SATU pagi sekitar tahun 1997 atau 1998, sebagai tugas bulanan saya mengunjungi Penjara Sungai Buloh (PSB) untuk merawat kumpulan pesakit saya dalam kalangan banduan yang memerlukan rawatan psikiatri.
Tengah hari, setelah selesai tugas merawat, saya pun memandu dengan perlahan kereta Proton keluarga kami dan mula meninggalkan kawasan pintu masuk kompleks penjara. Saya mula menelusuri jalan kecil ke arah bawah bukit di mana terletak pintu pagar besar penjara dan juga perhentian bas ke arah Kuala Lumpur.
Sekonyong-konyong, saya terlihat di tengah-tengah panas terik tengah hari itu seorang ibu muda yang berusia sekitar hujung 20-an atau awal 30-an tahun memegang payung di tangannya serta mendukung seorang bayi di tangan satu lagi.
Sementara itu seorang kanak-kanak yang mungkin berusia hampir tiga tahun sedang berjalan perlahan-lahan di sisi wanita ini. Serta-merta perasaan belas menerpa diri saya, lantas saya memberhentikan kereta di sisi ibu muda itu; dan dialog berikut pun bermula.
Saya: Assalamualaikum puan. Saya Dr Hatta bertugas di penjara ini. Puan nak ke mana dengan anak-anak?
Ibu muda: Nak ke bus stop (perhentian bas) di bawah bukit.
Saya: Boleh saya hantarkan ke bus stop? Sila naik.
Ibu muda: Boleh...terima kasih Doktor.
Ibu muda kelihatan lega kerana tidak perlu berjalan menuruni bukit sekitar 200 meter di tengah-tengah panas terik. Setelah ketiga-tiga beranak kelihatan selesa di tempat duduk belakang, saya pun memandu perlahan-lahan dan menyambung soalan.
Saya: Puan nak balik ke mana; ziarah siapa?
Ibu muda: Nak balik Selayang; ziarah suami.
Saya: Suami kes apa?
Ibu muda: Dadah.
Dengan jawapan itu kami sampai di perhentian bas yang dituju. Ibu muda serta anak-anaknya pun turun dari kereta sambil mengucapkan terima kasih. Saya menyahut dengan salam dan mendoakan mereka selamat.
Sampai di rumah keluarga saya di Gombak, saya menceritakan kisah itu kepada isteri saya, seorang pengamal perubatan swasta di kliniknya sendiri.
Dengan rasa empati yang jelas, isteri saya bertanya dengan spontan mengapa saya tidak terus membawa Ibu muda serta anak-anak kecilnya ke Selayang tempat tujuannya. Selayang merupakan jiran kepada Gombak.
Sebab utama saya mengenang kembali pengalaman ini daripada pelbagai pengalaman sebagai seorang pakar psikiatri forensik di hospital dan di penjara, ialah untuk menyerlahkan hakikat cinta seorang isteri kepada suaminya. Kadangkala apabila seorang suami yang berpoligami di penjara atau masuk hospital, isteri pertamanya baharu sedar bahawa dia bermadu.
Banyak kali kita menyaksikan hubungan kekeluargaan terus bersambung walaupun suami atau isteri; ibu atau bapa; dan juga adik atau abang atau kakak berada di dalam penjara. Ini tanpa mengira sejauh mana orang yang mengasihi (di luar penjara) atau orang yang dikasihi (di dalam penjara) menerima dalam diri mereka akan hukuman mahkamah.
Kita sedar betapa perasaan kasih akan terus hidup walaupun selepas ahli keluarga berada di dalam penjara. Ada keluarga menerima hakikat ahli mereka telah melakukan kesalahan, namun ia bukan alasan untuk tidak meneruskan kasih yang diberi. Ada juga keluarga yang berterusan memberi kasih biarpun dalam masa sama berada dalam keadaan penafian iaitu 'ahli keluarga aku tetap benar'.
Cinta kekeluargaan ini telah saya saksikan berkali-kali di tiga pusat berikut di Australia iaitu pertama di tempat saya dilatih dan bertugas dalam bidang psikiatri forensik di Universiti Monash, Melbourne pada Mei 1993 hingga Mei 1994.
Kedua di Penjara Pentridge serta Rosanna Forensic Psychiatry Centre di pinggir kota Melbourne; dan ketiga di Penjara Loddon, Castlemaine, sekitar 120 kilometer di luar Melbourne, Victoria, Australia.
Demikian juga di Malaysia. Pengalaman saya sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur yang juga sesekali bertugas di Penjara Pudu, dan kemudian sebagai doktor pakar psikiatri di Penjara Kajang dan PSB membolehkan saya menyaksikan cinta kekeluargaan di penjara.
*Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan psikiatris
Klik di sini untuk terus membaca