TEKSI robot. Pertama kali apabila mendengarnya, terlintas di fikiran penulis adakah ia selamat untuk digunakan? Adakah ia mudah untuk dibangunkan? Itu antara soalan bermain di fikiran. Bayangkan teksi tanpa pemandu, semestinya penumpang... Klik di sini untuk terus membaca

TEKSI robot. Pertama kali apabila mendengarnya, terlintas di fikiran penulis adakah ia selamat untuk digunakan? Adakah ia mudah untuk dibangunkan? Itu antara soalan bermain di fikiran.

Bayangkan teksi tanpa pemandu, semestinya penumpang berasa gerun untuk menaikinya kerana tidak mengetahui keselamatan terjamin atau tidak.

Sekiranya teknologi itu digunakan kepada kenderaan persendirian masih lagi boleh diterima, namun ia merupakan teksi yang membawa penumpang tidak dikenali.

Teksi robot generasi keenam yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan tanpa stereng kereta.

Pasti ramai yang sukar mempercayai dan yakin terhadap keselamatan apabila menaiki teksi robot tersebut. Begitulah reaksi awal penulis apabila diterangkan berkaitan syarikat Baidu Apollo di bawah naungan Baidu.

Baidu merupakan syarikat besar berkaitan kecerdasan buatan (Al) dari China yang terkemuka dengan asas internet kukuh dan stabil di dunia.

Ia adalah salah satu daripada beberapa syarikat di dunia yang menyediakan susunan penuh teknologi Al seperti cip Al, seni bina perisian dan program aplikasi.

TEKNOLOGI AI

Malahan, Baidu juga salah satu daripada empat syarikat Al terbesar di dunia. Dengan misi menjadikan pengangkutan lebih mudah dan lebih baik melalui teknologi, Baidu berpegang kepada teknologi inovasi.

Syarikat tersebut turut berprinsip untuk sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada pengguna dan menjadi yang pertama di dunia.

Dengan nilai bersih RMB10.2 bilion (RM6.6 bilion) pada 2021, terdapat pelbagai produk yang dihasilkan di bawah Baidu antaranya Baidu Maps, Baidu Baike, Baidu Wangpan, Baidu Tieba dan termasuk juga Baidu Apollo.

Teknologi dan kamera yang dipasang di atas kenderaan bagi tujuan pemantauan keselamatan.

Yang menarik perhatian penulis berkaitan Baidu Apollo ini adalah, teksi itu hanya dikawal melalui teknologi sahaja. Hanya perlu menekan beberapa butang, ia terus bergerak menuju ke destinasi.

Lebih mudah untuk difahami, teksi yang dipandu secara automatik. Ia tidak memerlukan pemandu untuk membawa penumpang.

Pengalaman penulis apabila menaiki teksi robot tersebut, walaupun hanya kelajuan sehingga 60 kilometer per jam, ia masih membuat penulis teruja dan terpegun.

Bayangkan, tidak pernah menaiki sesebuah kenderaan yang tidak memerlukan pemandu dan hanya dikawal melalui teknologi, semestinya rasa kurang percaya pada pertama kalinya.

Namun, dengan teknologi yang dipasang, keselamatan untuk penumpang adalah dijamin. Bukan sahaja memandu dengan perlahan, malahan isyarat kiri atau kanan juga tetap diberi untuk masuk ke simpang lain.

Berdasarkan sejarah, Baidu mula menggunakan pemanduan autonomi ini pada 2013 dan platform Baidu Apollo mula dilancarkan pada 2017. Ia merupakan platform pertama di dunia untuk pemanduan autonomi itu.

Setakat ini, Baidu Apollo terbukti menyelesaikan masalah dalam tiga bidang utama iaitu pemanduan autonomi, kereta pintar dan pengangkutan pintar.

Dengan lebih daripada 210 rakan kongsi ekologi di peringkat global dan 80,000 pemaju global, Baidu Apollo berkembang daripada bidang pemanduan autonomi kepada sistem pengangkutan pintar.

Melalui usaha gigih syarikat, pada September 2019, Baidu Apollo Teksi Robot secara rasminya dilancarkan dan dibuka kepada umum untuk digunakan.

Antara sistem yang dipasang untuk mengawal pemanduan teksi robot.

Serendah RMB10 (RM6.50), penumpang dapat menaiki robot teksi tersebut dengan jarak sekitar 5.7 kilometer (km). Penumpang hanya perlu membuat tempahan melalui aplikasi Apollo Go.

Jika di Malaysia, apabila ingin memanggil kereta sewa seperti Grab, harga boleh melebihi RM10 meskipun dalam jarak yang dekat sahaja. Itu jika di waktu biasa, berbeza pula harga di waktu puncak.

Namun demikian, teksi robot itu hanya terhad kepada 12 kawasan popular sahaja termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, She Zhen, Chongqing, Yangquan, Changsha and Cangzhou.

Ini kerana disebabkan jumlah teksi robot yang terhad iaitu hanya 500 kereta sahaja, ia tidak dapat diperluaskan ke seluruh tanah besar ini.

Namun, semestinya pihak syarikat berhasrat untuk memperluaskan dan mengembangkan teknologi itu untuk memberi manfaat kepada seluruh warga China.

"Oleh itu, kita akan mengeluarkan lebih banyak lagi teksi robot hujung tahun ini. Sekarang ada banyak kereta dan kini dalam proses untuk memasang teknologi yang sepatutnya,” kata salah seorang staf.

Apabila ditanya perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut ke negara luar, jawapannya adalah tidak. Ini kerana mereka hanya mahu memberikan fokus kepada China terlebih dahulu.

* Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.

Klik di sini untuk terus membaca