SHAH ALAM - Cadangan untuk menguatkuasakan undang-undang melarang individu beragama Islam daripada memasuki pusat hiburan atau kelab malam dan minum arak adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Pusat bagi Wilayah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan untuk menguatkuasakan undang-undang melarang individu beragama Islam daripada memasuki pusat hiburan atau kelab malam dan minum arak adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Pusat bagi Wilayah Persekutuan.

Peguam Mohd Ridhwan Talib menjelaskan, kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa jenayah syariah adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap undang-undang berkenaan, seterusnya mempunyai kuasa untuk menggubal Enakmen Jenayah Syariah ke atas orang Islam.

Katanya, pihak berkenaan perlu berusaha memulakan proses penggubalan undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam Enakmen Jenayah Syariah dan menguatkuasakan enakmen tersebut ke atas orang Islam sahaja.

"Penggubalan enakmen ini memerlukan komitmen pelbagai badan dan agensi berkaitan bagi memastikan ia sesuai dilaksanakan. Jika ada kesungguhan daripada semua pemegang taruh dan kesedaran agama yang tinggi di kalangan orang Islam, larangan dan undang-undang sedemikian memang boleh dilaksanakan,” ujar beliau.

Mohd Ridhwan berkata, jika kerajaan mampu menggerakkan usaha melaksanakan Generational End Game (GEG) untuk membasmi fenomena merokok dalam kalangan generasi muda, beliau optimis larangan yang bertujuan menjaga kemaslahatan orang Islam di Malaysia itu dapat direalisasikan.

GANDAKAN PEMERIKSAAN

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan Islam seperti Jabatan Agama Islam Negeri disaran untuk menggandakan pemeriksaan di pub dan kelab malam bagi memastikan tiada orang Islam yang terlibat dengan pengambilan arak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN), Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, tindakan lebih tegas juga perlu diambil bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada orang Islam tentang larangan tersebut.

"Walaupun trend pengambilan minuman beralkohol atau arak dalam kalangan umat Islam menurun dan terkawal berbanding 40 tahun lalu, namun pihak berkuasa perlu juga mengadakan pemeriksaan secara kerap di premis hiburan untuk memastikan tiada lagi orang Islam yang terlibat dengan perbuatan salah itu.

"Undang-undang dan akta yang mengaitkan kesalahan jenayah syariah termasuk minum arak bagi orang Islam juga saya rasa sudah cukup untuk dikuatkuasakan. Apa yang perlu adalah lakukan pemeriksaan lebih kerap dan kenakan tindakan sepatutnya kepada pesalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mohd Jamaludin berpandangan, tahap kesedaran umat Islam mengenai kesalahan jenayah syariah juga semakin meningkat ekoran banyak pihak terutama NGO yang secara sukarela turun padang untuk memberi nasihat kepada golongan muda Islam mengenai kesan dan akibat pengambilan arak.

"Arak itu haram dan hukum dalam Islam juga jelas, tiada khilaf. Umat Islam juga memandang jijik jika orang Islam lain meminum arak.

"Jadi elemen yang penting sekarang adalah pendidikan dan kesedaran supaya seorang Islam itu sedar larangan meminum arak kerana yang masih lakukan perbuatan terkutuk ini adalah segelintir yang tidak berubah, (oleh itu) terpaksa berdepan dengan tindakan pihak berkuasa.

"Sesungguhnya semua kepercayaan dan agama melarang benda yang memabukkan seperti arak dan dadah, tidak ada yang terkecuali,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca