SHAH ALAM - Parti politik tidak seharusnya memainkan isu pertahanan membabitkan kapal tempur pesisir (LCS) secara meluas tanpa sempadan.
Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, ia berikutan tindakan tersebut memberi kesan buruk terhadap imej negara dan pada masa yang sama mengurangkan keyakinan pelabur-pelabur luar.
"Yang pergi bangga ceritakan kapal selam itu tidak siap, pasal apa? Semua dengar yang pertahanan Malaysia ini teruk.
"Cuma saya takut, orang yang nak ‘finance’ (labur) untuk kapal ini pun lari disebabkan perangai orang politik kita yang tidak ada sempadan ceritakan keselamatan dan kedaulatan negara.
"Tolong jangan babitkan. Kalau salah, tangkap,” katanya dalam program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Selain itu, beliau berkata, isu negara bankrap sehingga menyamakan negara seperti Sri Langka juga tidak patut dimainkan oleh segelintir ahli-ahli politik dengan kerap.
"Janganlah diulang-ulang isu negara nak bankrap ini. Pelabur akan lari.
"Beritahu hutang (negara cecah) trilion, selepas itu beritahu ‘tax holiday’ (pengecualian cukai) tiga bulan. Bukankah (kedua-dua) itu bercanggah?
"Dalam keadaan susah, semua syarikat mendapat pengecualian cukai, itu tidak masuk akal. Bab ekonomi yang merugikan rakyat, jangan main politik sebab pelabur tidak akan datang,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca