MAIN kutu bukan perkara asing bagi rakyat Malaysia khususnya wanita dan antara alasan yang biasa digunakan mereka yang menyertai sistem ini ialah tidak mampu untuk menyimpan wang bagi membeli sesuatu barang secara tunai.
Ada pelbagai jenis kutu antaranya bagi tujuan mendapatkan wang tunai, emas dan barangan yang berharga tinggi.
Bagaimanapun ramai tidak sedar sebenarnya individu yang menjalankan perniagaan berasaskan konsep kutu atau mempromosikan kutu boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda atau dipenjarakan.
Selain itu terdapat banyak laporan mengenai kisah ‘anak kutu’ yang ditipu oleh ‘ibu kutu’ dilaporkan melibatkan kerugian ribuan ringgit yang perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Ikuti laporan wartawan NURUL HUDA HUSAIN, AMNAN HIBRAHIM, MUHAMMAD KHAIRIL ASHRAF KHALID dan DIANA AZIS.
Individu yang menjalankan perniagaan berasaskan konsep kutu atau mempromosikan berkenaan kutu boleh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, pelanggaran undang-undang di bawah akta ini secara ringkasnya adalah main kutu yang bersifat komersial iaitu dengan adanya promosi, yuran kemasukan, penalti, dividen dan lain-lain.
"Di Malaysia memang kita ada akta yang spesifik tentang main kutu, bunyinya memang kelakar tetapi memang ada (akta). Perlu dijelaskan juga bahawa jika main kutu jenis kumpul duit secara tradisional iaitu yang tiada keuntungan dan hujungnya kita cuma dapat balik apa yang kita masukkan dalam tabung itu, ia tidak ada masalah (tidak langgar undang-undang).
"Tetapi jika sekiranya main kutu itu mempunyai yuran kemasukan, penalti, dividen dan sebagainya, ia dikategorikan salah dan mereka yang didapati bersalah berdepan dengan hukuman berat,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Muhammad Akram, secara asasnya undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengekang isu kutu yang masih berlarutan sehingga kini.
Bagaimanapun katanya, masih ramai yang masih menyertai perbuatan yang menyalahi undang-undang itu kerana ingin memperoleh keuntungan yang banyak dengan mudah.
"Jadi, mungkin pihak berkenaan boleh mempertimbangkan untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat bukan sahaja kepada penganjur tetapi mereka yang sertai permainan kutu ini,” katanya.
Muhammad Akram berkata, individu yang kehilangan duit akibat ditipu skim kutu komersial juga boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur untuk mendapatkan kembali wang yang dilabur.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, mereka hanya boleh menuntut kembali wang yang dilaburkan, bukan termasuk keuntungan.
Islam benarkan main kutu selagi tiada unsur riba, haram Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, skim menyimpan dan mengumpul wang dalam tempoh singkat atau lebih dikenali sebagai kutu dibenarkan dalam Islam selagi perbuatan itu tidak mengamalkan riba, kezaliman dan unsur-unsur haram.
Jelsnya, permainan kutu pada dasarnya adalah duit milik pemain yang terkumpul pada masa akan datang.
"Permainan kutu pada asasnya adalah berkongsi duit untuk bantu individu lain membeli atau mendapatkan sesuatu yang dihajati.
"Ada juga faedah lain antaranya dapat memudahkan urusan orang lain dengan memberi hutang, dapat meringankan beban seseorang bagi pembayaran atau kegunaan lain.
"Namun apa yang dikhuatiri, ada yang melanggar peraturan atau akad yang telah dipersetujui. Sepatutnya ada peraturan supaya tidak berlaku penyelewengan kerana ada yang tidak bayar selepas dapat duit kutu mengikut giliran,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, ditanya sama ada permainan kutu ditegah dalam Islam, Dr Abdul Rahman menjelaskan, perbuatan itu tidak salah di sisi agama namun perlu dielakkan apabila terdapat individu yang pecah amanah dengan melarikan wang kutu atau tidak bayar ansuran selepas mendapat wang terkumpul.
Justeru katanya, permainan kutu seharusnya diikuti dengan perjanjian bertulis dan dilengkapi peraturan lengkap bagi mengelakkan berlaku penipuan hingga menyebabkan pergaduhan dan hutang tidak berbayar.
"Perlu ada akad antara setiap ahli kumpulan supaya jelas bagi menjamin setiap individu tidak melakukan penyelewengan dan sebagainya.
"Dari segi syarak, permainan kutu adalah sebagai pinjaman tanpa faedah daripada semua ahli yang menyertai.
"Ia juga perlu dibayar setiap bulan hingga duit pinjaman itu kembali kepada setiap ahli apabila tiba giliran mengikut jumlah yang disepakati,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca