KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II yang telah memerintah Britain selama 70 tahun pada Khamis sekali gus menandakan pewaris takhta seterusnya, Putera Charles Philip Arthur George Windsor adalah Raja England yang baharu. Berusia 73 tahun, Charles... Klik di sini untuk terus membaca

KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II yang telah memerintah Britain selama 70 tahun pada Khamis sekali gus menandakan pewaris takhta seterusnya, Putera Charles Philip Arthur George Windsor adalah Raja England yang baharu.

Berusia 73 tahun, Charles menjadi pewaris monarki paling lama ‘menunggu giliran’ menaiki takhta dalam sejarah British.

Dilahirkan pada 14 November 1948, Charles menjadi pewaris takhta ketika berusia tiga tahun, tiga bulan.

Menurut undang-undang, Charles secara automatik menjadi raja selepas kemangkatan bondanya diikuti pengisytiharan rasmi di hadapan badan istiadat dikenali Accession Council di mana putera sulung Ratu Elizabeth itu akan dikenali ramai dengan gelaran, Raja Charles III.

Putera Charles Philip Arthur George Windsor adalah Raja England yang baharu dengan gelaran Raja Charles III.

Bagaimanapun, tarikh bagi upacara pertabalan rasmi masih belum ditentukan oleh Istana Buckingham, namun dijangkakan ia lebih awal berbanding bondanya yang menunggu lebih setahun sebelum ditabal secara rasmi.

Untuk rekod, Ratu Elizabeth II, lahir pada 21 April 1926 di Mayfair, London dan menaiki takhta pada 6 Februari I952 selepas kematian Raja George VI.

Dengan acara pertabalan yang bakal berlangsung kelak untuk Raja Charles III, untuk pertama kalinya juga lagu kebangsaan negara akan dimainkan dengan menyebut 'God Save the King’.

Berakhirnya era Ratu Elizabeth II yang menghembuskan nafas terakhir di Istana Balmoral, Scotland pada usia 96 tahun, Raja Charles III kini mempunyai tugas berat menggantikan bondanya sebagai Ketua Komanwel yang terdiri daripada 56 negara merdeka dengan populasi 2.4 bilion.

Ini juga bermaksud, selain United Kingdom, 14 negara lain antaranya Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica dan Papua New Guinea akan menyaksikan Charles sebagai ketua negara.

Raja Charles III kini mempunyai tugas berat selepas berakhirnya era Ratu Elizabeth II yang menghembuskan nafas terakhir di Istana Balmoral, Scotland pada usia 96 tahun.

Bagaimanapun, laluan tidak semestinya mudah untuk Raja Charles III, yang juga Raja England ke-42 kerana boleh dikatakan kurang popular dalam kalangan rakyat berbanding bondanya mahupun Putera William, putera sulung Charles yang juga pewaris seterusnya takhta Britain.

Dilaporkan selepas kematian isteri pertamanya, Puteri Diana akibat kemalangan kereta di Paris pada 31 Ogos 1997, Charles banyak menerima kecaman sebahagian besar rakyat kerana mengahwini kekasih hatinya, Camilla Parker Bowles.

Camilla dikatakan menjadi antara punca utama keberantakan rumah tangga Charles dan Diana yang runtuh pada 1996, namun dengan Charles menjadi Raja England yang baharu, Camilla bakal bergelar Ratu sepertimana dimahukan oleh Ratu Elizabeth II.

PERSEDIAAN CHARLES

Dalam pada itu, di saat Operasi London Bridge sedang sibuk berlangsung menuju ke hari pengebumian Ratu Elizabeth II, Raja Charles III yang sedang berkabung harus turut bersedia memikirkan persediaan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menariknya, Raja Charles III dikatakan telah lama berhasrat mahu ‘mengecilkan’ monarki untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan dan lebih fokus terhadap monarki dan pewaris langsung sahaja.

Dalam pada itu, Raja Charles III turut berkempen dalam pelbagai isu termasuk alam sekitar, perubahan iklim dan kelestarian serta seni bina.

Raja Charles bersama isterinya, Camilla Parker Bowles.

Charles juga dikatakan sudah mula belajar mengambil pendirian neutral dalam mendepani sebarang isu berbangkit.

Para pembantunya berkata, Charles belajar untuk duduk berbincang bersama-sama pihak berkaitan dalam menyelesaikan masalah kemasyarakatan berbanding cuba menyelesaikannya sendirian.

Charles juga banyak melibatkan diri dalam banyak badan amal dan antara paling popular, Prince's Trust yang telah membantu lebih satu juta anak muda kurang bernasib baik sejak ditubuhkan pada tahun 1976.

Yang pasti dalam masa terdekat ini banyak mata tertumpu kepada bagaimana Charles akan menyambung legasi bondanya yang selama ini menjadi simbol kestabilan dan kehormatan negara serta amat disayangi rakyat.

Diharapkan dengan kelebihan sebagai pewaris takhta pertama yang memiliki ijazah sarjana muda dan pengamatan dan pengalaman melihat bagaimana bondanya memerintah, Charles dapat membina nama untuk dirinya sendiri.

Foto kenangan Ratu Elizabeth dan Raja Charles III, pada tahun 1969.

Klik di sini untuk terus membaca