KETIKA baru mempunyai kereta, saya diberitahu kawan-kawan yang saya tidak boleh mencampur-campur petrol daripada pelbagai jenama. Jika semalam menggunakan petrol Shell, hari ini menggunakan Petron dan esok menggunakan minyak Petronas, kereta saya boleh rosak.
Saya percaya dan tidak berani mengisi minyak dengan pelbagai jenama sehinggalah seorang teman memberi hujah. Katanya, kalaulah setiap jenama petrol mempunyai komposit yang berbeza dan jika bercampur-campur pula enjin kereta akan rosak, tentulah akan ada banyak laporan tentang kereta rosak dan persatuan pengguna akan bising.
Eh, betul katanya. Saya tidak pernah dengar mengenai kereta rosak kerana bertukar-tukar jenama petrol. Kini saya mengisi minyak mengikut stesen minyak mana yang kurang kereta berbaris. Tidak takut lagi menukar jenama pada bila-bila masa.
Baru-baru ini juga terjadi kekurangan minyak masak sawit botol. Orang rumah yang biasa menggunakan minyak masak jenama Saji terpaksa memilih jenama-jenama lain seperti Dian, Alif, Suri atau Adela. Saya yang menjamah masakannya tidak berasa perbezaan rasa walaupun isteri tidak menggunakan minyak masak pilihannya.
Begitu juga apabila minyak masak botol hilang di pasaran, dia terpaksa memilih minyak masak peket. Kali ini dia tidak mempunyai pilihan jenama yang khusus. Ada masa dia membawa pulang jenama Hawa, Bagus ataupun Slera. Dan saya makan dengan berselera juga, tiada masalah pun.
Seperti juga minyak petrol, minyak masak juga tiada beza. Sekiranya terdapat perbezaan rasa yang ketara antara sesuatu jenama dengan jenama yang lain, pasti jenama itu akan ditolak pengguna.
Saya memperkatakan mengenai produk pengguna yang asas seperti minyak petrol dan minyak masak sawit. Air mineral, gas memasak, garam dan paracetamol juga pun tetap mempunyai nilai pilihan pengguna menurut jenama, meskipun rasa dan fungsinya sama.
Jenama itu penting untuk memperkenal dan melariskan sesebuah produk. Dan penjenamaan pula mustahak untuk membina keyakinan sesebuah jenama itu dengan pengguna. Sebenarnya, tiada masalah seandainya kita memilih sesebuah jenama kerana kita selesa dengannya.
Bagaimanapun, kempen berterusan dan manipulasi minda sesebuah jenama dengan mengasak fikiran, maaf cakap, telah mempengaruhi kita hingga menjadi taasub dengan sesebuah jenama. Kita berasa selesa, bangga dan hebat bila menggunakan sesebuah jenama.
Sebaliknya kita boleh berasa canggung, tiada standard malah ketinggalan sekiranya menggunakan jenama yang kurang popular.
Warna yang terdapat pada sesebuah jenama pun amat mempengaruhi. Saya teringat beberapa tahun dahulu, bagaimana Petronas telah menukar logo yang berlatarbelakangkan warna hijau kepada warna putih semata-mata kerana warnanya mempunyai persamaan dengan warna parti politik Pas!
Warna pelangi pula amat indah. Banyak juga jenama yang menggunakan warna itu. Stesen TV NBC Amerika menggunakan warna pelangi dalam logonya. Begitu juga jenama komputer Apple dan gula-gula Skittles menggunakan warna itu.
Namun kini, warna itu menjadi warna pilihan golongan LGBT. Ia seolah-olah menjadi hak mereka hinggakan menjadi ‘pantang’ kita menggunakan warna itu jika tidak mahu dianggap tergolong dalam kumpulan itu!Kita tahu bahawa logo, warna dan jenama tidak ada kena mengena dengan kualiti atau hubung kaitnya dengan sesebuah produk. Namun, kita tidak mahu memilih apa yang dianggap kurang bermutu oleh orang lain.
Meskipun rata-rata orang lain bukan kisah dengan apa pilihan kita, kita sahaja yang perasan bagus atau tidak bagus memilih sesuatu jenama, logo ataupun warna.
Kerana persepsi orang, mahu tidak mahu, kita menjadi hamba kepadanya.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca