perkembangan terkininya, Bahri banyak meluangkan masa dengan menjalankan aktiviti pertanian di Terengganu.
"Sudah jadi petani penuh masa, ada banyak juga tawaran kerja sebaik berpencen, kali pertama dan kedua termasuk dalam politik, tapi saya takut menerimanya kerana di luar bidang kepakaran saya," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca