SHAH ALAM - Merawan kancing atau nama saintifiknya, hopea subalata kini hanya terdapat kira-kira 400 pokok di dalam negara dan ia terletak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kanching, Selangor.
Ketua Penolong Pegawai Hutan (Hutan Lipur, Eko-Park dan Taman Negeri) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Abdul Nasir Ismail berkata, pokok itu diancam kepupusan akibat faktor pembangunan selain faktor semula jadi seperti serangan serangga perosak dan jangka hayat.
Menjelaskan keunikan spesies tersebut, Abdul Nasir berkata, pokok tersebut dikategorikan sebagai spesies terancam bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global.
"Hopea subalata adalah spesies dalam keluarga kaum damar yang terdiri daripada sembilan genus iaitu anisoptera, cotylelobium, dipterocarpus, dryobalanops, hopea, neobalanocarpus, parashorea, shorea dan vatica.
"Di Malaysia, pokok yang tumbuh berkelompok ini hanya boleh ditemui di situ (HSK Kanching) sahaja dan tidak ada di negara lain. Sebab itu dinamakan sebagai merawan kancing.
"Pokok ini bukanlah kategori balak, sebaliknya ciri-ciri pada pokok ini adalah batang pokok lurus, licin dan bersaiz kecil dengan saiz ukur lilit maksimum lebih kurang hanya 35 sentimeter (cm) dan ketinggian mencecah 12 meter,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat JPNS di sini baru-baru ini.
Abdul Nasir berkata, mengikut data bancian pada tahun 2019, dianggarkan terdapat sebanyak 400 pokok hopea subalata. Harga pasaran bagi spesies merawan kancing lebih kurang RM1,100 bagi satu tan.
Menurutnya, berdasarkan rekod sejak lima tahun lalu, tidak ada aktiviti pembalakan haram dikesan mahu pun sindiket yang mencuri pokok ini.
"Merawan kancing ini bukanlah kategori pokok balak kerana ia hanya bersaiz kecil dan bukan spesifikasi bagi pembalak mendapatkan pokok ini, namun ia diancam kepupusan akibat aktiviti pembangunan dan faktor semula jadi.
"Berdasarkan rekod sepanjang lima tahun ini, tiada sebarang aktiviti pembalakan yang dikesan di kawasan itu untuk ancam spesies ini.
"Bagaimanapun JPNS melalui Seksyen Penguatkuasaan dan Unit Tindakan Khas sentiasa melakukan rondaan bagi elak pencerobohan berlaku,” ujarnya.
LANGKAH PELIHARA MERAWAN KANCING
Menurut Abdul Nasir, sebagai langkah memelihara pokok ini, JPNS telah menjadikan kawasan tersebut sebagai petak ‘High Conservation Value Forest’ (HCVF) yang meliputi kawasan seluas 12 hektar di HSK Kanching.
"Penubuhan petak pertama HCVF seluas 5.7 hektar pada tahun 2007 dan petak kedua pada tahun 2010 dengan tambahan keluasan 6.3 hektar,” katanya.
Jelas beliau, kawasan tersebut dimasukkan dalam geopark (Gombak-Hulu Langat) yang masih di peringkat kebangsaan dan belum capai di peringkat United Nations Educational, Scientific dan Cultural Organization (UNESCO).
"Kawasan terdapatnya merawan kancing ini telah dijadikan sebagai petak HCVF. Kita akan pantau pendebungaannya serta biji benih. Biji benih itu akan disemai di tapak semaian terletak di Sungai Buloh untuk dibiakkan dan tanam semula di kawasan itu.
"Bila dijadikan sebagai HCVF, pencerobohan itu adalah amat rendah. Kawasan ini turut melibatkan spesies pokok lain seperti pokok kapur dan kedondong,” jelasnya.
Tegas beliau, sekiranya dikesan terdapat individu atau pihak yang terlibat menceroboh atau menebang dan seumpamanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta Perhutanan 1985 yang membawa hukuman penjara dan denda.
"JPNS beri peringatan kepada penjenayah pembalakan haram agar menghentikan segala niat dan perancangan untuk berbuat demikian. Hutan merupakan sumber yang paling penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta mengekalkan iklim yang terbaik untuk kehidupan khususnya manusia, haiwan dan tumbuhan.
"Sekiranya tertangkap, kes kesalahan hutan ini akan didakwa di mahkamah dengan hukuman berat bakal dikenakan,” ujar beliau.
Nama tempatan - Merawan kancing
Ciri utama - Daun nipis berbentuk oval-ovat. Urat daun subdryobalanoid dan buah hampir tidak bersayap.
Pokok - bersaiz kecil
Batang - Lurus tapi tidak tinggi, licin, gelap
Ranting - Halus panjang
Stipul - Linear, kecil dan gugur awal
Daun - Berukuran kira-kira 8 sentimeter panjang
Bunga - Ungu gelap
Taburan - Hanya dijumpai di Hutan Simpan Kekal Kanching, Selangor. Kawasan lembah dan permatang rendah
Klik di sini untuk terus membaca