SHAH ALAM - Tekanan kenaikan harga barangan sememangnya memberikan cabaran besar terhadap rakyat Malaysia untuk memastikan kewangan mereka sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan hidup.
Dengan mengambil kira trend peningkatan tersebut yang dijangka berterusan sehingga tahun hadapan, rakyat Malaysia tentunya menantikan dengan penuh harapan terhadap insentif dan bantuan bakal diumumkan kerajaan dalam Bajet 2023.
Suri rumah dari Banting, Nor Aizan Masyuri, 44, berkata, dia berharap agar kerajaan meneruskan pemberian bantuan tunai khususnya kepada golongan B40 yang kini tertekan dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas seperti makanan serta bil elektrik.
"Kalau dapat ditingkatkan (bantuan tunai) dalam RM200 ke RM400 pun bagus juga kerana sekarang ini barangan keperluan sudah mahal. Cara agihan perlu diperkemas agar sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.
"Selain itu, saya juga berharap kerajaan memberi peruntukan untuk mewujudkan lebih banyak bank makanan bagi golongan yang memerlukan,” kata ibu kepada enam orang anak itu.
Pemandu teksi dari Shah Alam, Mat Fauzi Salleh, 55, berkata, selain pemberian tunai, dia berharap agar kerajaan mempertimbangkan memberi bantuan kepada pemandu teksi khususnya yang terkesan secara langsung dengan kenaikan harga barangan.
"Contohnya, mungkin boleh memberikan subsidi pembelian alat ganti untuk meringankan beban kos operasi kerana kos untuk penyelenggaraan kereta pun sudah meningkat sekarang ini.
"Dengan cara itu, baru kami dapat kerja mencari rezeki. Kalau tidak, macam tak balik modal nak terus bekerja kerana kos operasi sekarang ini semakin tinggi, tapi kadar tambang masih sama,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus di sebuah syarikat swasta, Idris Che Long, 57, berpandangan, bantuan diberikan perlu lebih bersasar dan tidak semestinya dalam bentuk agihan tunai.
Katanya, bantuan dimaksudkan itu antaranya membabitkan pemberian subsidi barangan keperluan asas yang digunakan seperti makanan dan minyak petrol.
"Mungkin kerajaan boleh selaraskan semula subsidi minyak petrol dan hanya beri kepada yang memerlukan. Sedangkan orang-orang kaya yang banyak pakai kereta,” ujarnya.
Juruteknik, Nashrun Mohd Nor, 45, pula berkata, untuk merancakkan semula ekonomi rakyat, kerajaan perlu memberikan lebih insentif kepada peniaga dan penjaja kecil yang berhadapan dengan tekanan kos operasi akibat peningkatan harga barang.
"Kerajaan mungkin boleh pertimbangkan untuk berikan pengecualian atau mengurangkan kadar sewa kedai atau gerai supaya lebih berpatutan kepada peniaga kecil ini,” ujarnya yang menetap di Klang.
Dalam pada itu, pelajar sarjana dari sebuah universiti tempatan, Maryam Safia Shamsudin, 34, berkata, kerajaan perlu meningkatkan insentif kepada majikan agar mewujudkan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi.
"Saya percaya rakyat Malaysia ada semua kepakaran yang diperlukan untuk bersaing dengan negara luar dari segi kemajuan teknologi dan ekonomi.
"Tapi mereka ini tiada ruang disebabkan industri kita dilihat masih belum bergerak ke arah itu. Jadi penting untuk kerajaan menjadi pemacu dengan meningkatkan pelaburan dalam sektor yang strategik,” katanya.
Perlu tambah RM100 juta pinjaman kepada peniaga
Sementara itu, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia berharap agar kerajaan menambah jumlah peruntukan pinjaman kepada peniaga dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, jumlah peruntukan pinjaman yang disediakan kerajaan kepada peniaga sebelum ini tidak mencukupi.
"Sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan mengumumkan peruntukan pinjaman sebanyak RM50 juta kepada peniaga. Tetapi apabila peniaga mahu memohon pinjaman pergi ke Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, ia sudah habis.
"Jadi kita minta kerajaan membuat penambahan peruntukan pinjaman seperti melalui TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya kepada Sinar Harian.
Rosli turut berpandangan sekiranya kerajaan menambah peruntukan pinjaman kepada peniaga, ekonomi negara akan berjalan lebih lancar selepas ini.
"Tidak seperti hari ini, (ekonomi) perlahan. Itu harapan saya. Minta kerajaan tambah (peruntukan pinjaman). Jangan beri RM50 juta, tidak cukup. Berilah RM100 juta kepada peniaga-peniaga kecil membuat pinjaman,” ujarnya.
Selain itu, Rosli turut menggesa agar kerajaan menyelesaikan masalah harga barang keperluan yang tinggi pada masa ini.
"Semua barang naik. Kalau anda lihat, harga barang alat ganti kenderaan juga naik. Kerajaan tidak pernah memperincikan masalah harga alat ganti yang meningkat ini,” katanya sambil menambah peniaga menggunakan kenderaan untuk berniaga.
Klik di sini untuk terus membaca