SHAH ALAM - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, tidak pernah berdendam dengan Datuk Seri Najib Tun Razak biarpun pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, tidak pernah berdendam dengan Datuk Seri Najib Tun Razak biarpun pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana pendedahannya mengenai pembabitan bekas Perdana Menteri itu dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB) pada 2015.

Khairuddin yang merupakan Pengerusi Parti Perjuangan Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib bukanlah kejayaannya seorang diri, malah ia satu pencapaian terbesar rakyat Malaysia dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam di negara ini.

"Biarpun mahkamah membuat keputusan untuk menghukum Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, namun sebagai umat Islam kita tidak boleh bertepuk tangan, bersorak dan melompat kegembiraan dengan hukuman dikenakan ke atas mereka.



"Saya juga sentiasa berdoa supaya Najib tabah menghadapi ujian dan kehidupan baharunya di Penjara Kajang,” katanya kepada Sinar Premium.

Suami kepada pelakon Ummi Aida itu menjelaskan, kehidupan dalam penjara bukan mudah dan beliau sendiri sudah menghadapinya dulu semasa ditahan di bawah SOSMA selepas membuat laporan kepada pihak berkuasa di Singapura, Switzerland, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat berhubung kes 1MDB.

Khairuddin berkata, beliau dimasukkan ke dalam lokap polis selama dua minggu, sebelum dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh selama dua bulan.

Berikutan itu, Khairuddin menasihatkan Ahli Parlimen Pekan itu supaya banyak bersabar, tabah, banyak membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT untuk mendapat ketenangan kerana bukan senang untuk seseorang itu menjalani kehidupan di penjara untuk satu tempoh yang lama.

"Kehidupan di dalam penjara memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat, kalau tidak kita akan sukar untuk meneruskan kehidupan di sana,” katanya.

LAYANAN VVIP

Ditanya dakwaan orang kenamaan (VVIP) seperti Najib akan diberikan layanan istimewa berbanding orang biasa semasa di penjara, Khairuddin menegaskan perkara itu tidak benar berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya sepanjang berada di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini.

"Semasa menjalani kehidupan di Penjara Sungai Buloh beliau ditempatkan di Blok Perubatan yang turut menempatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sel kami sama sahaja tiada sesuatu seperti dikatakan seperti bilik VVIP dan sebagainya. Jadi itu (kewujudan bilik VVIP dan layanan istimewa) adalah satu persepsi tidak betul, cuma kami duduk seorang dalam satu sel dan tidak bercampur dengan banduan lain.

Khairuddin pernah ditangkap polis di bawah SOSMA sebelum ditahan selama dua bulan di Penjara Sungai Buloh.


"Cuma pada hari Sabtu dan Ahad mereka akan bawakan televisyen ke dalam bilik saya, tetapi saya difahamkan Anwar tidak mendapat kemudahan itu dan telefon jauh sekali.

"Bagaimanapun, kita boleh minta ahli keluarga terdekat kita membawa buku dan bahan bacaan atau meminjamnya dari perpustakaan dalam penjara untuk mengisi masa terluang dan menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

Pada 24 Ogos, Khairuddin mendapat ganti rugi am RM300,000 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan samannya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan tujuh pihak lagi berhubung penahanan salah di bawah SOSMA.

Klik di sini untuk terus membaca