PEMBANGUNAN tidak mampan dan tidak dikawal selia dengan baik memberi tekanan tambahan kepada permukaan tanah serta kitaran hidrologi.
Natijahnya, pertambahan kawasan urbanisasi seperti perumahan, perbandaran dan jalan raya menyebabkan air larian permukaan bertambah dengan mendadak apabila berlaku hujan lebat mendorong berlakunya banjir kerap.
Kekerapan bencana iklim ini diburukkan lagi dengan kelewatan menangani aspek kejuruteraan sedia ada, keterbatasan sumber daya dalam mengurangkan impak risiko dan kelewatan menyediakan keperluan teknikal di lapangan untuk membantu mitigasi tambahan.
Sebagai penyelesaian jangka panjang mendepani cabaran perubahan iklim terutama fenomena banjir dan hakisan pantai di seluruh negara, kerajaan mengunjurkan anggaran kos sebanyak RM300 bilion.
Ia membabitkan pelaksanaan kerja-kerja secara berfasa bagi tempoh 50 tahun iaitu sehingga tahun 2100 yang mana RM10 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf seluruh sistem rentetan fenomena banjir yang berlaku hampir setiap tahun.
Bagi tempoh 2022 hingga 2023 sahaja, unjuran keperluan kos ialah RM200 juta untuk kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir merangkumi menyelenggara, mendalam dan membersih saliran utama, sungai serta kolam takungan banjir bertujuan meningkatkan kapasiti aliran dan takungan air larian permukaan.
Dalam menangani perubahan iklim yang mengakibatkan banjir dan hakisan pantai, fokus diberi kepada pembangunan infrastruktur air serta pelan mitigasi seperti tebatan banjir, naik taraf kemudahan pam di kawasan dikenal pasti, pembinaan benteng, ban dan sistem perparitan, sistem amaran banjir serta pencegahan hakisan pantai rentetan impak perubahan iklim.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut membangunkan penilaian risiko bencana banjir merangkumi 36 lembangan sungai utama di seluruh negara.
Di kawasan pesisir pantai yang lebih rendah dan tidak mempunyai pelindung, fenomena air pasang besar dan pusuan ombak akan memburukkan impak kejadian banjir, rentetan kenaikan paras laut.
Nilai unjuran global kenaikan paras laut terkini ialah 0.73 meter dengan beberapa stesen pemantauan menunjukkan kenaikan antara 0.52 hingga 0.98 meter pada tahun 2100.
Justeru dalam tempoh 10 tahun mendatang, penduduk yang tinggal di pesisir pantai berisiko diancam impak melampau akibat perubahan iklim yang dapat dilihat melalui banjir pantai yang semakin ekstrem, peningkatan paras air di jeti dan pelabuhan, hakisan tebing pesisir pantai dan kerosakan struktur pantai seperti runtuhnya ban pantai.
Banjir besar yang melanda beberapa negeri pada penghujung tahun 2021 mengakibatkan kerugian RM6.1 bilion.
Dalam berdepan senario perubahan iklim ini, semakan semula reka bentuk binaan struktur kawalan banjir perlu dibuat supaya lebih berdaya tahan.
Antara langkah mitigasi 'one-off' adalah dengan menaik taraf ban pantai pada kadar segera bagi mengawal banjir selain menghadapi fenomena alam lebih ekstrem termasuk hujan dan ribut.
Kerja menaik taraf ban pantai sangat penting bagi memastikan ia kukuh dan mampu berdepan kenaikan aras laut dan ombak yang kini dikesan boleh mencecah setinggi 2.5 meter.
Malangnya, ban pantai sedia ada hanyalah tiga meter dari paras laut. Dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang, berdasarkan faktor kenaikan aras laut dan angin, ia sudah tidak mampu mengekang ombak.
Kebanyakan ban pantai di pesisir pantai Malaysia juga sudah berusia kerana ada antaranya dibina pada 1980-an dan 1990-an lagi.
Justeru semua infrastruktur, bangunan dan penempatan penduduk di pesisir pantai harus disemak semula tahap risikonya bagi memastikan ia melepasi kawasan rizab diunjurkan.
Kelestarian alam sekitar memberi impak besar kepada kewujudan iklim stabil, membabitkan pengurusan sumber semula jadi dengan mampan dan melindungi biodiversiti.
Kegagalan melestarikan alam sekitar bakal membawa bencana besar kepada rakyat dan masa depan negara.
Dalam usaha menangani bencana banjir, selain menumpukan kaedah 'hard engineering', ia perlu disokong kaedah 'soft engineering' (mesra alam) dalam menyelesaikan masalah banjir secara berkesan dan menyeluruh dengan kos jauh lebih rendah, antaranya mengekalkan kewujudan ekosistem penebat semula jadi seperti hutan paya bakau di samping memperkenal dan mempromosikan konsep 'living with floods' atau beradaptasi dengan banjir.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca