SHAH ALAM - Kerajaan dijangka bukan sahaja meneruskan inisiatif sedia ada termasuk bantuan tunai kepada golongan B40 dalam Bajet 2023, sebaliknya mungkin akan memperkenalkan inisiatif baharu serta menaikkan jumlah bantuan tunai untuk tahun hadapan.
Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini dijangka bakal menjadi bajet terbesar dalam sejarah demi memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan dalam aspek kebajikan rakyat di bawah inisiatif Keluarga Malaysia.
"Saya melihat Bajet 2023 akan menjadi bajet defisit dan yang terbesar dalam sejarah. Ini untuk memastikan kerajaan dapat menumpukan kepada kebajikan rakyat di bawah inisiatif Keluarga Malaysia.
"Ia juga akan menjadi bajet populis memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir. Oleh itu, banyak inisiatif sedia ada akan diteruskan dan ditambah dengan inisiatif baharu supaya tidak ada satu golongan pun dilupakan dalam bajet ini.
"Isu utama seperti kos sara hidup, gaji pekerja, peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji kompetitif, bantuan kepada golongan rentan, B40, miskin bandar, bumiputera akan dipertingkatkan dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang positif, harga komoditi yang kekal tinggi dan kemungkinan hasil tambahan daripada cukai makmur yang akan diteruskan ke tahun hadapan.
"Bantuan tunai seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dijangka dinaikkan tetapi saya lebih cenderung kalau ia berbentuk e-baucar untuk memastikan ia dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan yang sepatutnya, selain boleh digunakan untuk memantau barangan bersubsidi,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmed Razman berkata, bantuan tunai kepada golongan B40 masih perlu diberikan perhatian bagi merancakkan lagi ekonomi tempatan.
"BKM akan membantu meningkatkan aktiviti transaksi barangan dan perkhidmatan terutama di pasaran domestik. Sesetengah golongan seperti B40 masih lagi sukar untuk berdikari dan perlu dibantu tetapi bentuk bantuan harus lebih spesifik seperti e-baucar supaya tidak berlaku salah guna,” jelas beliau.
Pekebun harap kerajaan beri subsidi pengeluaran Sementara itu, Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands memohon kerajaan untuk mengembalikan semula pemberian subsidi pengeluaran kepada golongan pekebun kecil seperti yang pernah diberi pada tahun 2010.
Pengerusinya, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, pemberian subsidi bagi setiap tan pengeluaran sayur-sayuran mampu membantu golongan berkenaan menampung kos pengeluaran hasil tani pada ketika ini.
"Kami harapkan Bajet 2023 nanti ada berita baik kepada golongan pekebun kecil di Cameron Highlands dari segi pengeluaran, eksport dan import produk-produk pertanian. Bantuan kami dapat pada tahun 2010 bagi setiap tan sayur-sayuran atau bahan makanan yang keluar dari Cameron Highlands, dapat subsidi sebanyak RM80 per tan.
"Contohnya, hantar 300 tan kubis ke Selayang dalam sebulan, eksport mungkin 200 tan, jadi keseluruhan 500 tan, akan dapat hampir RM40,000,” ujarnya.
Selain pemberian subsidi, beliau berkata, golongan pekebun sayur turut berharap kerajaan dapat menangani isu kekurangan tenaga kerja dengan mempercepatkan kelulusan pengambilan pekerja warga asing dalam Bajet 2023.
Menurutnya, pengeluaran sayur-sayuran kebanyakan pekebun dan petani terjejas sehingga 40 peratus disebabkan kekurangan tenaga kerja sejak Covid-19 melanda dunia.
"Kalau boleh dalam Bajet 2023 nanti, petani yang menggunakan teknologi sistem pertanian berkomputer juga diberi pengecualian cukai sehingga 30 peratus atas perkakasan dan perisian agar operasi ladang lebih lestari dan mampan.
"Kami juga harap pengusaha ladang organik atau yang guna MyGlobalGap iaitu program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga diberi pengecualian cukai tambahan sebanyak 10 peratus,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca