LONDON - Pemimpin baharu Konservatif Britain, Liz Truss berikrar mengambil tindakan 'berani' untuk memulihkan krisis ekonomi terburuk yang dihadapi negara itu dalam tempoh beberapa dekad setelah beliau diumumkan sebagai pengganti... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Pemimpin baharu Konservatif Britain, Liz Truss berikrar mengambil tindakan 'berani' untuk memulihkan krisis ekonomi terburuk yang dihadapi negara itu dalam tempoh beberapa dekad setelah beliau diumumkan sebagai pengganti bekas Perdana Menteri, Boris Johnson pada Isnin.

"Saya berkempen sebagai konservatif dan akan mentadbir sebagai konservatif,” katanya ketika mengulangi janji beliau sewaktu sesi debat sebelum ini untuk langkah pemotongan cukai dan menangani krisis tenaga yang akan dibiayai pinjaman lebih tinggi, sekali gus berisiko mencetuskan inflasi dua angka.

Bekas Setiausaha Luar itu bagaimanapun menolak desakan untuk mengadakan pilihan raya awal bagi mengesahkan mandat baharu beliau setelah Perdana Menteri ke-15 Britain itu meraih 81,326 undi (57 peratus), sekali gus menewaskan pesaing utamanya, Rishi Sunak yang merupakan bekas Menteri Kewangan yang memperoleh 60,399 undi (43 peratus).

Truss, 47, yang dilantik sebagai Perdana Menteri wanita ketiga Britain selepas Theresa May (2016-2019) dan Margaret Thatcher (1979-1990) sekali lagi menabur janji untuk memastikan Parti Konservatif meraih kemenangan besar ketika Pilihan Raya Umum akan datang.

Menerusi ucapan ringkas sejurus kemenangannya diumumkan, Truss turut mengagumi dan memuji rekod cemerlang Johnson yang berjaya merealisasikan Brexit dan memimpin usaha menangani pandemik Covid-19.

Walaupun mendapat sokongan yang kuat dalam kalangan lebih 17,000 anggota Tory, Truss dikatakan berdepan cabaran untuk meraih kepercayaan umum setelah imej pendahulunya, Johnson tercalar dek skandal parti sosial ketika pelaksanaan lockdown.

Ketidakpercayaan

Keputusan kaji selidik YouGov pada akhir bulan lalu mendapati 52 peratus responden berpendapat Truss akan menjadi Perdana Menteri yang 'lemah' atau 'teruk'.

Selain itu, 43 peratus responden menyatakan mereka tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap beliau untuk menangani krisis kos sara hidup ketika harga bahan api melonjak akibat konflik Rusia-Ukraine.

Ketika ini, inflasi di Britain mencapai kadar tertinggi melebihi 10 peratus dalam tempoh 40 tahun yang didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api.

Isi rumah di negara itu juga bakal berdepan purata kenaikan 80 peratus bil elektrik dan gas bermula bulan depan yang akan memburukkan lagi krisis kos sara hidup sebelum ketibaan musim sejuk.

"Beberapa janji yang ditaburkan Truss mungkin gagal ditunaikan sebaik sahaja beliau memegang jawatan Perdana Menteri, sekali gus membuktikan dengan jelas urus tadbir kerajaan yang lemah walaupun di bawah kepimpinan baharu,” kata penganalisis kanan pelaburan dan pasaran di Hargreaves Lansdown, Susannah Streeter.

Truss turut berdepan ketidakpercayaan beberapa sekutu Britain selepas beliau mengambil tindakan tegas terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung peraturan perdagangan pasca-Brexit untuk Ireland Utara.

Sementara itu, beberapa penganalisis politik berpendapat tiada tempoh ‘bulan madu’ untuk Truss memandangkan beliau perlu terus menggalas tanggungjawab besar yang ditinggalkan Johnson selain menaikkan semula populariti Konservatif yang kini jauh ketinggalan di belakang Parti Buruh.

"Walaupun politik Britain sedang diset semula, ia akan terus kompetitif dan sukar diramalkan,” kata Editor Politik BBC, Chris Mason.

Difahamkan, beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri Britain secara rasmi berkuat kuasa pada Selasa selepas pelantikannya mendapat perkenan Ratu Elizabeth II dan majlis itu buat pertama kali berlangsung di estet Balmoral, Scotland.

Tanggungjawab pemimpin wanita itu dikatakan semakin mencabar selepas Bank of England (BoE) meramalkan London akan berdepan kemelesetan selama setahun menjelang akhir 2022. - AFP

TRIVIA TENTANG PERDANA MENTERI KE-15 BRITAN

- Perebutan jawatan yang menentukan kemenangan Truss ditentukan anggota Konservatif dan bukannya Pilihan Raya Umum.

- Beliau pernah dedahkan ibu bapanya sebagai penyokong berhaluan kanan.

- Ketika menuntut di Oxford University, Truss pernah berkempen untuk Parti Liberal Demokrat sebelum beralih sokongan kepada Konservatif.

- Beliau pernah berkhidmat di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri.

- Dilantik sebagai Setiausaha Alam Sekitar oleh David Cameron dan memegang jawatan Setiausaha Kehakiman di bawah pimpinan Theresa May. Truss kemudiannya dinamakan sebagai Setiausaha Luar oleh Boris Johnson.

- Menjadikan Margaret Thatcher sebagai idolanya.

- Beliau berjanji untuk melaksanakan langkah pemotongan cukai pada hari pertama bergelar Perdana Menteri.

- Truss mengundi 'tidak' ketika referendum Brexit. Namun, pendiriannya berubah setelah melihat langkah Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) sebagai satu peluang besar kepada negara itu. Beliau terkenal dalam kalangan anggota Konservatif yang menyokong Brexit.

- Ucapannya yang mempromosikan keju British ketika persidangan Konservatif pada 2014 pernah menjadi tular.

Gambar dari kiri; Boris Johnson, Keir Starmer dan Ursula von der Leyen

REAKSI

"Saya tahu beliau mempunyai rancangan yang tepat untuk menangani krisis kos sara hidup, menyatukan parti dan rakyat negara ini. Sekarang adalah masanya untuk semua anggota Konservatif memberi sokongan 100 peratus kepada Truss." - Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson

"Boris Johnson EU dan Britain adalah rakan kongsi dan saya berharap kepimpinan beliau akan menghormati sepenuhnya perjanjian melibatkan Protokol Ireland Utara serta menjalinkan kerjasama konstruktif dalam beberapa isu penting seperti perubahan iklim." - Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen

"Tahniah atas kemenangan beliau. Apa yang dicapai selepas 12 tahun pemerintahan Tory ialah gaji rendah dan kenaikan harga yang mengakibatkan krisis kos sara hidup. Hanya Parti Buruh yang boleh menyampaikan permulaan baharu yang diperlukan negara ini."- Pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer

Klik di sini untuk terus membaca