KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) pada Isnin lalu mengeluarkan senarai amaran entiti yang melanggar Akta Industri Pelancongan 1992.
Sebanyak 197 entiti yang disenaraikan itu dikesan tidak mempunyai lesen dengan kementerian tersebut dan mempromosikan pakej pelancongan di media sosial.
Motac yang berkongsi senarai itu di Facebook telah mendapat pelbagai reaksi netizen.
Mereka turut berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan ejen pelancongan.
Pada masa sama, Motac turut menasihati orang ramai berhati-hati memilih syarikat pelancongan dengan melakukan semakan status lesen di laman web agensi berkenaan.
KES 1
Seorang kontraktor di Shah Alam, Selangor mengalami kerugian hampir RM18,700 selepas duit dibayar kepada ejen di Malaysia untuk menguruskan perjalanan ke Beijing, China didakwa tidak diterima oleh pengusaha pelancongan di negara itu.
Hayati Md Said, 51, berkata, dalam kejadian lima tahun lalu, tiada seorang ejen pun tampil menyambutnya bersama enam orang anaknya di lapangan terbang di ibu kota China itu walaupun telah membuat pembayaran penuh semasa di Malaysia.
"Tiba di sana, dia kata nanti ejen tunggu tetapi bila sampai, tiada ejen pun sambut dengan nama kami.
Hayati berkata, pembayaran yang telah dibuatnya itu merangkumi kos perjalanan selama lima hari empat malam bersama keluarga termasuk lawatan ke tempat tumpuan.
"Namun, disebabkan tak ada langsung ejen yang tunggu, saya terpaksa keluarkan belanja sendiri sepanjang tempoh berada di sana kerana tiket penerbangan memang kita dah beli sendiri,” ujarnya.
Jelas Hayati lagi, ketika mahu membuat pembayaran kepada ejen di Malaysia, beliau telah datang sendiri ke pejabat pengusaha pelancongan berkenaan bagi memastikan syarikat itu benar-benar wujud.
"Bila nak bayar penuh, memang saya pergi sendiri ke pejabat ejen ini dan nampak okey sahaja,” katanya.
Namun, dia mula rasa tidak sedap hati selepas ejen tersebut terpaksa didesak untuk menyelesaikan urusan visa mereka sekeluarga.
"Kesemua visa hanya diperoleh pada malam sebelum kami berangkat ke Beijing.
"Cubaan kami untuk menghubungi ejen itu selepas kembali ke Malaysia gagal, malah pejabatnya juga telah dikosongkan. Kami telah buat laporan polis tetapi sehingga kini tiada perkembangan,” katanya yang mengetahui mengenai perkhidmatan ejen tersebut melalui carian di internet.
KES 2
Tertarik pakej penginapan separuh harga
Tarikan pakej menarik separuh harga untuk penginapan di resort mewah berbanding kadar biasa menyebabkan Nor Azian Ibrahim, 35, dan keluarganya menjadi mangsa penipuan kepada syarikat pengusaha pelancongan tidak berdaftar.
Suri rumah dari Puchong, Selangor itu mengakui tidak mempunyai sebarang ke-raguan terhadap syarikat tersebut kerana pernah membeli pakej serupa ditawarkan pada penghujung 2019.
"Saya menempah pakej tersebut pada 2020 dan sepatutnya menginap di resort berkenaan pada Mac tahun itu.
"Tapi sebab pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat itu maklumkan tempahan boleh dilanjutkan sehingga aktiviti pelancongan dibenarkan semula.
Menurut Nor Azian, dia kemudiannya menghubungi lagi syarikat berkenaan kerana dimaklumkan ada kekosongan pada Januari lalu untuk mendapatkan tarikh baharu tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.
Tambah ibu kepada dua anak itu, dia dan keluarga telah membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk dua tempahan pakej penginapan, masing-masing pada tarikh berlainan.
"Saya tahu mengenai tawaran pakej pelancongan ini melalui iklan mereka yang banyak dipaparkan di sosial media.
"Masa itu ada juga pantau di Facebook tapi tak jumpa pula ulasan negatif mengenai perkhidmatan syarikat ini, yang ada banyak adalah pakej yang ditawarkan,” ujar Nor Azian.
KES 3
Syarikat pelancongan beri alasan ditipu
Seorang pegawai farmasi dari Ipoh, Perak terpaksa berputih mata menanggung kerugian selepas syarikat pengusaha pelancongan gagal memulangkan kembali pembayaran penuh yang dibuatnya untuk penginapan bilik di sebuah hotel ternama di Pulau Pinang.
Aliff Haikal Alias, 32, berkata, wakil pengusaha pelancongan tersebut memaklumkan kepadanya tempahan itu tidak dapat ditunaikan kerana syarikat berkenaan telah ditipu oleh sebuah lagi syarikat pelancongan lain.
"Saya pelik sebab sepatutnya syarikat itu yang perlu berurusan terus dengan hotel berkenaan, bukan guna orang tengah,” katanya.
Aliff berkata, susulan itu, syarikat pelancongan tersebut berjanji akan memulangkan semula wang berjumlah RM750 tetapi sehingga kini masih tidak berbuat demikian.
Dia menjelaskan bayaran penuh semasa membuat tempahan untuk penginapan sebuah bilik hotel seawal Jun tahun itu kerana wakil syarikat tersebut memaklumkan ia sebahagian syarat promosi yang ditawarkan.
Jelasnya lagi, cubaan untuk membuat aduan kepada tribunal juga tidak berjaya kerana syarikat berkenaan yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, tidak memberikan sebarang respons terhadap aduan tersebut.
"Pegawai tribunal pun ada beritahu banyak kes serupa seperti saya dan setakat ini semuanya tidak dapat tuntut kembali wang yang telah dibayar,” ujarnya yang memaklumkan urusan tempahan itu dilakukan dengan seorang wakil jualan syarikat berkenaan yang merupakan seorang rakan kepada rakan isterinya.
KES 4
Bahana terlampau percaya pempengaruh sosial media
Lebih 200 pelanggan sebuah syarikat pelancongan tempatan dianggarkan mengalami kerugian lebih RM300,000 selepas pemiliknya yang juga seorang pempengaruh terkenal di sosial media menghilangkan diri sejak Mei lalu.
Sharianiemyza Sharaan, 34, ejen sambilan bagi syarikat berkenaan yang menguruskan urusan tempahan pelanggan mengakui tidak menyangka individu itu membuat tindakan tersebut kerana tiada masalah besar timbul sejak beliau terlibat bersama syarikat itu pada 2017.
Menurutnya, status syarikat itu yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) juga hanya diketahui selepas pemilik syarikat berkenaan menghilangkan diri.
"Mula-mula terlibat, saya tak terfikir nak periksa sama ada dia berdaftar atau tidak sebab pemiliknya agak terkenal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Sharianiemyza, beliau telah membuat laporan polis dan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.
Klik di sini untuk terus membaca