DALAM kolum ini pada minggu lalu, saya telah menerangkan Lima Pencapaian Setahun Kementerian Luar Negeri (KLN) iaitu untuk Ogos 2021 hingga Ogos 2022. Kali ini, saya menggariskan Lima Tumpuan Tahun Depan iaitu: Rasionalisasi KLN Selaras... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM kolum ini pada minggu lalu, saya telah menerangkan Lima Pencapaian Setahun Kementerian Luar Negeri (KLN) iaitu untuk Ogos 2021 hingga Ogos 2022.

Kali ini, saya menggariskan Lima Tumpuan Tahun Depan iaitu:

Rasionalisasi KLN

Selaras dengan cabaran-cabaran besar semasa dan dengan pendekatan futurist serta dengan fokus-fokus baharu negara, maka KLN dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan kementerian-kementerian berkaitan akan menyusun semula keberadaan pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara (diteruskan, ditutup atau dibuka yang baharu, melantik duta roving, lebih ramai konsul kehormat) dan kekuatannya (gred Ketua Perwakilan, jumlah pegawai, aset).

Penubuhan Jabatan Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan KLN

Matlamatnya ialah memfasilitasi perkongsian naratif kebudayaan Malaysia (pemikiran, amalan dan seni budaya) untuk meningkatkan hubungan rakyat kepada rakyat dan membawa industri kreatif tempatan ke pentas antarabangsa.

Objektifnya ialah menonjolkan nilai-nilai dan identiti kebangsaan Malaysia, mempromosi bahasa Melayu dan kebudayaan Malaysia, dan menekankan perhubungan serta pertukaran budaya dan sukan.

Ia akan dilaksanakan melalui promosi dan dokongan terhadap seni budaya dan sukan Malaysia, menggalakkan dan memfasilitasi kerjasama pendidikan antarabangsa, dan berhubung rapat dengan badan-badan antarabangsa yang berkaitan. Ini termasuk mewujudkan jawatan Atase Bahasa dan Kebudayaan.

Mewujudkan pakar-pakar bidang

Cabaran-cabaran semasa dan mendatang menuntut agar diplomasi tidak lagi digerakkan sekadar oleh diplomat-diplomat generalist, tetapi semakin memerlukan pakar-pakar bidang.

KLN akan melipat ganda pembangunan sumber manusia dengan inisiatif-inisiatif baharu. Contohnya, mempertingkatkan bilangan tajaan atau biasiswa kepada warga KLN, menjalankan program immersion di dalam dan luar negara, dan menubuhkan kumpulan-kumpulan pakar dalam bidang tertentu yang menggabungkan warga KLN dengan profesional dari luar.

Agenda penghakupayaan wanita KLN

KLN akan meningkatkan usaha-usaha penghakupayaan wanita dan kesaksamaan gender dengan, antaranya:

Melaksanakan elemen-elemen Dasar Luar Negeri Feminist (mempromosi nilai-nilai dan amalan-amalan baik untuk mencapai kesaksamaan gender dan menjamin semua wanita menikmati hak-hak mereka melalui hubungan diplomatik) dan melaksanakan agenda wanita, keamanan dan keselamatan (keterlihatan, penglibatan dalam kerja/rundingan keamanan, perlindungan dan kesaksamaan gender).

Selain itu, Belanjawan Responsif Gender (kesaksamaan peluang-peluang dan manfaat-manfaat); keseimbangan gender dalam pelantikan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia, ketua-ketua jabatan dan bahagian, delegasi, jawatankuasa dan panel forum; dan mula merancang pelantikan wanita ke jawatan-jawatan tertinggi KLN (contohnya Ketua Setiausaha dan Perwakilan Tetap ke PBB).

Memperkukuh perkhidmatan konsular

Bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih responsif, cekap, berkesan dan mesra pengguna, KLN sedang membangunkan sistem e-Konsular 3.0.

Antara tambah baiknya ialah modul pembayaran dalam talian, modul temu janji, modul push notification dan modul sokongan.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca