SHAH ALAM - BN dan UMNO akan berdepan kerugian besar jika Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - BN dan UMNO akan berdepan kerugian besar jika Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, ini kerana Ahli Parlimen Rembau itu adalah seorang ikon dan mempunyai pengaruh serta aura tersendiri dalam kalangan pengundi terutama generasi muda di negara ini.

Mazlan berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan Khairy sukar menyesuaikan diri di kerusi lain kerana menantu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu sudah lama bertapak di Parlimen Rembau, sejak 2008 lagi.

"Kalau Tok Mat (Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan) mahu bertanding di Parlimen Rembau, saya rasa Khairy akan menghadapi masalah besar kerana beliau sukar untuk bertanding di Parlimen lain.

"Kalau Khairy mahu bertanding di Parlimen Seremban beliau sukar untuk menang kerana Pakatan Harapan (PH) kuat di situ, tambahan pula kerusi berkenaan kini disandang oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. Jadi seperti disebutkan oleh Khairy senario terburuk adalah beliau tindak akan bertanding pada PRU15 nanti.

"Jika perkara itu (Khairy tidak bertanding dalam PRU15) berlaku ia akan merugikan BN kerana Khairy adalah seorang ikon anak muda yang boleh dianggap pemimpin masa depan UMNO. Ia dilihat mampu meredakan sedikit isu integriti kerana parti berkenaan kini dikuasai oleh pucuk pimpinan yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

DR MAZLAN ALI

IMEJ UMNO

Mazlan berkata, UMNO perlu membersihkan parti itu daripada imej buruk dipimpin oleh geng kluster mahkamah, kleptorat dan rasuah serta perlu digantikan dengan pemimpin mempunyai tahap integriti tinggi dan berwawasan.

Tambahan pula, Mazlan berkata rekod perkhidmatan Khairy sebagai Menteri Kabinet di Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diterajuinya muktahir ini adalah cemerlang.

"Khairy juga membawa Malaysia masuk ke fasa peralihan endemik dan mengatasi masalah isu kekurangan vaksin semasa menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kesihatan sekarang.

"Bukan senang untuk menguruskan isu vaksin kerana terdapat ramai rakyat Malaysia anti-vaksin dan kurang yakin dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada peringkat awalnya, namun Khairy berjaya dalam usahanya berkenaan. Jadi bagi saya UMNO kena selesaikan segera isu kerusi ini supaya Khairy boleh bertanding di mana-mana kerusi bersesuaian," katanya.

ANTHONY LOKE

SEREMBAN BAKAL JADI KERUSI PANAS

Sementara itu, Anthony Loke dalam satu kenyataan memberikan bayangan bahawa perebutan kerusi Parlimen Seremban pasti menjadi 'panas' jika Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO mahu bertanding di situ, pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP, menyatakan kesediaan berdepan apa juga kemungkinan dan tidak gentar berdepan cabaran dalam perjuangan politik.

"Menjadi hak demokrasi masing-masing untuk bertanding di mana-mana kawasan. KJ (Khairy) adalah tokoh politik yang berkaliber dan sudah tentu menjadi pencabar yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.

"Sekiranya benar beliau bertanding di Parlimen Seremban, maka persaingan ini pasti sengit dan akan menjadi antara kerusi paling 'panas' dalam PRU-15," katanya dalam catatan di Facebook rasminya, pada Isnin.

Terdahulu, Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Rembau dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada PRU15 nanti.

Pengumuman itu seolah-olah memberi petunjuk kepada Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, supaya mengosongkan kerusi disandangnya sekarang bagi memberi laluan kepada Tok Mat untuk bertanding di situ.

Berikutan itu, Ketua Pemuda UMNO bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, dilaporkan berkata, Khairy wajar bertanding bagi kerusi Parlimen Seremban dan berharap kepemimpinan tertinggi UMNO melihat cadangan berkenaan secara positif.

Klik di sini untuk terus membaca