SAMBIL kita meneliti pelbagai masalah yang mendepani rakyat, ada ketikanya elok juga kita melihat pusaka bangsa dan kekayaan akal budi nenek moyang kita yang semakin terhakis serta hilang ditelan zaman. Suatu ketika dahulu saya pernah... Klik di sini untuk terus membaca

SAMBIL kita meneliti pelbagai masalah yang mendepani rakyat, ada ketikanya elok juga kita melihat pusaka bangsa dan kekayaan akal budi nenek moyang kita yang semakin terhakis serta hilang ditelan zaman.

Suatu ketika dahulu saya pernah mengikuti usaha mengkaji rumah kampung Melayu yang diketuai oleh Datuk Seri Lim Chong Keat, seorang arkitek terkenal yang ingin mendidik arkitek-arkitek muda di firma beliau mengenali kebijakan dalam pembinaan rumah kampung yang beliau sebut sebagai vernacular architecture.

Uniknya, rumah-rumah kampung dahulu dibina oleh orang yang tidak pernah mengikuti kuliah di Fakulti Jurubina mana-mana universiti di dunia tetapi mampu menghasilkan rumah yang berfungsi dan menepati keperluan alam.

Jika kita teliti reka bentuk rumah kampung dahulu, ia dibina di atas tiang dengan lantai disusun sedikit berjarak bagi membolehkan angin masuk daripada bawah rumah. Begitu juga bumbung tinggi dengan jerjak yang membolehkan angin masuk dan berkitar serta mampu menyejukkan rumah.

Rumah dahulu tiada kipas angin, jauh sekali pendingin hawa, namun kalau mereka yang pernah berpengalaman tinggal di rumah kampung, pasti mereka tahu rumah vernakular itu tidak sepanas rumah moden dibina oleh jurubina hari ini yang memerlukan dipasang kipas angin dan pendingin hawa.

Pengamatan kita kepada seni bina tradisional memberi kita kefahaman bahawa dunia Melayu sudah ada khazanah kebijakan dalam kalangan orang Melayu untuk menyesuaikan reka bentuk dengan iklim tropika.

Maknanya, sebelum kedatangan pengaruh asing dan kemodenan, orang Melayu sudah hidup dengan mengenali serta menghormati alam sekelilingnya.

Rumah-rumah pada waktu itu dibina antara pokok-pokok yang membantu memberi keteduhan.

Saya juga pada waktu itu sempat belajar bagaimana bumbung rumah dahulu dibina dengan cara yang membolehkan rumah itu mudah diperbesarkan terutama apabila keluarga bertambah.

Menggunakan reka bentuk sedia ada ketika itu, ia dapat dibuat dengan mudah. Kebijaksanaan itu sepatutnya dipupuk dan disemai supaya kita tidak hilang pusaka warisan datuk nenek moyang kita ini.

Bercakap tentang kesenian, baru-baru ini saya diperkenalkan oleh seorang sahabat dengan seorang pengumpul tekstil yang menyimpan 1,001 kisah mengenai dunia tekstil Melayu.

John Ang, bukan Melayu. Bukan juga rakyat Malaysia tetapi pemahaman beliau yang cukup mendalam mengenai sejarah dan budaya Melayu telah beliau terjemahkan melalui koleksi peribadinya yang sedang dipamerkan di bawah tajuk Splendours of Malay Textiles di Galeri Ken, Wisma Ken di ibu negara.

Begitu banyak ilmu beliau kongsi, daripada konsep ‘elok’ dalam budaya Melayu kepada ‘cara Melayu’ hinggalah kepada konsep ‘homogeneity’ dan penjelasan beliau mengenai 12 kategori tekstil Melayu.

Kita mungkin lebih terdedah kepada kategori songket dan batik sahaja. Namun John berjaya mengumpul sebagai bukti bagaimana dunia Melayu juga mempunyai kepelbagaian dalam tekstil.

Mungkin ramai lupa bahawa kita juga mewarisi kain telepuk, tekatan, tenunan, anyaman dan banyak lagi. Semua itu dipamerkan sebagai usaha beliau untuk mendidik agar timbul kesedaran terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri tentang kekayaan pusaka bangsa kita.

Paling menarik apabila John menerangkan mengenai konsep ‘elok’ yang beliau gambarkan bagaimana orang Melayu mempunyai kehalusan budaya tinggi – setiap busana dikenakan itu mempunyai kesempurnaan sangat indah.

Semuanya tersusun rapi. Setiap rekaan busana dikenakan dengan tekstil tertentu dipadankan kelengkapan perhiasan dan adab yang beliau jelaskan sebagai ‘cara Melayu’.

Cara Melayu dan konsep elok itu jika kita lihat hari ini sudah lama dilupakan.

Semuanya ingin diringkaskan. Kalau lelaki berbaju Melayu, ada yang hanya pakai bajunya. Ada tanpa bersamping dan trend terkini, berbaju Melayu dengan samping tanpa bersongkok. Moden kata mereka.

Mereka lupa konsep ‘elok’ atau refinement dengan cara Melayu itu perlu dihormati kerana itulah mencerminkan keluhuran akal budi budaya Melayu. Songkok atau tengkolok adalah sebahagian daripada busana dan pelengkap kepada keelokan budi Melayu.

Budaya warisan kita ini perlu dijaga dan dihormati supaya tidak hilang ditelan zaman. Semoga anak cucu kita terus megah mewarisi pusaka bangsa ini.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca