PRINSIP hidup kebanyakan orang pada zaman now ini hampir sama; ‘biar tak ada akaun bank asalkan ada akaun media sosial’.
Berpegang pada prinsip itulah, orang yang rumahnya hari-hari disimbah cat oleh ah long pun ada sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Tetapi selalunya lebih.
Statistik terbaru menunjukkan terdapat kira-kira 4.7 bilion pengguna media sosial di seluruh dunia dengan kira-kira 30 juta daripadanya berada di Malaysia.
Memang tidak semuanya aktif, dan memang benar juga bahawa ada orang mempunyai beberapa akaun di sesuatu platform atau aplikasi, namun ia tidak mengubah hakikat bahawa manusia dan media sosial sekarang ini ibarat hidung dengan lubangnya; tanpa hidung, nampak rompong, tanpa lubangnya, apalah makna?
Banyak sebab orang menggunakan media sosial. Daripada tujuan asalnya untuk saling berhubung dengan handai taulan dan mendapatkan kenalan baharu sehinggalah untuk berkongsi pandangan, mencari hiburan dan mengetahui perkembangan semasa. Yang menggunakannya untuk menjadi kamera litar tertutup (CCTV) pun ada.
Media sosial kemudiannya berkembang menjadi medan perniagaan. Daripada tapak untuk pengguna mengiklan dan memasarkan produk atau perkhidmatan, ia kini menjadi gedung bersaiz global dengan jalinan pemasaran yang penuh dengan pengeluar, penjual, agen-agen mereka serta pengunjung dan pembeli.
Setakat sekarang media sosial terus dilihat sebagai medium paling ampuh untuk tujuan pemasaran. Telah berlalu zaman pekasam daging landak dari Sungai Panjang hanya boleh dipasarkan di Sungai Besar dan di Sabak Bernam kerana ia sekarang sudah boleh ‘dibelek-belek’ di Stockholm, Denver, Iskandariah, Lagos, Bogota, malah di Longyearbyen, penempatan yang seeloknya anda Google sendiri untuk mengetahui di mana letaknya. Jadi untuk memasarkan produk sekarang ini bukan lagi masalah.
Tetapi dalam perniagaan, memasarkan adalah satu perkara, menjual pula perkara yang lain. Mengiklankan produk secara besar-besaran dan mempamerkannya dalam susun atur yang cantik dengan gambar-gambar yang menarik tidak akan memberi sebarang makna jika ia tidak terjual atau susah dijual.
Di Chow Kit, sehingga awal 1990-an terdapat banyak penjual ubat di kaki lima. Ada yang berdiri terpacak di tepi meja kecil yang di atasnya bersusun botol atau kotak-kotak ubat jualannya.
Dia hanya bercakap jika orang singgah untuk membeli. Tetapi ada juga penjual ubat yang riuh-rendah berkempen memperkenalkan ubat jualannya.
Ada yang tampak serius dengan disokong pelbagai testimoni, dan ada juga yang ‘gedebung-gedebang’ sehingga habis terkait Raja Suran, jin afrit dan segala bagai. Dan selalunya ubat-ubat mereka lebih laris sebab mereka bukan sekadar memasarkannya, tetapi juga turut menjual.
Setahun yang lepas, tidak ramai orang yang kenal atau pernah mendengar nama Ryan Bakery. Tetapi kerana dia bijak mencipta content untuk akaun TikToknya, RyanBakery. @ryanbakery., kerana dia bijak menarik minat dan membeli jiwa pengguna lain, Ryan menjadi fenomena, berdiri gagah dengan berjuta pengikut.
Ryan hanyalah mantan petugas di kargo KLIA sebelum kehilangan pekerjaan akibat Covid-19. Dengan content zaman kanak-kanak ketika 90-an menjadi beliau cukup popular.
Kehebatan Ryan adalah dia jujur dalam ‘memasar dan menjual’ contentnya. Tidak ada ‘propa’ berlebihan yang boleh menyebabkan orang mual dan mengundang kecaman. Dianggarkan setiap sesi paparan di media sosial beliau menerima ribuan ringgit. Tentunya ini menambah pendapatan beliau.
Sesiapa pun boleh menjadi seperti Ryan. Lakukan dengan baik dan ikhlas. Tidak perlu hendak memaki-hamun dan mencarut-marut. Tidak perlu tayangkan rantai tangan bertayar jentolak. Tidak perlu ‘tonggek’ sana, ‘tonggek’ sini.
Seperkara yang harus diingat, mencari makan di alam siber sama sahaja dengan mencari rezeki di dunia nyata. Haram halal, berkat dan tidaknya perlu diambil kira melainkan bagi mereka yang berminat sangat hendak merasa panasnya api neraka.
Bagi tujuan motivasi saya ulangi sekali lagi, sesiapa pun boleh menjadi seperti Ryan. Yang diperlukan hanyalah kemahuan dan komitmen. Prasyarat seterusnya juga mudah; bermula daripada langkah pertama, jangan terikut-ikut dengan bodoh orang dan jangan bermegah-megah dengan bodoh sendiri.#dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca