SHAH ALAM - Pengiktirafan wajar diberikan kepada pasukan Bahagian Operasi Khas (BOK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, yang sanggup berhadapan dengan 'onak duri' bagi menyiasat skandal SRC International... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengiktirafan wajar diberikan kepada pasukan Bahagian Operasi Khas (BOK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, yang sanggup berhadapan dengan 'onak duri' bagi menyiasat skandal SRC International Sdn Bhd dan sebahagian kes 1MDB.

Bekas Pengarah Operasi Siasatan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Bahri Mohamad Zin berkata, pasukannya ketika menyiasat kes berkenaan telah memberi komitmen yang amat tinggi, malah bekerja secara berterusan tanpa henti.

"Seingat saya bulan puasa masa itu. Pasukan ini bekerja berterusan tak kenal masa dan hari minggu, malah berminggu-minggu dan berbulan-bulan. Saya yakin apa yang mereka lakukan ini sebagai satu pengorbanan kepada negara.

Beliau merujuk kepada pasukannya yang terdiri daripada mereka ketika itu iaitu; Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Sazilee Abdul Khairi; Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain (IO kes); Ketua Siasatan (Bahagian Operasi Khas) SPRM Tuan Roslan Tuan Mat dan pakar forensik perbankan, Tuan Yusran Yahya.

Katanya, beliau bersyukur mempunyai pegawai dan kakitangan di Bahagian Ops Khas yang semuanya amat komited dengan kerja pada masa itu.

Bahri dikenang sebagai pegawai penyiasat yang paling berani apabila menyiasat kes berprofil paling tinggi di Malaysia.

"Saya juga berterima kasih buat pasukan BOK yang lain yang turut memberi sokongan penuh," katanya.

Jelasnya, menyiasat kes yang membabitkan pemimpin atasan ketika itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun atas dasar tanggungjawab mereka tetap kuatkan semangat demi memperjuangkan kebenaran.

"Mereka ditangkap dan rumah dan pejabat mereka digeledah kecuali Yusran. Timbalan Pendakwa Raya ditangkap jam 1 pagi dikurung dalam lokap sampai ke lewat malam, dekat 24 jam juga.

"Agaknya apabila tersedar mengganggu pegawai SPRM sewaktu bertugas adalah kesalahan jenayah maka cepat-cepat dibebaskan, begitu juga saya cepat-cepat diarah balik semula ke SPRM.

"Jadi jika dikenang semula, pelbagai rintangan yang kami lalu, saya anggap mereka semua ini adalah sumber kekuatan saya.

"Keadaan masa itu memang amat perit, dengan wang pun tidak cukup kena fitnah lagi, syukur ALLAH kuatkan semangat saya dan berkat solat hajat seluruh Malaysia," katanya.

‘SAYA HANYA JALANKAN AMANAH SEBAIK MUNGKIN‘

Sementara itu, pakar forensik perbankan, Tuan Yusran menegaskan bahawa beliau hanya menjalankan amanah diberikan oleh pihak berkuasa walaupun dihimpit pelbagai dugaan.

Berkata kepada Sinar Premium, Tuan Yusran memaklumkan, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran namun amanah yang diberikan perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

"Saya tiada apa-apa hanya bantu pasukan penyiasatan itu sahaja, cuma kita perlu laksanakan tugas sampai habislah.

"Banyak cabaran yang dilalui, memang banyak. Tapi kita dengan niat untuk menyiasat tiada tujuan lain, kita tempuh sahajalah,” katanya.

Tambah Tuan Yusran, ketika itu dia hanya fokus untuk menjalankan tugas.

"Tentang tekanan, saya lebih fokus kepada kerja itu yang saya anggap sebagai cabaran, saya habiskan tugas saya yang diberikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan Ketua Siasatan (Bahagian Operasi Khas) SPRM, Tuan Roslan Tuan Mat ketika dihubungi memaklumkan mereka tidak dapat berkongsi sebarang kisah buat masa ini memandangkan semua masih berkhidmat bersama pasukan SPRM.

"Saya tiada apa-apa untuk dikongsikan ketika ini,” kata mereka.

Bahri mengetuai pasukan Siasatan Khas SPRM.

Dalam pada itu, beberapa individu yang turut dihukum kerana dikatakan terlibat dalam penyiasatan berprofil tinggi itu termasuklah Tan Sri Abdul Gani Patail.

Abdul Gani dipecat daripada jawatan Peguam Negara pada tahun 2015.

Tidak ketinggalan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang menamatkan khidmatnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada tahun 2016 sebelum dilaporkan bertugas selaku Pakar Perunding Integriti di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) pada tahun 2018.

Klik di sini untuk terus membaca