PADA Sabtu lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel dan keputusan itu sukar dibuat olehnya bertujuan untuk membendung kenaikan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.
Sebelum ini, bajet subsidi dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu meningkat sebanyak tiga kali ganda pada tahun 2022 kepada 502 trilion rupiah (RM151.35 bilion) daripada bajet asalnya didorong oleh kenaikan harga minyak global dan penurunan nilai mata wang rupiah.
"Ini (kenaikan harga minyak) adalah pilihan terakhir pemerintah (dengan tujuan) mengalihkan subsidi," ujar Jokowi ketika membuat pengumuman tentang kenaikan tersebut di Istana Merdeka, Jakarta pada 3 September lalu.
Berikutan pengumuman tersebut, Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral negara itu, Arifin Tasrif mengumumkan harga petrol 90 oktana Pertalite bersubsidi meningkat dari 10,000 rupiah (RM3.01) seliter berbanding 7,650 (RM2.31) seliter.
Kenaikan itu yang berkuat kuasa pada jam 2.30 petang pada Sabtu lalu itu juga menyebabkan harga petrol 92 oktana dikenali sebagai Pertamax dijual pada harga 14,500 rupiah (RM4.37) seliter berbanding 12,500 rupiah (RM3.77).
Harga diesel bersubsisi juga dinaikkan daripada 5,150 rupiah (RM1.55) setiap liter menjadi 6,800 rupiah (RM2.05) dan yang tidak bersubsidi pula berharga 14,500 rupiah (RM4.37) berbanding 12,500 rupiah (RM3.77) sebelum ini.
Harga bahan api merupakan perkara yang sensitif dari segi politik di Indonesia dan kenaikan harga petrol serta disesel itu sudah pastinya memberikan kesan besar kepada sebahagian besar penduduk dan perniagaan kecil di negara berkenaan.
Bahan api bersubsidi menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada jualan gergasi minyak syarikat peroleum negara tersebut, Pertamina milik kerajaan Indonesia manakala kali terakhir kenaikan harga minyak ialah pada tahun 2014 iaitu beberapa bulan selepas Jokowi berkuasa.
Berikutan itu, Parti Buruh yang menjadi pembangkang telah mengatur tunjuk perasaan yang dijadualkan bakal berlangsung pada Selasa dengan melibatkan ribuan pekerja, kata Pengerusinya, Said Iqbal kepada Reuters selain menggesa Parlimen supaya mendesak kerajaan membatalkan kenaikan harga tersebut.
Menurut Said kepada seperti yang dilaporkan media tempatan Indonesia pada Isnin, beliau mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan dengan mengesyorkan supaya kenderaan peribadi keluaran tahun 2005 ke bawah yang dibenarkan menggunakan minyak atau petrol bersubsidi.
Ini kerana pemilik kenderaan itu merupakan golongan berpendapatan menengah ke bawah manakala pemilik kenderaan keluaran terbaharu dianggap mampu membeli bahan bakar yang tidak dikenakan subsidi oleh kerajaan.
Beliau juga mengemukakan cadangan supaya pihak kerajaan menaikkan kadar upah untuk para pekerja terlebih dahulu supaya masyarakat tidak masyarakat tidak berasa terbeban dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dan diesel.
TUNJUK PERASAAN
Kenaikan harga bahan bakar itu juga menyebabkan sejumlah mahasiwa turut mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kenaikan harga baharu petrol dan diesel bersubsidi dan meminta Jokowi bertindak menurunkan harganya di kawasan Jalan Merdeka Barat, Jakarta di ibu kota Indonesia itu pada Isnin.
Tunjuk perasaan mahasiswa yang diadakan di kawasan Jalan Merdeka Barat pada mulanya aman tetapi bertukar menjadi kecoh apabila mereka bertindak membakar tayar menyebabkan jalan raya menuju ke Istana Merdeka ditutup oleh polis dan pihak berkuasa terpaksa meletakkan kawat berduri untuk menghalang pergerakan mereka.
Dalam tunjuk perasaan itu, sepanduk-sepanduk yang tertera antaranya seperti ayat 'Derita Rakyat, Hiburan Pejabat' dibawa oleh mahasiswa-mahasiswa tersebut tetapi mereka gagal untuk mendekati kediaman Presiden Indonesia tersebut.
Ekoran pengumuman kenaikan harga itu, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani memberikan beberapa penjelasan kenapakah kenaikan tersebut berlaku ketika berlaku trend penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.
Menurutnya, anggaran subsidi dan pampasan tenaga akan tetap bertambah meskipun harga minyak dunia turun kerana kerajaan perlu menanggung subsidi lebih 502 trilion (RM151.35 bilion) berbanding anggaran asal iaitu 152.5 triliun (RM45.99 bilion).
Angka untuk penanggungan subsidi tersebut diperoleh berdasarkan kepada pengiraan purata harga Minyak Mentah Indonesia atau Indonesian Crude Price (ICP) pada harga AS$105 (RM471.69) setong dengan nilai tukaran rupiah sebanyak 14,700 (RM4.43) untuk setiap AS$1 (RM4.49).
Bagaimanapun, berikutan kenaikan harga bahan bakar itu, kadar inflansi di negara tersebut diunjurkan akan berada dalam lingkungan antara 6.6 peratus hingga 6.8 peratus, menurut Ketua Badan Dasar Fiskal (BKF) Kementerian Kewangan, Febrio Kacaribu sekali gus melepasi sasaran kerajaan yang menetapkan kadar antara empat peratus hingga 4.8 peratus.
Justeru, walaupun Jokowi menyatakan kenaikan harga minyak itu dibuat sebagai langkah terakhir untuk mengekang kenaikan subsidi tetapi sebahagian penduduk Indonesia masih tidak boleh menerima kenaikan tersebut buat masa ini. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca