SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan perlu menyegerakan pengasingan kuasa antara pendakwa raya dan Peguam Negara (AG) supaya budaya politik dendam sebagaimana yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak berulang.
Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, walaupun keputusan mahkamah tidak boleh dipertikaikan, Malaysia perlu bergerak dan memulakan usaha itu agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Menurutnya, institusi kehakiman dan prinsip keadilan kena diletakkan di tempat yang paling tinggi.
"Malaysia perlu bergerak ke arah yang lebih tinggi. Untuk mengelakkan benda begini (pendakwaan terpilih) berulang, kita pernah bincangkan di peringkat UMNO untuk mengasingkan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara (AG) supaya ia lebih seimbang.
"Sebab itu, kita tak mahu lagi politik dendam atau sebagaimana situasi pembebasan yang dibuat dalam tempoh awal kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah itu berulang.
"Kita kena letakkannya (institusi kehakiman) di tempat yang paling tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, di sini pada Rabu.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan, selagi tiada pengasingan kuasa dibuat, ia akan terus menjadi masalah yang berulang.
Mengambil contoh satu kes di Australia, beliau berkata, ada kes di mana seorang rakyat Malaysia ditahan kerana dadah.
"Mereka beritahu kita ada satu rampasan dadah dan rakyat Malaysia ditahan tapi mereka tak beritahu pun siapa yang ditahan.
"Apa yang dia (Australia) cakap? Ia boleh mengganggu siasatan dan untuk menjaga keluarga orang yang ditahan. Tapi kita di sini, ketua agensi ketawakan dan beritahu pada satu dunia, yang saya rasa satu perkara yang tak patut dilakukan oleh satu agensi.
"Pada saya, ini bukan satu perkara yang lucu. Sebagai orang yang mendapat pendidikan undang-undang, benda ini boleh merendahkan institusi keadilan dalam negara,” tegasnya.
Ujar beliau, apa yang lebih menyedihkan, ada yang meraikan apabila individu tertentu dipenjarakan.
"Bila ada yang menang atau kalah (kes mahkamah), yang lain jangan raikan dan kutuk. Pada saya, itu pun tak betul. Kita rainya seolah-olah sebuah kemenangan sedangkan perbicaraan di mahkamah adalah untuk memberikan satu keadilan. Ia bukan satu perkara untuk diraikan.
"Begitu juga bagi kita dalam UMNO, walaupun saya cakap begitu, kesedihan memang kita tak boleh sembunyikan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca