SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengutamakan pelan sekuriti makanan dalam Bajet 2023 susulan nilai mata wang ringgit yang dilaporkan menyusut serta memberikan kesan kepada sektor import pemakanan.
Pakar Ekonomi, Dr Barjoyai Bardai mencadangkan supaya para pengusaha asas tani dan penternakan diberikan bantuan sama ada dalam bentuk mekanisasi ataupun secara teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti mengimport dan menyediakan dron agar produktiviti mereka lebih baik.
Jelas beliau, bantuan tersebut boleh disalurkan melalui anak-anak syarikat bawah kerajaan sekali gus dapat menjadikan satu pelaburan yang baik bagi mereka demi masa hadapan negara.
Barjoyai menyarankan orang ramai turut berusaha bersama-sama dalam menjayakan pelan sekuriti makanan seperti mula menanam sayur-sayuran serta buah-buahan sendiri di halaman rumah.
Pada masa yang sama, pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) itu turut meminta kerajaan mewujudkan satu dasar keselamatan sosial yang lebih menyeluruh kepada rakyat dalam bajet kali ini.
"Seperti yang kita dapat lihat sekarang, dasar keselamatan sosial yang telah wujud adalah dengan penubuhan institusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun ia hanya melibatkan bagi mereka yang bekerja dengan majikan sahaja.
"Kerajaan selepas ini harus juga mengambil kira dengan mewujudkan satu lagi institusi ataupun kaedah bagi menjaga keselamatan sosial kepada golongan yang berniaga ataupun bekerja sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong supaya subsidi petroleum diberikan secara bersasar dengan fokus penting kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
"Golongan B40 antara yang terkesan semenjak pandemik Covid-19 sehingga ada di antara mereka yang kehilangan pekerjaan. Oleh itu, kebajikan mereka haruslah diambil kira,” tegas Barjoyai.
Klik di sini untuk terus membaca