SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan golongan berpendapatan sederhana atau M40 tidak diabaikan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini dengan mewujudkan bantuan khas untuk kumpulan tersebut.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan memberikan faedah secara langsung kepada kumpulan yang sering dinafikan hak mereka itu.
Justeru beliau mencadangkan beberapa bantuan khusus untuk golongan yang mewakili 40 peratus penduduk di Malaysia itu, antaranya menurunkan kadar pelepasan cukai.
"Kalau boleh kita turunkan kadar cukai untuk golongan M40 yang berpendapatan antara RM4,000-RM8,000, maksudnya kalau sebelum ini mereka bayar lapan peratus, sekarang (dalam Bajet 2023) mereka bayar enam peratus. Potongan cukai dua peratus ini mungkin tidak kekal, kalau ekonomi pada tahun 2023 kembali pulih, mungkin kita boleh naikkan balik.
"Selain itu, saya syorkan juga supaya golongan ini turut diberikan diskaun untuk kad bulanan tambang bagi pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan sebagainya.
"Langkah ini juga sebenarnya menjadi serampang dua mata, selain bantu ringankan beban golongan M40, kita juga dapat kurangkan kesesakan di jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, antara bantuan lain yang boleh dipertimbangkan ialah turut memberikan bantuan dalam bentuk biasiswa kepada anak-anak golongan M40 yang melanjutkan pengajian di matrikulasi.
"Kita bukan mahukan mahukan bantuan sama rata, mungkin kerajaan boleh pertimbangkan bantuan yang saksama, contohnya kalau anak-anak B40, dapat bantuan sepenuhnya dan bagi anak M40 pula mungkin boleh diberikan separuh atau 50 peratus. Bantuan mengikut peringkat.
"Selain itu, kerajaan juga perlu pertimbangkan untuk memberikan insurans kesihatan atau keselamatan secara golongan ini. Kalau B40 dapat percuma, golongan ini pula mungkin perlu bayar separuh,” katanya.
Jelasnya, selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diangkat oleh kerajaan, adalah wajar untuk semua golongan diberikan perhatian dalam bajet penting ini termasuklah B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beri tumpuan PMKS bangkit semula - MEF
SHAH ALAM – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan memberi tumpuan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya bangkit semula.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan perlu menyediakan subsidi gaji tambahan seperti diperkenalkan pada tahun 2020 hingga 2022 dalam Bajet 2023 yang akan diumumkan pada 7 Oktober ini.
Selain itu, katanya, moratorium pinjaman sifar faedah juga perlu disediakan agar majikan dapat meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja mereka.
"Perniagaan juga memerlukan lebih banyak sokongan kewangan daripada kerajaan seperti pinjaman perniagaan yang lebih murah sebagai modal kerja untuk membina semula perniagaan.
"Insentif seperti cukai yang lebih rendah, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih rendah, modal tunai atau geran, sekali gus kepada perniagaan seperti kerajaan Sarawak berikan RM10,000 kepada semua perniagaan yang berdaftar di negeri itu.
"Lebih banyak bantuan untuk perniagaan diperlukan seperti subsidi sewa untuk premis milik kerajaan dan agensinya serta subsidi utiliti,” katanya.
Di samping itu, beliau turut meminta kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan pembangunan kemahiran dan sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui model pembelajaran yang diterajui industri termasuk menubuhkan majlis kemahiran khusus dan penggunaan program perantis oleh industri berkaitan.
Klik di sini untuk terus membaca