KEPUTUSAN kerajaan Mesir pimpinan Presidennya, Abdul Fatah Al-Sisi membeli sebuah pesawat yang mempunyai empat buah enjin dan ikonik iaitu Boeing 747-8 buatan tahun 2011 untuk kegunaan pemimpin dan pegawai-pegawai kanan negara tersebut... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN kerajaan Mesir pimpinan Presidennya, Abdul Fatah Al-Sisi membeli sebuah pesawat yang mempunyai empat buah enjin dan ikonik iaitu Boeing 747-8 buatan tahun 2011 untuk kegunaan pemimpin dan pegawai-pegawai kanan negara tersebut telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan rakyatnya.

Sebelum ini, Kaherah sudah membuat keputusan untuk membeli pesawat berusia lebih 10 tahun yang dikenali sebagai 'ratu di langit' itu pada tahun 2020 tetapi hanya baru-baru ini ia menjadi perdebatan dalam kalangan pengkritik kerajaan negara tersebut.

Ia disebabkan oleh harga pembelian pesawat itu seperti laporan media yang terlalu tinggi dan ketika ini Mesir menghadapi masalah kemerosotan nilai mata wangnya selain negara tersebut dihimpit dengan krisis ekonomi.

Media di Timur Tengah mendakwa ia melibatkan kos sehingga AS$500 juta (RM2.25 bilion) atau hampir dengan harga tersebut dan pesawat berkenaan akan digunakan untuk menggantikan kapal terbang Airbus yang digunakan untuk membawa Presiden sejak 28 tahun lalu.

Pada tahun 2011, firma Boeing di Amerika Syarikat (AS) sedang membina sejumlah pesawat Boeing 747-8 untuk kegunaan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa dengan dilengkapi ciri-ciri teknologi yang baharu.

Bagaimanapun, firma Boeing itu memerlukan sebuah pesawat Boeing 747-8 untuk ujian penerbangan dan meminta sebuah pesawat Lufthansa daripada jenis tersebut bagi tujuan itu.

Terdapat satu lagi versi cerita bahawa Lufthansa telah bertindak membatalkan pembelian sebuah pesawat Boeing 747-8 itu.

Untuk terbang sebagai pesawat eksekutif, ia memerlukan beberapa pengubahsuaian dan menurut laman Simple Flying, kepal terbang itu telah dihantar ke Hamburg, Jerman untuk kerja-kerja hiasan dalaman oleh syarikat perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan serta baik pulih, Lufthansa Technik.

MEWAH

Seperti kapal terbang jenis itu yang digunakan untuk tujuan membawa tokoh-tokoh penting, pesawat berkenaan dijangka mempunyai hiasan dalaman mewah seperti Air Force One di AS iaitu kapal terbang rasmi untuk kegunaan Presiden negara tersebut.

Selepas kerja-kerja pengubahsuaian kabin dilakukan selama kira-kira sembilan bulan, pesawat Boeing 747-8 itu kemudiannya terbang dari Hamburg ke Shannon, Ireland baru-baru ini untuk dicat, mengikut laman FlightAware.

Pengulas politik Mesir, Hisham Kassem juga telah mendedahkan bahawa kerajaan Mesir telah menggantikan pesawat Airbus unutk kegunaan Presiden yang mula beroperasi 28 tahun lalu dengan Boeing 747-8i baharu yang dibeli pada tahun 2021.

Pesawat Boeing yang dibeli Mesir dihantar untuk dicat di Ireland baru-baru ini. - Foto Donal Morrissey/Twitter

Kassem juga mendedahkan dalam catatan di laman Facebook rasminya bahawa pesawat baharu itu dibeli dengan harga AS$487 juta (RM2.19 bilion).

Menurutnya, pembelian pesawat itu berlalu semasa Mesir berdepan risiko ingkar dalam pembayaran ansuran hutangnya.

Menurut angka rasmi, hutang luar negara Mesir menghampiri AS$158 bilion (RM711.08 bilion) pada akhir Mac lalu, berbanding AS$145.5 bilion (RM652.57 bilion) pada Disember 2021.

Namun, selepas harga yang terlalu tinggi itu didedahkan oleh media, Talaat Khalil iaitu Setiausaha Agung Parti Konservatif Mesir menyatakan bahawa kerajaan sudah mempunyai 24 buah pesawat dan pihak kerajaan boleh menggunakan salah sebuah daripadanya untuk kegunaan Presiden.

Khalil turut mengkritik kerajaan kerana membeli pesawat mewah pada masa yang sama mengadakan mesyuarat dengan lampu dimatikan untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa negara sedang menuju ke arah penjimatan.

KELIRU

Ia meninggalkan kesan buruk kepada rakyat selain membuat mereka keliru dan semua orang pula bertanya tentang punca menyebabkan Presiden membeli pesawat tersebut ekoran terdapat krisis ekonomi yang serius, kata Khalil seperti dilaporkan Middle East Eye baru-baru ini.

Mustafa al-Bakri iaitu seorang Ahli Parlimen dan penulis Mesir, menafikan kos pesawat baharu itu ialah AS$500 juta dengan menyatakan bahawa harganya yang sebenar tidak melebihi AS$240 juta (RM1.08 bilion) dan menambah kapal terbang Airbus untuk kegunaan Presiden akan menamatkan perkhidmatan pada tahun 2023.

Beliau berkata bahawa pesawat untuk kegunaan Presiden di mana-mana negara mengandungi cara yang membolehkan beliau dan pasukannya menguruskan hal ehwal tanah air masing-masing melalui cara teknologi canggih.

Presiden Mesir pada mulanya menolak harga AS$500 juta menyebabkan harganya turun kepada AS$240 juta dan pesawat itu diperoleh pada tahun 2020 iaitu sebelum krisis ekonomi berlaku.

Pembelian pesawat menambahkan lagi kritikan terhadap kepimpinan Al-Sisi tentang cara beliau mengendalikan ekonomi dan membelanjakan wang negara untuk projek pembinaan ibu kota baharu dan bukannya membina negara berkebajikan.

Al-Sisi kerap membuat komen yang tidak menyenangkan seperti meminta rakyatnya memakan daun ketika krisis ekonomi dan meminta penduduknya menurunkan berat badan bagi menjimatkan wang selepas harga buah-buahan dan sayur-sayuran melambung tinggi. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca