SHAH ALAM - Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini dijangka akan menjadi bajet terbesar dalam sejarah negara dengan tumpuan kepada aspek kebajikan rakyat dan merangsang kerancakan pertumbuhan ekonomi negara.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kerajaan dijangka akan menggunakan bajet defisit sebagaimana tahun-tahun sebelumnya memandangkan negara memerlukan satu jumlah yang besar bagi perbelanjaan pembangunan dan mengurus.
Menurutnya, walaupun hasil pendapatan kerajaan lebih kecil daripada perbelanjaan kerajaan, bajet defisit ini perlu dan diharap mampu menangani isu-isu yang sangat mencabar yang terpaksa dihadapi seperti kenaikan harga barang, kenaikan inflasi dan kejatuhan RM berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Isu-isu ini boleh menggugat ekonomi dan kepercayaan pelabur luar jika tidak ditangani secara bijaksana.
"Selain itu, spekulasi berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat turut mempengaruhi bajet kerana ia berkaitan bagaimana kerajaan ingin melakukan program kementerian bagi mewujudkan suasana mesra rakyat untuk meraih undi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagaimanapun berpandangan, ekonomi Malaysia akan menampakkan perubahan positif selepas pertengahan Julai 2023.
Sementara itu, Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur berkata, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan lebih besar dibandingkan dengan hasil cukai, dan bukannya cukai yang dikutip.
Beliau berkata, kenaikan kos bahan mentah akibat tekanan global menyebabkan campur tangan kerajaan sangat diperlukan bagi mengawal kegagalan atau kelemahan pasaran.
Menurutnya, bantuan subsidi yang disalurkan kerajaan ke atas petroleum dianggarkan sekitar RM31 bilion pada tahun 2022, selain subsidi minyak masak (RM4 bilion), telur ayam (RM1.1 bilion) dan elektrik (5.8 bilion).
Pada masa sama, beliau menjelaskan, isu utama yang perlu diberikan perhatian ialah kos sara hidup rakyat yang sangat bergantung kepada pembelian barangan keperluan rakyat seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan perkhidmatan internet serta pengangkutan.
"Kerajaan dan swasta boleh bekerjasama menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan internet pada kadar murah dan termaju agar kos sara hidup rakyat berkurangan dan taraf hidup meningkat.
"Bagi golongan rentan dan berpendapatan rendah, Program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang menjual barangan keperluan 20 peratus atau lebih rendah daripada harga pasaran perlu diperluaskan.
"Ini penting untuk golongan ini dapat membeli barangan pada harga murah serta mengelakkan margin tinggi oleh orang tengah.
"Program memudah cara golongan ini memiliki rumah kediaman juga perlu diteruskan dan diperluaskan pada golongan ini serta golongan muda yang baru berkahwin,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sektor yang perlu diberikan ditumpukan ialah pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tinggi kerana ia sektor penting untuk melahirkan insan yang berguna serta meningkatkan taraf hidup rakyat terutama golongan berpendapatan tinggi.
"Sektor kesihatan juga harus diberikan keutamaan serta seperti pertanian agar sekuriti makanan di Malaysia berada keadaan yang lebih stabil dan tidak bergantung pada pasaran dunia,” katanya.
Subsidi petrol
Penganalisis ekonomi, Manokaran Mottain pula berpandangan, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan pemberian subsidi petrol secara bersasar dalam Bajet 2023.
Jelasnya, walaupun ia bukanlah pandangan popular, namun kerajaan perlu sekurang-kurangnya mempunyai kemampuan melaksanakannya.
Pada masa sama, beliau melihat kerajaan perlu mewujudkan Dana Rakyat bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang masih lagi bergelut untuk bertahan kerana kesukaran membuat pinjaman.
"Selain itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membantu perusahaan PMKS yang sukar untuk bertahan dan berkembang.
"Sektor kesihatan juga perlu diberikan perhatian lebih kerana negara masih dalam usaha memerangi Covid-19. Saya rasakan peruntukan RM32.4 bilion dalam Bajet 2022 untuk Kementerian Kesihatan perlu ditambah tahun depan,” ujar beliau.
Tambahnya, ada beberapa inisiatif yang menarik untuk terus dilaksanakan seperti diskaun bayaran balik PTPTN, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan kenderaan (SST) dan pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan tertentu seperti melancong.
Cadangan
- Bajet 2023Subsidi bersasar petroleum.
- Dana Rakyat untuk bantu PMKS.
- Tambahan subsidi tunai.
- Peruntukan tambahan untuk sektor kesihatan.
- Diskaun PTPTN.
- Pengecualian SST kenderaan.
- Sediakan perkhidmatan pengangkutan dan internet pada kadar murah dan termaju.
- Teruskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia.
- Memudah cara golongan berpendapatan rendah dan muda memiliki kediaman.
Klik di sini untuk terus membaca