KETIKA pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang sibuk melaksanakan raptai perarakan Hari Kebangsaan baru-baru ini, insiden kerosakan dua buah kenderaan berat milik pasukan tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak. Kejadian pertama pada... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang sibuk melaksanakan raptai perarakan Hari Kebangsaan baru-baru ini, insiden kerosakan dua buah kenderaan berat milik pasukan tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak.

Kejadian pertama pada 26 Ogos apabila sebuah kereta kebal PT-91M Pendekar mengalami kerosakan di Jalan Damansara, manakala kejadian kedua keesokan harinya berhampiran Muzium Negara membabitkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai.

Apa yang berlaku ini dimuat naik ke media sosial dan kemudian menjadi topik hangat di pelbagai media sosial seperti Twitter dan Facebook dengan sebahagian menjadikannya sebagai bahan cemuhan dan gurauan.

Portal berita global CNN memetik dua sumber di akaun Twitter rakyat Malaysia sendiri yang menjadikan insiden itu sebagai gurauan sinis.

Antaranya, A tank broke down in Malaysia lmfao during non war time and in the middle of a busy traffic Very embarrassing (Sebuah kereta kebal mengalami kerosakan di Malaysia lmfao (akronim internet yang kurang sopan) ketika dalam situasi bukan peperangan. Sangat memalukan.

This is why Malaysia is more powerful than Singapore. Singapore needs tanks to defend their roads. Malaysia's roads can defeat tanks (Ini adalah sebab kenapa Malaysia lebih kuat daripada Singapura).

Singapura memerlukan kereta kebal untuk mempertahankan jalan mereka. Jalan di Malaysia mampu mengalahkan kereta kebal).

Walaupun tidak dapat dikenal pasti apakah niat sebenar ‘gurauan’ tersebut, namun sikap segelintir rakyat yang amat mudah sekali menghamburkan kata-kata cemuhan dan gurauan sinis dilihat seakan-akan mahu memperlekehkan TDM.

Ini bukan bermaksud TDM tidak boleh dikritik sekiranya umum mendapati sesuatu yang tidak kena, namun teguran yang membina serta berasaskan fakta dilihat lebih releven.

Kerosakan pada sesuatu aset khususnya platform kenderaan ketenteraan bukanlah sesuatu yang pelik atau unik kepada TDM sahaja.

Ia boleh dan telah berlaku kepada pelbagai angkatan tentera global yang dianggap amat profesional, mempunyai bajet besar serta aset dianggap paling canggih.

Umpamanya pada awal konflik Ukraine, Jerman memberikan artileri bergerak jenis Panzerhautblitz 2000 (PZ 2000) kepada negara tersebut. NATO menganggap ia sebagai sistem berprestasi tinggi.

Malangnya, setelah beberapa bulan diguna pakai dalam pertempuran, sebahagian besar mula mengalami pelbagai kerosakan dan akhirnya tidak lagi dapat dioperasikan.

Sekiranya penyangak media sosial mungkin bermegah dengan kereta kebal Leopard 2 milik Singapura yang diperoleh dari Jerman, prestasi sebenar kereta kebal tersebut kini diragui.

Kereta kebal jenis sama turut digunakan dengan meluas oleh tentera Turki di Syria dan Iraq apabila berhadapan gerila ISIS.

Sebahagian besar kepimpinan tentera darat Turki dikatakan dalam keadaan ‘trauma’ apabila sebahagian besar kereta kebal tersebut berjaya dimusnahkan musuh mereka.

Tentera darat Turki mendapati tahap armor kereta kebal tersebut tidak seperti yang diuar-uarkan, malah tidak mampu bertahan daripada senjata anti-armor digunakan musuh mereka, yang hanya kumpulan gerila.

Bulan lalu juga menyaksikan bagaimana kapal pengangkut pesawat paling utama dan moden bagi angkatan laut Britain iaitu HMS Prince of Wales mengalami kerosakan di tengah-tengah laut.

Kapal dianggarkan berharga RM15 bilion dan memasuki perkhidmatan pada 2019 itu telah mengalami kerosakan mekanikal ketika dalam perjalanan ke Amerika Syarikat dan terpaksa balik ke pangkalan hanya selepas dua hari belayar!

Pada 30 Ogos pula, tentera Amerika Syarikat mengumumkan bahawa kesemua 400 pesawat helikopter pengangkut jenis Chinook atau CH-47 dalam inventorinya dilarang daripada membuat sebarang penerbangan.

Ini kerana dalam tempoh singkat, berlaku beberapa siri kebakaran pada helikopter jenis sama.

Bagi mengambil langkah keselamatan dan mengenal pasti kerosakan komponen yang menjadi punca kebakaran, langkah tersebut terpaksa diambil.

Anehnya fakta-fakta yang disebutkan ini tidak pernah dijadikan bahan gurauan atau jenaka oleh penyangak media sosial negara ini yang memperlekehkan kerosakan pada hanya sebuah kereta kebal Pendekar.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca