AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim dikatakan antara pemimpin yang mengingatkan ketua-ketua UMNO bahagian bahawa tindakan salah menangani isu Datuk Seri Najib Tun Razak akan merugikan parti itu untuk jangka panjang.... Klik di sini untuk terus membaca

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim dikatakan antara pemimpin yang mengingatkan ketua-ketua UMNO bahagian bahawa tindakan salah menangani isu Datuk Seri Najib Tun Razak akan merugikan parti itu untuk jangka panjang.

Pada masa sama, beliau menekankan perlunya kesaksamaan dan perbicaraan yang adil buat bekas Perdana Menteri keenam itu, selain memberikannya peluang membersihkan nama dan legasi Tun Abdul Razak Hussein.

Razali yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut berkongsi hala tuju politik dan harapan besarnya terhadap masa depan Malaysia.

Banyak lagi yang dirungkainya dalam program Bersama Johan Jaaffar, termasuk peranan baharunya dalam Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Ikuti perkongsian beliau bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

JOHAN: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dijatuhi hukuman penjara dan ia adalah satu sejarah bagi UMNO yang tidak pernah lagi berlaku sebelum ini. Apakah Datuk Seri menerima keputusan ini?

RAZALI: Keputusan mahkamah memang tidak boleh dipertikaikan. Ada dua benda besar iaitu ‘subjudice’ dan ‘contempt of court’, kita dah melalui semua. Keputusan itu tidak ada orang boleh pertikaikan cumanya sekarang kita dengar ‘judicial review’ dan pengampunan. Tetapi, sebelum keputusan dibuat, usaha mesti dilaksanakan. Mencari peguam terbaik, satu usaha. Mencari bukti-bukti baharu juga satu usaha. Kita tak kena dakwa, bolehlah kita kutuk menggunakan platform media sosial ini tetapi apa yang berlaku ini bukan perkara main-main, bukan seronok-seronok. Meraikan, pada saya jauh sekali.

Razali

Dalam satu pertemuan ketua-ketua bahagian, Datuk Seri dilaporkan adalah salah satu suara kewarasan yang mengingatkan pimpinan UMNO bahawa sebarang tindakan yang bertentangan dengan perundangan atau hal yang tidak sepatutnya dilakukan. Ia bagi menjaga nama baik UMNO dan untuk parti bergerak ke depan. Apa sebenarnya yang berlaku?

Saya sebenarnya tak baca laporan itu pada peringkat awal tapi saya dapat banyak WhatsApp, SMS puji, berterima kasih dan mengucapkan tahniah. Saya tak tahu sumber yang dimaksudkan, cuma saya nak kata, dalam tu (pertemuan) tiada seorang pun ketua bahagian yang bangkitkan dan minta Perdana Menteri menggunakan kuasa dan mencampuri urusan mahkamah.

Sebenarnya, laporan itu tak berapa betul dari segi seolah-olah pemimpin UMNO ini bodoh-bodoh belaka. Tak ada seorang pun ketua bahagian yang membangkitkan soal tersebut. Cumanya kita membangkitkan dan berbincang soal bagaimana untuk ‘adress’ isu itu.

Apa yang boleh saya simpulkan, kita berkumpul ‘last minute’ sebab ada satu notis yang mana ada satu kumpulan yang mendesak, kita perlu lakukan sesuatu.

Maksudnya, ada yang datang kerana Datuk Seri Najib, ada yang datang kerana undang-undang. Yang boleh saya simpulkan, kita berkumpul atas tiga sebab. Tiga sebab ini tak boleh berjalan satu-satu tapi kena serentak. Pertama, ‘rule of law’, semua kita setuju.

Saya rasa, beliau juga tak mahu dibebaskan secara ‘handicap’ sebab jika dibebaskan dengan cara salah guna kuasa ini, beliau tak dapat bersihkan namanya. Beliau rasa tak dapat peluang untuk itu.

Sebab itu tiada orang UMNO yang merusuh di jalan raya, merosakkan harta benda awam. Cuma, laporan itu memberikan sedikit kelebihan kepada saya. Saya boleh katakan laporan itu tidak tepat dan tidak sebegitu rupa.

Ya, memang kita bincang kesan jika ia dibenarkan berlaku. Tapi tiada seorang pun yang minta Perdana Menteri campur tangan urusan mahkamah. Kita faham keadaan itu.

Ada bahan-bahan bukti yang dibawa ke peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, itu memang jelas tidak dipertikaikan. Kenapa apabila sampai ke peringkat terakhir itu baharu dipertikaikan sebegitu sekali?

Dua contoh yang saya nak bagi. Andai kata ada satu orang bersalah, dibawa ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Dan yang tertuduh ini berdepan hukuman gantung. Adakah mahkamah tidak mahu mendengar maklumat baharu.

Adakah mahkamah tidak mahu peguam yang minta ditukar itu minta ditangguhkan? Kerana apa juga keputusan yang Mahkamah Persekutuan buat nanti, yang tertuduh akan digantung. Jadi daripada segi keadilan, kita kena tengok semua sebelum gantung orang ini. Hukuman itu hukuman.

Razali (kanan) ketika ditemu bual Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. - Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB

Tetapi kesaksamaan atau ujian untuk perbicaraan yang adil itu sama. Tidakkah kita berani gantung orang tanpa beri peluang untuk mereka bela diri, atas apa jua alasan? Nombor dua, perbicaraan yang adil.

Satu orang membuat kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak, merogol dan lain-lain. Dia didakwa di mahkamah. Dia tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Tengah bicara itu, datang satu orang mengaku dia melakukan jenayah tersebut. Adakah mahkamah membebaskan orang yang dituduh dan mengambil pengakuan orang ini? Tidak. Mahkamah akan tanya 'adakah awak ada di tempat kejadian? Senjata apa yang diguna?'. Itu adalah ujian kepada perbicaraan yang adil.

Selama empat tahun Najib telah melalui proses ini. Apa yang berlaku pada peringkat terakhir adalah perubahan daripada segi peguam bela dan sebagainya. Bukankah beliau telah diberikan kesempatan atau peluang untuk sekian lama membuktikannya?

Kita tidak mempersoalkan hukuman yang telah dijatuhkan tetapi usaha sebelum itu yang kita buat. Kita buat daripada awal, tetapi kita tidak nampak orang berkumpul di luar mahkamah sebab Najib sendiri tidak bagi kita pergi. Dia (Najib) kata tak payah, dia nak lawan.

Sebab itu semasa perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian, sebahagian mereka meminta umpama 'saya nak tukar Peguam Diraja sebab dia tidak pandai berbahasa Melayu' atau ada bukti-bukti baharu. Ada ketua-ketua bahagian yang tidak terlibat atau tidak tahu, cuma beliau (Najib) minta yang terakhir ini.

Malahan kita ditanya kenapa tukar barisan peguam yang baharu? Sebab kita dengan dakwaan bahawa ini ada adalah taktik penangguhan. Itu bukan. Datuk Seri Najib mencuba pelbagai jalan dan sampai hari ini beliau ada di dalam penjara pun, negara kita masih aman dan menghormati undang-undang.

Satu perkara yang saya nak bangkitkan ialah bahawa bukankah ini kesempatan yang baik bagi UMNO untuk 'move on' (berhijrah) menggerakkan parti ke satu peringkat yang lain?

Saya rasa UMNO sudah berubah kepimpinan dari dulu, sama ada meninggal dunia atau peralihan kuasa. Dan ini pun saya rasa, orang masih lagi bercakap, Najib akan kembali semula atau tidak boleh sokong UMNO sebab Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada.

Kadang-kadang, saya berasa agak pelik. Najib sudah ada di dalam penjara, sudah tentu tidak akan ada peluang. Ahmad Zahid kalau nak jadi Perdana Menteri, dia tidak akan beri jawatan itu pada Datuk Seri Ismail Sabri. Maknanya, ke depan pun kita akan lihat satu perubahan.

Perubahan kepada kepimpinan ini UMNO dah buat lama. Saya tidak malu untuk mengaku perkara tersebut. Insya-ALLAH kalau Parlimen dibubarkan, diadakan pilihan raya, kita akan dapat lihat perubahan itu akan terus berlaku.

Kalau lihat sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlaku di Melaka dan Johor nampaknya ada tanda-tanda pengundi kembali kepada BN. Bukankah itu petanda pengundi mahukan UMNO yang baharu dan lebih segar seperti mana yang disebut oleh Datuk Seri?

Saya setuju, cuma saya tidak mahu sedapkan hati saya bahawa itu akan terus berlaku sebab politik berubah setiap saat dan hari. Dahulu pernah satu masa darurat dilaksanakan, semua orang tengah marah.

Ada parti kalau bertanding waktu itu, memang jalan (teruskan). Cuma UMNO kena bijak memikirkan peluang yang tersedia itu sesuai atau tidak. PRU15 kita tidak tahu bila akan buat. Mungkin kalau ikut penggal penuh, sehingga tahun depan.

Katakan kalau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat selepas daripada PRN Melaka dan Johor. BN boleh menang besar?

Saya setuju. Saya pernah mencadangkan waktu pertukaran Perdana Menteri sebelum Datuk Seri Ismail Sabri secara dalaman. Saya kata, bila kita nak beri pada Sarawak? Kenapa saya cadangkan hal itu? Kerana pada saya ketika itu menjadi Perdana Menteri bukan yang paling mustahak, solidariti dalam kalangan kita ini yang mustahak.

Saya juga percaya kepimpinan ada di Sarawak. Nak beritahu bahawa UMNO tidak kejar pada kuasa. Kedua, kita tahu kita nak bubar Parlimen ini dari hari pertama lagi waktu sebelum Covid-19. Waktu Langkah Sheraton.

Majlis Kerja Tertinggi (UMNO) bincang untuk jumpa Yang di-Pertuan Agong untuk bubar. Tetapi kita hormati pandemik Covid-19 yang baharu nak mula. Tetapi yang terakhir ini, saya cadangkan beri pada Sarawak kerana mandat rakyat perlu dipulangkan. Kita perlu buat kerja atas mandat rakyat.

Katakan UMNO kembali dalam PRU15, sekarang ada dalam 48 kerusi. Jika dapat 60 kerusi pun masih tidak dapat memerintah dan memerlukan gabungan tetapi nampaknya ada penolakan daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Apakah komen Datuk Seri?

Tidak ada orang jangka kita boleh kalah begitu sekali pada PRU14. Saya tidak mahu terlibat dalam keadaan itu. Tetapi saya setuju. Puncanya bila parti-parti Sarawak keluar BN dan saya masih berharap jumlah yang disebut itu kalau campur dengan parti Sarawak, kita boleh bina kerajaan tetapi keyakinan kepada rakyat dan pengundi untuk raih kembali kemenangan saya rasa masih ada. Ada banyak cara. Ada cara kotor atau ada cara yang lebih tertib dan tersusun namun pada saya ini adalah kesan 2018.

Kita terjerumus menjadi salah satu negara yang mungkin ada Parlimen tergantung sebab perebutan kuasa dalam politik ini terlalu meluas sehingga kadang-kadang saya malu nak dikaitkan kerana itu bukan niat kita dari awal.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang mungkin akan ada kumpulan pakatan. Sebab itu kita cadangkan Akta Lompat Parti supaya tidak ada orang jual beli jawatan yang akhirnya merugikan masa depan negara yang penuh dengan potensi.

Persepsi orang bahawa UMNO adalah parti kaya, pemimpin korup dan sebagainya. Apa komen Datuk Seri?

Persepsi ini dibina dari dulu dan saya tidak mahu pertahankan. Pada saya, kalau ada orang buat salah, tangkap. Tetapi saya tidak malu mengatakan bahawa UMMO lahir untuk membangunkan negara ini dan menjadikan orang kita lebih berjaya. Salah satu tanda berjaya itu kaya. Tidak semestinya kaya itu bahagia.

Pada saya, budaya ini dibuat sebab nak meraih undi. Parti yang memimpin 22 bulan, kalau saya sebut pun banyak. Apa yang mereka buat, berapa orang yang menjadi kaya? Tetapi mereka tuduh UMNO sebagai perasuah.

Razali (kanan) ketika ditemu bual Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. - Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB

Datuk Seri sudah berusia 52 tahun, ke mana Datuk Seri akan pergi selepas ini?

Saya akan tetap ada di sini tetapi dari segi politik. Dari saya mula pun, saya ada di masa dan tempat yang betul. Saya jadi pemimpin pelajar dan saya cuma nak membantu orang sahaja. Kebetulan pada 2014 itu, ada jawatan dan saya diberi peluang.

Saya tidak pernah rancang untuk jadi ahli Parlimen. Hari ini saya tidak menjadi ahli Parlimen dan saya reda, tidak ada masalah. Saya berdoa, minta petunjuk yang terbaik rupanya yang terbaik untuk saya tuhan bagi kalah.

Saya tidak ada jawatan tetapi saya boleh bawa 20 projek yang orang kampung nak bernilai lebih kurang RM8 juta. Saya pergi Pejabat Daerah dan kita cuba bantu sehingga berjumpa menteri. Adakah perlu menjadi seorang wakil rakyat untuk membantu rakyat? Tidak semestinya.

Apakah harapan Datuk Seri untuk masa depan Malaysia?

Malaysia ada banyak potensi dan jauh lebih baik kepada orang muda. Zaman kita dahulu nak cari maklumat itu susah. Kadang kalau baca surat layang pun kita mudah percaya. Hari ini, maklumat senang dapat tetapi kenapa susah nak periksa maklumat itu sama ada betul atau salah? Ada beberapa perkara yang menjadi hambatan kepada negara ini.

Sesiapa pun selepas ini menjadi pemimpin dan tidak utarakan isu ini, kita akan jadi lambat. Malaysia akan lambat untuk pergi ke depan. Kalau ini dapat diselesaikan oleh orang muda, Insya-ALLAH akan cepat sampai.

Ini semua boleh kita kembalikan kerana Malaysia ada potensi dengan syarat, perkara-perkara yang kita lengahkan, kita kena tolak tepi. Bina negara, tidak boleh cerita soal hati dan perasaan supaya Malaysia ini kembali dihormati dan saya percaya, kita boleh buat.

Datuk Seri dilantik Pengerusi MyIPO pada 15 Mac 2022. MyIPO sudah wujud sejak tahun 2003 tapi tak ramai yang tahu tentangnya. Apa sebenarnya peranan utama badan berkanun ini?

Saya dihubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerima jawatan ini sebab ia sudah kosong selama enam bulan bila pengerusi sebelum ini dilantik menjadi timbalan menteri. Saya setuju sebab saya ada latar belakang undang-undang. Sebelum ini ada juga rakan-rakan menteri minta saya duduk di agensi tapi saya tak terima sebab pada waktu itu perkataan ‘scheme of things’ tu banyak sangat.

Saya tak nak terlibat dalam keadaan, seolah-olah dibeli. Tapi bila PM berkata pemilihan disebabkan latar belakang undang-undang saya dan jawatan ini sudah lama kosong, saya setuju.

Kita berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), yang mana nilai kepada harta intelek ini sangat besar tapi ia tidak dapat dinilai sebagaimana aset atau harta yang biasa di dunia. Tetapi di bawah MyIPO, kita tahu bahawa nilai harta intelek ini sangat besar dan bagaimana kita dapat membina pemahaman dan penyertaan daripada syarikat, karyawan serta ciptaan-ciptaan dalam negara untuk dilindungi. Itu tugas MyIPO.

Kita ada beberapa akta berkaitan IP, khususnya Akta Perundangan Harta Intelek yang di dalamnya merangkumi Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hakcipta 1987 dan lain-lain tapi dalam kalangan rakyat, isu IP atau harta intelek ini banyak didebatkan, kenapa?

Kita ambil contoh tentang tanda dagangan atau paten. Apa yang perlu dibuat adalah beritahu kepada mereka yang terlibat dalam industri perniagaan dan penciptaan. Ini bukan isu melibatkan syarikat besar sahaja tapi syarikat kecil juga perlu diberikan pendedahan tentang pentingnya mendaftarkan hasil atau harta mereka.

Contohnya, orang beli kereta perlu ambil insurans. Orang yang bayar kereta itu (institusi kewangan) yang minta ambil insurans sebab mereka nak melindungi duit, bukan kereta tu. Insurans patut dimiliki oleh semua, sama juga dengan IP ini.

Bila buat filem, terus daftar. Buat penulisan, mesti daftar. Jadi, kalau semua ada budaya ini, maka akan ada banyak faedah dari segi ekonomi dan penggunaan IP dalam kehidupan kita termasuk kepada pengguna dan pengeluar.

Secara mudahnya, kesedaran orang kita sangat rendah. Jangan terkejut kalau suatu hari nanti, barang itu menjadi bernilai tinggi tetapi barang itu menjadi milik orang lain. Tapi saya lihat di universiti, pensyarah dan pelajar yang membuat penulisan ilmiah, mereka biasa dengan IP. Jumlah mereka yang datang ke MyIPO sangat tinggi, maknanya kesedaran dalam kalangan warga universiti berada dalam keadaan jauh lebih baik.

Kalau kita buat perbezaan antara mendiang Elvis Presley dengan P Ramlee – estet Elvis kaya raya, tapi anak cucu Allahyarham P Ramlee tidak dapat mengecap nikmat hasil kreativiti beliau. Apa masalahnya?

Ini pun soalan yang biasa kita terima. MyIPO adalah satu agensi atau perbadanan yang akan memberi atau menjadi pihak berwajib yang menentukan hak kepunyaan.

Kedua, sesiapa yang memiliki hak ini, perlu tanya apa hak-hak mereka. MyIPO tidak mengambil tindakan kepada perlanggaran hak dan tidak terlibat dalam menentukan berapa harga. Jadi, pemilik itu kalau tahu ada hak mereka yang digunakan orang lain, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan.

Pelaporan itu tidaklah kepada MyIPO tetapi kepada agensi berkaitan dan berpandukan akta-akta dalam negara kita yang melibatkan perlanggaran tersebut.

Terakhir sekali, berkenaan royalti ini perlu juga dipersetujui, contohnya antara penerbit dan tuan punya filem itu. Selagi pemahaman dan struktur ini tidak diletakkan dengan baik sampai bila pun, industri kreatif ini tidak dapat berkembang.

Sama seperti filem Mat Kilau, semua orang ingat penerbit dapat banyak duit. Tapi orang industri beritahu cukai yang menyebabkan hasilnya tak banyak dan kos kepada pempamer (pawagam).

Itu antara contoh, tidak semua duit itu dapat kepada penerbit. Begitu juga dengan MyIPO, royalti ini perlu juga melibatkan undang-undang yang lain. Pemilik perlu ambil tindakan selepas adanya perlanggaran.

Cabaran akan jadi lebih besar apabila kita ada platform lain seperti YouTube, Netflix dan banyak lagi. Cuma di Malaysia, pada saya untuk membandingkan kita dengan Amerika Syarikat, kita masih jauh.

Namun begitu, itulah nilai harta intelek yang kita lihat perlu sokongan daripada semua pihak.

Klik di sini untuk terus membaca