SHAH ALAM - 'Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi'. Itulah situasi melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila proses pemilihan lebih 50 cabang parti berkenaan terutama di Selangor termasuk Ampang dan Gombak didakwa tidak sah.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - 'Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi'.

Itulah situasi melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila proses pemilihan lebih 50 cabang parti berkenaan terutama di Selangor termasuk Ampang dan Gombak didakwa tidak sah.

Berikutan itu, PKR dikatakan mungkin terpaksa mengadakan pemilihan semula parti berkenaan sekiranya mereka menerima arahan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) 2022, Dr Zaliha Mustafa ketika dihubungi mengesahkan pihaknya belum ada sebarang pengesahan hitam putih atau maklumat rasmi dari Ibu Pejabat PKR berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Zaliha tidak menafikan khabar angin mengenai perkara itu tersebar di media sosial, sejak Khamis.

"Saya memang dengar khabar angin itu sejak semalam (Rabu), namun sehingga kini, Setiausaha Agung PKR belum beri sebarang maklumat rasmi kepada JPP.

"Tindakan itu perlu kerana hanya MPP dan Presiden yang mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh sesuai diadakan pemilihan semula parti andai RoS mengarahkan kami berbuat demikian," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Beliau mengulas dakwaan mengatakan pemilihan lebih 50 cabang PKR di seluruh negara terutama di Selangor termasuk Gombak dan Ampang mungkin terpaksa diadakan semula kerana dikatakan tidak sah oleh RoS.

Berikutan itu, RoS dijangka mengeluarkan surat rasmi kepada PKR bagi mengarahkan proses pemilihan diadakan dalam masa terdekat bagi mengelak tindakan lebih tegas terhadap parti pimpinan Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, bekas calon Ketua Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan memang terdapat khabar angin mengenai perkara itu, namun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi sama ada daripada JPP mahu pun Pejabat Setiausaha Agung PKR.

"Jika ada pemilihan semula dan arahan daripada parti, maka saya sedia menghadapinya,” katanya.

Untuk rekod, pemilihan PKR kali ini menyaksikan Anwar kekal sebagai Presiden bagi tempoh 2022 hingga 2025, manakala, jawatan Timbalan Presiden dimenangi bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Klik di sini untuk terus membaca