PEMENJARAAN Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan peluang untuk UMNO meninggalkan sejarah hitam berkaitan rasuah dan maju ke hadapan.
Malangnya, sesetengah pemimpin UMNO masih ghairah menyerang badan kehakiman demi membela Najib.
Jika itu berterusan, rakyat akan menyaksikan dua UMNO bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), satu yang menjunjung pengasingan kuasa dan satu lagi yang ingin kerajaan baharu campur tangan dalam kes rasuah.
Kewujudan dua kepala UMNO pasti akan mengelirukan dan menghampakan pengundi UMNO sehingga ada yang mungkin malas keluar mengundi.
Satu soalan mudah yang pasti timbul – adakah manifesto Barisan Nasional (BN) menjanjikan pembebasan Najib? Jika UMNO terus berkempen menekankan pembebasan Najib, maka tiada alasan ia tidak dimasukkan ke dalam manifestonya.
Akan tetapi, ia bukan sahaja menyalahkan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak campur tangan, lebih teruk lagi menjadikan PRU15 sebagai pungutan suara ke atas ‘kesucian’ Najib dan menggesa pengundi yang menolak Najib untuk memilih antara lebih kuat – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) seperti pengulangan PRU14.
Seruan Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros supaya UMNO tumpukan kepada memenangkan PRU15 adalah antara suara yang sedar.
Jika PRU15 diadakan November ini seperti dispekulasikan, bagaimana UMNO dapat mengelak kewujudan Najib yang bagaikan ‘gajah dalam bilik’? Manifesto BN tidak boleh berlagak seolah-olah kes-kes seperti 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan kapal tempur pesisir (LCS) semuanya tidak berlaku.
Apa pun serangan BN kepada kerajaan PH dan PN, kes skandal zaman BN tidak akan lenyap dalam sejarah atau ingatan rakyat, atau lebih ajaib lagi, dipakej semula sebagai kisah ‘syahid politik’, seolah-olah Najib itu sekelas dengan pejuang anti-apartheid, Nelson Mandela.
Cara lebih bijak untuk UMNO berputus dengan era hitamnya adalah mengenal pasti kepincangan sistem politik dan memberikan penawarnya.
Teladan yang boleh diambil UMNO adalah sokongan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang pernah didakwa kerana menerima RM2 juta daripada Najib.
Beliau melihat dirinya sebagai ‘mangsa’ ketiadaan sebuah Akta Pendanaan Politik dan menyokong kuat seruan kumpulan masyarakat sivil seperti Bersih dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) untuk penggubalannya.
Bagaimanapun, Akta Pendanaan Politik tidak cukup untuk UMNO melepaskan diri daripada mimpi ngeri 1MDB.
Selain ketamakan Najib dan Jho Low, skandal 1MDB disebabkan ketiadaan dana awam untuk digunakan BN bagi membiayai operasinya pada PRU14.
Penawar dan jaminan tidak berulang 1MDB yang perlu ditawarkan oleh UMNO ialah pendanaan wang awam kepada semua parti berasaskan peratusan undi.
Dengan itu, semakin banyak undi dimenangi UMNO, semakin banyak dana awam yang diberikan kepada UMNO dalam tahun-tahun kemudiannya sehingga PRU baharu.
Rang Undang-Undang Pendanaan Politik yang dipelopori oleh IDEAS, Majlis Peguam, Bersih dan kumpulan masyarakat sivil lain mencadangkan cuma RM120 juta setahun bagi semua parti yang memenangi sekurang-kurangnya dua peratus undi di Semenanjung, Sabah atau Sarawak.
Jika BN boleh memenangi 40 peratus undi, maka ia boleh mendapat lebih kurang RM240 juta untuk lima tahun berikutnya.
Ia sudah tentu terlalu sedikit berbanding dengan wang haram 1MDB tetapi masih ada yang menolaknya sama sekali.
Kalau ingin putus dengan skandal 1MDB, UMNO perlu pastikan pendanaan awam satu pencapaiannya, bukan janji dalam manifesto BN untuk PRU15.
* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca