SHAH ALAM- Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima 112 aduan berkaitan penipuan pakej oleh ejen pelancongan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Baskaran Sithamparam berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya, kebanyakan mangsa membeli pakej daripada ejen di media sosial.
Menurutnya, kemudahan teknologi membuatkan ejen pelancongan haram atau palsu cuba memperdaya mangsa yang naif.
"Ramai yang kenal ejen pelancong daripada media sosial. Berdasarkan siasatan yang dibuat, ada individu tidak bertanggungjawab menyamar menjadi ejen pelancongan, seterusnya memperdaya pengguna dengan mudah.
"Mereka membuat pancingan dengan pakej murah, menyebabkan ada yang ‘terpesona’ dengan harga dan pakej ditawarkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Baskaran menjelaskan, tiada destinasi khusus bagi kebanyakan mangsa kerana ia melibatkan pakej di pelbagai kawasan.
Katanya, situasi ini diburukkan lagi dengan pembukaan semula sektor pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai mencari pakej percutian menarik bagi membawa keluarga bercuti.
"Selain itu, jika mangsa ditipu oleh ejen pelancong berdaftar, mereka boleh ajukan aduan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Selain itu, beliau berkata, mangsa juga boleh menghubungi NCCC dan pihaknya akan cuba sedaya upaya menjadi orang tengah membincangkan serta berurusan dengan ejen berdaftar.
Tarik lesen, penjara dan denda
Sementara itu, Naib Presiden (Umrah dan Haji) Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak berkata, Kerajaan perlu mengenakan tindakan lebih keras termasuk menarik lesen dan mengenakan hukuman penjara serta denda yang lebih tinggi terhadap ejen-ejen pelancongan yang terlibat dengan penipuan pakej.
Katanya, walaupun kebanyakan kes penipuan melibatkan ejen pelancongan haram, namun MATTA turut terkena tempias apabila kes-kes penipuan dilaporkan.
Justeru, beliau melihat langkah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengeluarkan senarai amaran entiti yang melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 adalah tepat sebagai rujukan kepada semua pihak termasuk orang awam, selain menjaga nama baik industri pelancongan di negara ini.
Menurutnya, MATTA menyokong penuh langkah dibuat oleh Motac kerana kini banyak kes penipuan khususnya melibatkan umrah dan haji.
"Kita sudah ada akta, begitu juga tindakan boleh dibuat oleh polis, jadi kerajaan perlu tingkatkan penguatkuasaan agar individu terlibat tidak terlepas.
"Pada masa sama, saya melihat perlunya kita mendidik orang ramai untuk lebih berhati-hati termasuklah pergi kepada syarikat profesional dan berdaftar.
"Kelebihan apabila kita memilih syarikat berdaftar, mangsa mempunyai saluran untuk mengadu jika ditipu. Mereka boleh buat aduan kepada Motac dan tribunal pengguna serta laporkannya kepada pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ditanya jenis-jenis penipuan yang sering berlaku, Mohd Azri menjelaskan, antara sering dilaporkan adalah penjualan pakej pelancongan pada harga tidak masuk akal.
Selain itu, katanya, kemudahan ditawarkan tidak sama dengan pakej dan mangsa ditawarkan dengan pakej yang tidak wujud.
"Bagi pakej umrah misalnya, mangsa ditawarkan menginap di hotel lima bintang tetapi harganya seperti duduk di hotel yang jauh.
Beliau berkata, harga pakej umrah minimum dan ‘masuk akal’ adalah kira-kira RM7,000.
Menurutnya, pakej sekarang semakin mahal disebabkan tiket mahal dan penerbangan yang tidak mencukupi.
"Tapi jika ejen dapat tiket murah dan hotel ditawarkan adalah hotel bajet serta jauh dari Masjidil Haram, kemungkinan harga boleh ditawarkan rendah sedikit daripada RM7,000,” ujar beliau.
Tambahnya, MATTA kini mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh negara dan mempunyai tapisan ketat sebelum dibenarkan menjadi ahli.
"Antara syarat untuk diterima masuk MATTA adalah perlu mengepilkan lesen sah daripada Motac.
"Kita juga ada beberapa syarat lain dan dalam mesyuarat Exco, kita akan bincang serta kenal pasti syarikat itu bagaimana. Jika lepasi piawaian, barulah kita luluskan.
"Semua itu dilakukan bagi menjaga nama baik MATTA dan industri pelancongan. Disebabkan itu, jika ada mana-mana ahli yang melakukan penipuan, kita akan gugurkan keahlian dan selebihnya kita serahkan kepada pihak berkuasa," katanya.
Menurut Mohd Azri, lesen mereka mungkin boleh ditarik balik oleh Motac dan didakwa oleh pihak berkuasa seperti polis serta tribunal pengguna mengikut akta-akta yang ada,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca