SEORANG jutawan Malaysia, Leonard Glenn Francis yang dilahirkan di Pulau Pinang dan mengaku salah kerana terlibat dalam skandal rasuah terbesar dalam Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kini menjadi buruan pihak berkuasa negara itu selepas bertindak melarikan diri dengan memotong alat pemantau Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di buku lali di rumahnya di San Diego, AS pada Ahad lalu.
Dia yang berumur dalam lingkungan 50-an dan dikenali dengan pelbagai nama jolokan seperti Fat Leonard, Tony Soprano Singapura, Lion King dan Big Bro kerana mempunyai saiz badannya ekoran memiliki berat badan lebih 136 kilogram (kg) dan tingginya melebihi 1.8 meter (m) terlibat dalam skandal rasuah Tentera Laut AS pada era 2000-an.
Akhbar Washington Post telah melaporkan bahawa skandal rasuahnya itu mungkin merupakan pelanggaran keselamatan AS yang terburuk seumpamanya pernah berlaku dalam Tentera Laut AS sejak berakhirnya Perang Dingin.
Francis mengaku salah pada tahun 2015 di mahkamah AS kerana menawarkan rasuah kira-kira AS$500,000 (RM2.24 juta) kepada pegawai-pegawai Tentera Laut negara tersebut bagi mengarahkan kerja-kerja rasmi dilakukan ke atas kapal-kapal tentera AS.
Dia juga dikenali sebagai seorang 'playboy'dan membekalkan pelacur, melakukan penipuan, rasuah, memberikan barangan elektronik dan membiayai perjalanan mewah ke atas pegawai-pegawai tentera laut AS memiliki syarikat pertahanan Glenn Defense Marine Asia (GDMA) yang pada asalnya menggunakan nama Glenn Marine Enterprise daripada bapanya.
Jutawan itu dilahirkan daripada keluarga kaya dan mendapat pendidikan di sekolah persendirian dengan mengenakan bayaran mahal tetapi bapanya ialah seorang kaki perempuan manakala Francis pula seorang anak yang taat kepada ibunya tetapi bertindak meninggalkan bapanya ekoran kelakuan buruknya itu.
Semasa berumur dalam lingkungan 20-an, Francis membuka sebuah bar tetapi perniagaannya tidak berjaya menyebabkan dia dibebani dengan hutang dan kemudian polis Pulau Pinang menahannya kerana memiliki dua pucuk revolver dan peluru.
Justeru, dia didapati bersalah ia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang atas dua pertuduhan memiliki senjata api pada tahun 1989.
Sejurus keluar dari penjara, Francis mengambil alih perniagaan keluarga iaitu Glenn Marine Enterprise daripada bapanya dan bertukar nama menjadi Glenn Defense Marine Asia yang mana syarikat itu mengendalikan beberapa buah pelabuhan di seluruh Pasifik serta menyediakan perkhidmatan menguruskan hal ehwal kapal semasa berada di pelabuhan termasuk tugas-tugas seperti formaliti kastam, pengisian bahan api, bekalan, pembaikan dan sebarang keperluan anak-anak kapal.
Menurut portal War In Boring, GDMA telah menjadi syarikat terkemuka yang menjalankan perniagaan dengan Armada Pasifik Tentera Laut AS selama 25 tahun tetapi Francis menggunakan masanya semasa memimpin syarikat tersebut untuk melapisi poketnya dengan mengorbankan wang-wang pembayar cukai di negara Uncle Sam tersebut dengan mengenakan bayaran berlebihan terhadap perkhidmatan yang diberikan ketika menguruskan hal-ehwal kapal-kapal tentera laut AS.
Dia yang mengendalikan firma kontrak tenteranya, Glenn Defense Marine Asia dari Singapura telah ditangkap di bilik hotel San Diego pada tahun 2013 sebagai sebahagian daripada siasatan dalam skandal rasuah dalam Tentera Laut AS.
PENGARUH
Syarikatnya menyediakan perkhidmatan kepada kapal-kapal Tentera Laut AS yang melawat di pelabuhan-pelabuhan di seluruh Asia Tenggara dan selama bertahun-tahun dia merasuah pegawai-pegawai tentera dari negara tersebut kebanyakannya dari Armada Ke-7 untuk mendapatkan pengaruh mereka dan akses kepada perisikan tentera membolehkan jutawan tersebut memperoleh berjuta-juta dolar daripada kontrak tentera laut.
Ia menawarkan perkhidmatan pengurusan hal ehwal kapal di pelabuhan Jepun, Singapura, Thailand, Malaysia, Korea Selatan, India, Hong Kong, Indonesia, Australia, Filipina dan Sri Lanka.
Dia ditangkap pada tahun 2013 selepas Jabatan Keadilan AS melakukan penyiasatan selama bertahun-tahun dalam skandal rasuah tersebut.
Bekas ejen Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut AS, John Beliveau telah ditangkap di Washington, D.C. dan menangkap seorang pegawai Tentera Laut negara itu, Komander Michael Misiewicz di rumahnya di Colorado Springs.
Kedua-dua lelaki itu telah didakwa membantu Francis menipu Tentera Laut AS selama bertahun-tahun.
Pada tahun 2009, Francis mengatur perjalanan mewah ke Kuala Lumpur untuk seorang pegawai logistik Armada Ke-7 Tentera Laut AS dan rakan-rakannya.
Francis mengaku bersalah pada tahun 2015, mengaku melakukan konspirasi rasuah besar-besaran dan juga menipu Tentera Laut AS berjuta-juta dolar AS.
Dia telah didakwa menculik dua anaknya dan tidak membenarkan mereka berjumpa ibu mereka selama lebih 10 tahun,
Ketika berada di mahkamah, Francis memberikan keterangan bahawa dia tidak menculik anak-anak itu yang dilahirkan oleh perempuan simpanannya dan anak-anaknya itu dilahirkan secara sah selain menjadi warganegara Malaysia.
Selepas mengalami masalah kesihatan, termasuk kanser buah pinggang, Francis dibebaskan dengan cuti perubatan dan telah menjalani tahanan rumah sekurang-kurangnya sejak tahun 2018.
Francis kemudian menjadi saksi dengan bekerjasama untuk pendakwa raya persekutuan yang terus membina kes terhadap beberapa orang lain yang terlibat dalam skim itu termasuk pegawai tentera laut berpangkat tinggi.
Namun, dia melarikan diri sebelum sempat mahkamah AS menjatuhkan hukuman ke atasnya yang dijadualkan akan diadakan pada bulan ini manakala tiga daripada anak Francis telah tinggal bersamanya walaupun tidak jelas sama ada mereka berada bersamanya pada Ahad lalu, - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca