ADALAH diharapkan supaya parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bergerak secara bebas dan tidak melekatkan diri mereka dengan mana-mana parti politik sedia ada dalam negara kita kerana ia akan memudahkan urusan mereka untuk membawa... Klik di sini untuk terus membaca

ADALAH diharapkan supaya parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bergerak secara bebas dan tidak melekatkan diri mereka dengan mana-mana parti politik sedia ada dalam negara kita kerana ia akan memudahkan urusan mereka untuk membawa pembaharuan kepada negara kita serta memenuhi harapan ramai pihak dalam negara kita untuk melihat kemunculan sebuah kuasa baru atau kuasa ketiga (Third force power) yang boleh memberi harapan baru pada rakyat Malaysia khususnya para pengundi untuk memberikan undi mereka.

Ini susulan pengumuman yang dilakukan oleh parti Muda baru-baru ini yang menyuarakan secara rasmi hasrat mereka untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sebelum ini perbincangan secara tidak rasmi mengenai cadangan berkenaan sudah dilakukan bersama pimpinan tertinggi PH.

"Bukan sekadar kekal collaboration (kerjasama) bermula perbincangan awal untuk penyertaan blok yang stabil dengan prinsip perjuangan yang sama,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Syed Saddiq, perbincangan rasmi akan diadakan bersama PH secepat mungkin.

"Seperti saya kongsikan sejak sebaik sahaja tamat pilihan raya negeri Johor, telah ada beberapa siri rundingan tidak rasmi bersama dengan pimpinan tertinggi PH.

"Perbincangan awal penyertaan... Ia bukan sekadar electoral pact atau pembahagian kerusi, (sebaliknya) penyertaan PH.

"Tetapi saya tidak boleh berikan komen lanjut sampai telah adanya rundingan rasmi. Di situlah kita akan buat keputusan bersama,” katanya.

Untuk rekod, baru-baru ini juga, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PH masih belum membincangkan perkara berkaitan kerjasama dengan parti Muda.

Parti Muda yang ditubuhkan olehSyed Saddiq pada bulan September 2020 yang lalu ini serta yang sudah diluluskan proses pendaftarannya baru-baru ini tidak perlu mengadakan sebarang jenis kerjasama, usahasama, persefahaman ataupun bergabung dengan mana-mana parti politik sedia ada dalam negara kita pada ketika ini seperti parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain sekiranya mereka benar-benar ingin membawa pembaharuan sebenar kepada negara kita.

Parti-parti politik sedia ada dalam negara kita ini sudah lama bertapak, idea dan matlamat mereka pun dilihat makin hari makin tidak selari dengan citarasa dan kehendak generasi masa kini.

Secara peribadi saya lebih suka tengok parti Muda bergerak secara solo atau sendirian dalam dunia politik di Malaysia.

Parti Muda tidak perlu melekat dengan mana-mana parti politik sedia ada dalam Malaysia sekiranya mereka ingin membawa pembaharuan yang sebenar untuk rakyat dan negara ini.

Walaupun sukar untuk mana-mana parti politik baru untuk memulakan langkah mereka dalam dunia politik Malaysia, mereka tidak seharusnya mendekatkan diri mereka dengan mana-mana parti politik sedia ada dalam negara kita.

Rakyat negara ini sudah muak dengan kewujudan parti – parti politik lama yang sudah lama bertapak di bumi Malaysia ini.

Penubuhan parti Muda diharapkan dapat memberi satu bentuk pilihan dan harapan baru kepada rakyat Malaysia khususnya kepada para pengundi untuk diberi kepercayaan dan mentadbir Malaysia kerana parti Muda ini dipelopori rata-ratanya oleh generasi muda yang memiliki idea serta matlamat baru yang dilihat sesuai dengan citarasa dan kehendak generasi masa kini.

Parti Muda yang diasaskan oleh Syed Saddiq ini diharapkan dapat memberi satu alternatif berlainan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada pengundi untuk mengubah landskap politik negara kita yang sudah lama diterajui oleh generasi tua yang sudah ketinggalan zaman dan tidak faham dengan hasrat sebenar generasi baru.

Sudah sampai masanya Malaysia diterajui oleh sebuah parti politik baru yang dipelopori oleh generasi baru yang membawa idea baru untuk membawa Malaysia ke arah baru yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekiranya parti Muda ingin jadi sebahagian daripada gabungan mana-mana parti politik sedia ada dalam negara kita maka Malaysia tidak akan memiliki kuasa ketiga (Third force power) seperti yang diharap-harapkan oleh ramai pihak untuk membawa pembaharuan yang sebenar dalam negara kita.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya parti Muda melihat semula hala tuju parti Muda itu sendiri.

Adakah parti Muda ingin menjadi sebuah parti politik yang benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh parti – parti politik sedia ada dalam Malaysia ataupun parti Muda ingin menjadi sebahagian daripada gabungan mana – mana parti politik sedia ada dalam negara kita?

Adalah diharapkan kepimpinan tertinggi dan semua ahli parti Muda dapat memikirkan dengan mendalam terhadap langkah yang mereka ingin ambil untuk membawa parti mereka di dalam landskap politik negara.

* Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Klik di sini untuk terus membaca