SHAH ALAM - Ketidaktentuan cuaca yang ketara di Malaysia ketika ini menyebabkan kebanyakan pekebun di Cameron Highlands kehilangan 30 hingga 40 peratus hasil pendapatan.
Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong berkata, selain produktiviti berkurang, cuaca yang sukar diramal turut menjejaskan mutu tanaman.
"Apabila mutu berkurang, tanaman tidak boleh dijual pada harga premium kepada pembeli, ini sekali gus mengurangkan hasil pendapatan pekebun.
"Saya boleh katakan sejak empat tahun kebelakangan ini, kita sukar untuk meramal keadaan cuaca di Malaysia dan situasi ini banyak mengganggu pengeluaran tanaman,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ee Mong, keadaan berbeza sebelum ini apabila para pekebun kebiasaannya masih boleh membuat ramalan cuaca sepanjang tahun.
Ujarnya, ramalan tersebut akan memudahkan mereka untuk merancang jenis tanaman yang bersesuaian mengikut musim.
"Biasanya kita akan mengalami cuaca panas pada awal tahun, manakala musim tengkujuh pada hujung tahun, jadi kita boleh rancang jenis tanaman yang sesuai ditanam mengikut musim, namun kini agak sukar.
"Sekarang kita tengok, awal tahun yang biasanya panas, boleh jadi tiba-tiba hujan turun berlarutan.
"Hujan yang terlalu kerap dan lebat akan menjejaskan produktiviti tanaman serta mengakibatkan harga kurang stabil.
"Dulu Ogos biasanya cuaca dan produktiviti baik, jadi tanaman kecil seperti sawi, kailan dan kangkung dijual dengan harga murah tapi kini tidak sampai dua minggu, hujan mula turun dan harga (sayuran) pun naik,” jelasnya.
Menurut beliau, antara alternatif yang dilakukan bagi menangani isu berkenaan adalah dengan membina bumbung yang dibuat dengan menggunakan bahan plastik bagi melindungi tanaman daripada hujan dan pancaran matahari yang terlalu terik.
Bagaimanapun katanya, harga bumbung plastik yang meningkat sekali ganda ketika ini menyukarkan pekebun untuk membinanya.
"Sebelum pandemik Covid-19, harga termasuk besi, plastik dan upah pekerja sekitar RM120,000 hingga RM130,000 seekar tetapi kini naik RM230,000 hingga RM250,000 seekar,” katanya.
Pesawah jangka hasil padi berkurang, kualiti terjejas
Sementara itu, perubahan iklim yang berlarutan dijangka menjejaskan hasil pengeluaran serta kualiti padi yang merupakan makanan ruji di negara ini.
Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, apabila bekalan makanan berkurang, ia akan mencetuskan banyak masalah lain termasuk kenaikan harga serta manipulasi oleh kartel tertentu.
"Situasi ini menyebabkan petani tertekan susulan penurunan hasil serta pendapatan.
"Jika masih berlaku, ia bukan sahaja memberi kesan kepada petani tetapi juga kepada rakyat dari segi bekalan makanan kerana bila kita kekurangan bekalan, kita akan berebut untuk mendapatkan makanan tersebut.
"Jika kita tidak boleh keluarkan sendiri makanan, kita terpaksa berharap pada import dan orang luar pula. Jadi, kerajaan harus lihat perkara ini secara serius,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Abdul Rashid, kesan perubahan iklim yang menyebabkan cuaca tidak menentu itu turut membawa kepada serangan penyakit hawar bulir bakteria (BPB) terhadap tanaman padi.
Jelasnya, kebanyakan petani telah hilang hasil padi sebanyak 60 peratus bagi kawasan sawah di Yan, Kedah.
"Jadi bila perubahan iklim berlaku dengan kelembapan (udara) tinggi, penyakit mudah menyerang padi dan hasil padi akan jatuh,” jelas beliau.
Menurut Abdul Rashid, jadual untuk aktiviti penanaman padi juga terganggu akibat perubahan iklim berkenaan.
Katanya, hal itu menjadi punca ada petani yang tidak dapat menanam padi mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Macam di Kedah, ada kawasan tanah sawah yang tinggi dan rendah. Bagi kawasan rendah, mereka tidak boleh meneruskan aktiviti penanaman padi ini sebab air sudah naik terlalu banyak.
"Bila sawah tenggelam, padi itu rosak, jadi kita terpaksa tanam sekali lagi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca