SHAH ALAM - Saranan supaya tidak mendedahkan aib keluarga dalam isu penderaan seksual kanak-kanak umpama satu tindakan melindungi pemangsa.
Pengasas Monsters Among Us, Firzana Redzuan berkata, isu penderaan seksual kanak-kanak adalah satu isu jenayah besar dan bukan hanya berkisar mengenai aib keluarga sahaja.
Menurutnya, pihak terlibat seharusnya memberikan perhatian khusus kepada mangsa yang menghadapi situasi tersebut agar mereka mendapat bantuan sewajarnya dan tidak terus berada dalam keadaan trauma.
"Isu penderaan seksual kanak-kanak adalah satu isu jenayah, isu kesihatan awam dan pencabulan hak seorang kanak-kanak. Ia bukan isu malu keluarga dan isu ini adalah berskala besar yang mana perhatian perlu diberikan kepada mangsa.
"Apakah bahaya saranan tidak wajar membuka aib keluarga atau pemangsa? Bahayanya ialah mangsa akan percaya bahawa jenayah yang berlaku kepada diri mereka sepatutnya berlaku kerana apabila mereka bersuara, mereka disalahkan.
"Kemudian, ia juga memberi mesej kepada mangsa bahawa hak mereka untuk menyuarakan keganasan itu tidak layak didengar dan dilindugi. Ketiga, paling saya sensitif adalah kalau kita katakan buka aib keluarga, maknanya kita hanya melindungi golongan pemangsa dan bukan mangsa.
"Adakah kita mahu masyarakat berada dalam mentaliti di mana kita kena jaga aib pemangsa, kena jaga aib bapa dan sebagainya. Sepatutnya kita dengar apa yang mangsa mahu cakap dan beri bantuan yang sewajarnya," katanya dalam program Sinar Live bertajuk 'Monster' Dalam Rumah pada Khamis.
Monster Among Us adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memerangi penderaan seksual kanak-kanak melalui advokasi dan penglibatan masyarakat.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan cara seorang pelakon remaja mendedahkan sikap buruk dan aib bapa kandungnya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya dalam sebuah program di YouTube baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan pendidikan seksual dapat diajar lebih awal kepada kanak-kanak agar mereka mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku gangguan seksual ke atas diri mereka.
"Kanak-kanak perlu membiasakan diri tentang sentuhan selamat atau sentuhan tidak selamat. Contohnya, saya (kanak-kanak) boleh mempercayai ahli keluarga saya, tetapi jika mereka sendiri tidak menghormati badan saya, maka saya boleh ambil tindakan.
"Semua perkara ini diajar dalam pendidikan seksual. Malangnya, rakyat Malaysia masih takut dan masih susah untuk menerima bahawa pendidikan seksual ini adalah hak kanak-kanak agar mereka mendapat info untuk melindungi diri mereka," jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca