AMERIKA Syarikat (AS) yang terlibat dalam perbalahan dan perang perdagangan dengan China akhirnya membuat keputusan menghentikan penerimaan jet-jet tempur baharu F-35 baru-baru ini selepas satu komponen enjin pesawat tersebut didapati... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) yang terlibat dalam perbalahan dan perang perdagangan dengan China akhirnya membuat keputusan menghentikan penerimaan jet-jet tempur baharu F-35 baru-baru ini selepas satu komponen enjin pesawat tersebut didapati dibuat dari negara komunis itu.

Keputusan untuk menggantung penerimaan jet-jet tempur yang setiap satunya berharga puluhan jutaan dolar AS itu diumumkan pada Rabu lalu oleh jurucakap Pejabat Program Bersama F-35, Russel Goemaere, lapor media negara tersebut.

Siasatan yang dilakukan pada pertengahan Ogos lalu mendapati bahawa aloi dalam pam pelincir enjin jet F-35 terbaharu tersebut tidak mematuhi undang-undang perolehan AS yang menghalang penggunaan komponen dari China, katanya.

Sebelum ini, Agensi Pengurusan Kontrak Pertahanan AS telah memaklumkan kepada Pejabat Program Bersama F-35 di Pentagon pada 19 Ogos lalu bahawa magnet di dalam pam mesin turbo enjin F-35 tersebut berasal dari negara komunis itu.

Syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenis senjata di AS, Lockheed Martin membina keseluruhan pesawat-pesawat tempur F-35 itu tetapi mesin turbonya dihasilkan oleh firma multi nasional, Honeywell yang beribu pejabat di North Carolina dan mempunyai pengalaman mereka cipta lebih daripada 100 tahun.

Mesin turbo itu mengintegrasikan unit kuasa tambahan dan mesin kitar udara dan ia menyediakan kuasa elektrik untuk tujuan penyelenggaraan, proses untuk menghidupkan enjin utama dan kuasa kecemasan serta menyediakan udara termampat untuk sistem pengurusan haba semasa penyelenggaraan.

Jurucakap itu dalam satu kenyataan kepada laman berita Politico telah mengesahkan bahawa magnet tersebut tidak menghantar maklumat atau membahayakan integriti pesawat dan tiada prestasi, kualiti, keselamatan atau risiko keselamatan yang berkaitan dengan isu berkenaan manakala operasi penerbangan untuk armada dalam perkhidmatan F-35 akan diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, firma Lockheed Martin dilaporkan berkata, bahawa pada masa hadapan, pengeluaran mesin turbo tersebut akan menggunakan magnet yang diperbuat daripada aloi lain dengan menggunakan bahan-bahan diperoleh dari AS.

Berikutan penggantungan penerimaan jet-jet F-35 itu, syarikat Honeywell dalam satu kenyataan kepada Defense News berkata, ia tetap komited untuk membekalkan produk berkualiti tinggi yang memenuhi atau melebihi semua keperluan kontrak pelanggan selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Pertahanan AS dan Lockheed Martin untuk mencapai komitmen tersebut.

Lockheed Martin juga terkenal kerana mengeluarkan pelbagai jenis senjata. - Foto AFP

TERLEPAS

Siasatan kini sedang dijalankan untuk mengetahui bagaimana bahan-bahan dari China tersebut boleh terlepas daripada pemantauan sehingga ia digunakan dalam pembuatan enjin jet-jet canggih F-35 tersebut.

Lockheed Martin telah menghantar sebanyak 88 buah jet F-35 pada tahun ini setakat ini dan kekal pada sasaran untuk menyiapkan mana-mana dari 148 buah hingga 153 buah jet tersebut pada tahun 2022, kata jurucakap syarikat tersebut, Laura Siebert.

Jet-jet F-35 digunakan oleh Tentera Udara AS, Tentera Laut negara itu dan Kor Marin AS bersama dengan 10 buah negara lain dengan harganya ialah lebih AS$75 juta (RM337.56 juta) untuk sebuah jet F-35A generasi kelima.

Pesawat-pesawat tempur tersebut yang siap tetapi masih belum dihantar akan kekal berada di kemudahan pengeluaran syarikat tersebut di Fort Worth, Texas.

Jika aloi dari China itu didapati tidak mematuhi Peraturan Pemerolehan Pembekalan Pertahanan Persekutuan (DFARS), Setiausaha Rendah Pertahanan AS untuk Pemerolehan dan Pengekalan, Bill LaPlante boleh membuat pensijilan bertulis dengan menyatakan bahawa penerimaan jet-jet F-35 adalah perlu untuk kepentingan keselamatan negara berkenaan.

Menurut Lockheed Martin, tidak jelas berapa lama tempoh penghantaran jet-jet tersebut kepada pelanggannya akan berlaku.

Berikutan langkah tersebut, seorang pakar tentera dari Beijing, Wei Dongxu dipetik sebagai berkata oleh akhbar Global Times dari China bahawa walaupun AS mungkin dapat mencari pengganti kepada aloi buatan negara komunis itu dalam tempoh jangka pendek, ia mungkin akan mengalami kenaikan kos pengeluaran.

Akhbar itu menyatakan bahawa komponen itu adalah berasal dari nadir bumi China dan penggantungan tersebut menunjukkan terdapat situasi Sinophobia atau takut kepada negara komunis itu yang semakin meningkat di AS.

Ia turut mengulas bahawa Washington semakin meletakkan negara kapitalis itu pada risiko yang lebih besar, kerana ia masih sangat bergantung pada China untuk memperoleh nadir bumi dan komponen-komponen lain yang penting.

Jika AS tidak dapat mencari pengganti dengan kualiti sama, pada harga yang setanding dan dalam kuantiti yang banyak, insiden terbaru itu boleh menjejaskan penghantaran pesawat-pesawat F-35 sekali gus menjejaskan keupayaan tempur tentera negara Uncle Sam itu dan sekutu-sekutunya.

Khidmat jet-jet pejuang F-35 milik AS digunakan di rantau Asia-Pasifik termasuk di pangkalannya di Jepun dan Korea Selatan dan di kapal pengangkut pesawat negara tersebut sekali gus menimbulkan ancaman kepada China.

Penemuan pembuatan aloi dalam enjin jet-jet tempur itu juga berlaku ketika hubungan AS dengan China semakin tegang ekoran lawatan Speaker Dewan Perwakilan negara tersebut, Nancy Pelosi ke Taiwan pada bulan lalu sehingga menyebabkan negara komunis tersebut mengadakkan latikan ketenteraan di sekeliling pulau berkenaan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca