SHAH ALAM - Impak perubahan iklim yang agak ketara di Malaysia ketika ini boleh memberikan kesan membimbangkan kepada sekuriti makanan negara pada masa depan. Felo Penyelidik Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Impak perubahan iklim yang agak ketara di Malaysia ketika ini boleh memberikan kesan membimbangkan kepada sekuriti makanan negara pada masa depan.

Felo Penyelidik Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Siti Norliyana Harun berkata, berbanding dengan sebilangan negara yang berdepan dengan masalah sungai surut, Malaysia sebaliknya mengalami peningkatan aras laut dan perubahan cuaca tidak menentu.

Menurutnya, ketidaktentuan cuaca boleh menyebabkan gangguan kepada produksi bahan makanan terutamanya sektor makanan ruji negara iaitu padi.

"Malaysia merupakan negara yang mempunyai suhu yang seragam, kelembapan tinggi dan jumlah hujan yang banyak setiap tahun.

"Jumlah hujan tahunan Malaysia adalah antara 2,000 milimeter (mm) hingga 2,500mm. Sebagai contoh, hujan lebat yang melanda pada musim kedua penanaman padi pada bulan Julai lalu di sekitar utara Selangor menyebabkan beberapa kawasan sawah padi ditenggelami air.

"Kejadian seperti ini akan merosakkan anak benih padi dan mengakibatkan pertumbuhan padi terbantut.

"Selain itu, perubahan cuaca yang tidak menentu ini boleh menyebabkan kemunculan makhluk perosak dan penyakit baharu terhadap tanaman padi.

"Kejadian seperti ini akan mengganggu hasil pengeluaran padi negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Norliyana menjelaskan, cuaca yang tidak menentu juga telah menyebabkan banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan baharu yang tidak pernah mengalami banjir seperti di Lembah Kelang baru-baru ini.

Perubahan iklim ini katanya, boleh berlaku disebabkan oleh faktor semula jadi dan kesan aktiviti manusia.

"Aktiviti seperti penerokaan tanah misalnya, selain pembangunan, penebangan hutan dan pelepasan gas rumah hijau adalah antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim.

"Pengurangan pembebasan gas rumah hijau yang boleh menjadi punca pemanasan global adalah perlu diterapkan oleh semua pihak di negara ini,” ujar beliau.

Siti Norliyana turut menyarankan agar pihak berwajib bekerjasama dalam merancang pembangunan lestari dan persediaan untuk menghadapi bencana, khususnya dari segi infrastruktur serta kaedah untuk beradaptasi dengan perubahan iklim.

Tambahnya, kerajaan harus membuat persediaan rapi dalam menghadapi bencana seperti banjir supaya kemusnahan akibat bencana dapat dikurangkan, selain mengeluarkan belanja yang besar untuk mencegah, daripada menanggung beban yang besar untuk pembiayaan pemulihan.

Perubahan iklim jejas sektor pertanian dan hasil sungai

Sementara itu, perubahan iklim yang ketara dalam negara memberi impak terhadap sekuriti makanan termasuk sektor pertanian dan hasil laut.

Pakar Sekuriti Makanan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, ia berikutan situasi itu menyebabkan taburan hujan tinggi dan mengakibatkan banjir sehingga merosakkan tanaman atau hasil sungai.

Ujar beliau, perkara tersebut juga berkemungkinan menyebabkan hasil tanaman seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran lain mengalami kerosakan secara menyeluruh.

"Kita tahu negara ini terkenal dengan kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Malangnya inilah juga punca mudah berlaku serangan penyakit terutama pada tanaman seperti cili.

"Jadi dengan adanya jangkitan virus, bakteria dan sebagainya, itu akan menyebabkan kerosakan pada tumbuhan.

"Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan pengeluaran pertanian kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Ulas Abdul Shukor, sektor perikanan hasil sungai juga akan terjejas jika hujan berterusan yang akan membawa kepada hakisan dan puing dari bukit serta gunung.

"Ini boleh merosakkan dan mencemarkan sungai, serta memberi masalah kepada hidupan sungai itu sendiri. Ia turut memberi kesan kepada aktiviti ternakan ikan dalam sangkar,” ujarnya.

Tambah beliau, impak perubahan iklim turut menyukarkan nelayan untuk turun ke laut akibat laut bergelora.

"Jika paras air laut naik pula, ia akan memberi kesan kepada ternakan ikan di tepi muara sungai disebabkan air masin masuk ke sungai dari laut,” jelas Abdul Shukor.

Klik di sini untuk terus membaca