SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim bakal bertembung dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Menurut sumber, pucuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim bakal bertembung dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut sumber, pucuk pimpinan parti telah bersetuju untuk memindahkan beliau daripada kerusi Parlimen Muar yang pernah dimenangi selama tiga penggal iaitu pada PRU11, PRU12 dan PRU13.

Bagaimanapun, Razali kalah dalam PRU14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini merupakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Difahamkan dengan pemilihan Razali sebagai calon, ia bakal memberikan satu cabaran besar kepada Muhyiddin bagi mempertahankan kerusi Pagoh.

Untuk rekod, Muhyiddin telah menyandang kerusi tersebut selama lapan penggal iaitu sejak tahun 1978 bersama BN, namun pada PRU14, beliau bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Pada pilihan raya itu, Muhyiddin berjaya mendapat sebanyak 23,558 undi mengalahkan calon BN iaitu Ismail Mohamed dan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz.

Muhyiddin bukan sahaja pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa pentadbiran kerajaan BN malah telah diangkat sebagai Perdana Menteri apabila kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

Kata sumber itu lagi, Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Timbalan Menteri Pelajaran itu sudah bersedia menggalas cabaran tersebut.

Sebelum ini, UMNO telah memulakan langkah untuk memindahkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hassan yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, masih belum diketahui kerusi yang bakal ditandingi Khairy yang juga Menteri Kesihatan itu.

Kemungkinan Khairy akan terus diberikan kepercayaan untuk bertanding di peringkat Parlimen kerana rekod cemerlang beliau sebagai menteri kabinet.

Klik di sini untuk terus membaca