WANITA elegan ini merupakan permaisuri terakhir Iran yang glamor dan turut mendapat julukan 'Jackie Kennedy Asia Barat' selain bersahabat baik dengan artis dari Sepanyol, Salvador Dali dan artis visual dari Amerika, Andy Warhol.... Klik di sini untuk terus membaca

WANITA elegan ini merupakan permaisuri terakhir Iran yang glamor dan turut mendapat julukan 'Jackie Kennedy Asia Barat' selain bersahabat baik dengan artis dari Sepanyol, Salvador Dali dan artis visual dari Amerika, Andy Warhol.

Permasuri Farah Diba Pahlavi juga dianggap sebagai Marie Antoinette (Permaisuri terakhir sebelum Revolusi Perancis) era moden sebelum Revolusi Iran tercetus pada 1979.

Beliau dikenali kerana gaya hidup mewah termasuk menganjurkan pesta secara besar-besaran selama tiga hari di Persepolis pada Oktober 1971 dengan menyajikan kira-kira 18 tan makanan.

Farah, 84, juga merupakan penaung Muzium Seni Kontemporari Teheran di mana beliau mengumpulkan koleksi seni dan karya moden yang bernilai kira-kira AS$3 bilion (RM13.4 bilion).

Di bawah naungannya, Muzium Seni Moden berjaya memperoleh hampir 150 karya seni dihasilkan artis seperti Pablo Picasso, Monet dan Andy Warhol.

Pada masa itu, Farah dikatakan melobi pegawai tertinggi kerajaan untuk mendapatkan hasil seni dipercayai untuk koleksi peribadinya hingga rekod yang disimpan pihak muzium mencetuskan tanda tanya kepada banyak pihak.

Beliau cuba mempertahankan dirinya dan akhirnya disingkirkan kerana didakwa terlibat skandal rasuah walaupun Farah menafikan tuduhan tersebut.

Isu rasuah dikatakan menjadi masalah yang amat serius ketika era pemerintahan suaminya, Mohammad Reza Pahlavi (Dinasti Pahlavi 1925-1979).

Skala rasuah di Iran terus meningkat ketika lonjakan harga minyak pada 1973 terutamanya dalam kalangan kerabat diraja dan rakan terdekat mereka.

Mohammad Reza yang diangkat sebagai 'individu terkaya di Teheran' didakwa tidak mengambil serius terhadap isu rasuah tersebut walaupun terdapat 30 laporan mengandungi butiran lengkap melibatkan pegawai tinggi dan kerabat diraja.

Menjelang 1977, skandal rasuah di Teheran antara 1973 dan 1976 dilaporkan mencecah sehingga AS$1 bilion (RM4.47 bilion).

Beberapa pengkritik berpendapat rasuah seakan-akan menjadi 'gam' yang mengekalkan despotisme (pemerintahan kuku besi) rejim Pahlavi dan pemodenan Iran.

Revolusi rakyat pada 1979 yang disemarakkan lagi dengan kebencian terhadap budaya rasuah secara berleluasa yang menyebabkan ketidakstabilan ekonomi akhirnya menumbangkan Dinasti Pahlavi dan mendedahkan nama individu terlibat rasuah di bawah era monarki terakhir Iran.

HIDUP DALAM BUANGAN

Wajah cantik beliau ketika menjadi penghias muka depan majalah Town & Country pada 1975.

Farah Diba Pahlavi dilahirkan dalam keluarga kelas atasan di Teheran pada 14 Oktober 1938.

Kematian bapanya ketika Farah berusia 10 tahun telah menyebabkan keluarganya bergelut dengan masalah kewangan hingga memaksa beliau berpindah dari vila di utara Teheran dan tinggal berkongsi apartmen dengan bapa saudaranya.

Farah pernah mendapatkan pendidikan di Italian School di Teheran, French Jeanne d'Arc School dan Lycee Razi.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di École Spéciale d'Architecture di Paris.

Wanita itu dikatakan bertemu suaminya di Kedutaan Iran di Paris pada 1959 dan pasangan itu menjalinkan hubungan cinta dalam tempoh singkat sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada 23 November tahun sama.

Kira-kira sebulan selepas itu, Farah diraikan dalam majlis perkahwinan yang gilang gemilang dan turut memakai gaun hasil rekaan Yves Saint Laurent dan tiara berlian Noor-ol-Ain.

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata dan mereka memilih gaya hidup Barat kerana Farah dibesarkan dalam suasana seperti itu.

Gambar yang dirakamkan bersama suami dan salah seorang puteranya pada 1967.

Lebih dua dekad selepas bergelar permaisuri, 'zaman keemasan' Farah bersama suaminya akhirnya mencapai titik noktah apabila Ayatollah Ruhollah Khomeini merampas tampuk pemerintahan negara itu.

Pasangan itu bersama anak mereka kehilangan pangkat, kedudukan dan kewarganegaraan sekelip mata.

Keluarga diraja itu terpaksa melarikan diri ke Mesir dan hidup dalam buangan sebelum memulakan usaha selama 18 bulan untuk mendapatkan suaka tetap melalui Maghribi dan Bahamas.

Penantian mereka berakhir selepas diberikan suaka di Mexico, namun perlu melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan rawatan penyakit limfoma dihidapi Mohammad Reza.Kunjungan mereka ke Washington telah memburukkan lagi hubungan antara AS dan Iran hingga memaksa pasangan itu melarikan diri ke Kaherah.

Keadaan kesihatan suaminya bertambah buruk dan dilaporkan meninggal dunia pada 27 Julai 1980.

Farah menetap di Mesir selama dua tahun sebelum terbang ke AS dan bergilir-gilir menetap di Maryland serta ibu kota Perancis dan banyak menghabiskan masanya dengan aktiviti kemanusiaan sepanjang kira-kira 43 tahun hidup dalam buangan.

Sehingga kini, keluarga Dinasti Pahlavi masih dihormati kerabat diraja negara lain dan rakyat promonarki Iran. - Agensi PARIS

Klik di sini untuk terus membaca